Coke And Sundae

Karya Dari Ilya Abdullah

PETIKAN DIALOG NOVEL

"Jangan menyibuk hal luar dan dalam kain orang! Itu aku punya sukalah. Kau patut jaga je luar dan dalam kain kau!"

"Aku tak pakai kainlah Yan. Aku pakai seluar." Mengekeh Syakir ketawa. Azyan mencebik. Kurang asam punya lelaki.

PETIKAN DIALOG NOVEL

"Aku bagi kau pilihan Cik Nur Azyan. Kau nak diheret atau didukung. Kalau pada akulah kan aku lebih suka dukung kau."

"Dua-dua tak hingin! Dah-dah aku nak balik!" Azyan menyeringai. Kau paksa aku macam mana sekalipun aku tidak akan masuk kelab teater yang menggelikan itu! Tidak!

Coke And Sundae - Bab Pilihan

Bab 35

MULA-mula bercinta semuanya indah. Tapi bila sampai saat angin taufan melanda. Beginilah jadinya pada percintaan Azyan dengan Syakir. Lagi payah kalau dua-dua kepala batu dan dua-dua tak mahu mengalah. Syakir tak mahu pujuk Azyan. Azyan tak mahu pujuk Syakir. Syakir sibuk melayan pesakit. Azyan pula sibuk dengan kursus dia. Salwa terpaksa jadi orang tengah dalam keributan pasangan kepala batu tu. Nak bantu kawan punya pasal sampai hal dia dengan Tengku Kudin pun jadi tegang juga. Nasib baik Salwa bijak memperbaiki keadaan. Itupun minta bantuan dari Mat Karan dengan Nani.

Azyan duduk menongkat dagu memandang Abang Ravi yang penuh gaya menebarkan roti canai. Azyan cuba membayangkan wajah Syakir pada roti canai di depan matanya itu. Dengan penuh geram Azyan carik-carikkan roti canainya sambil diperhatikan oleh Salwa dan Nani. Sampai begitu sekali marah Azyan pada Syakir. Sungguh menakutkan. Parah dah budak Azyan ni. Harap-harap dia tidak membayangkan muka Syakir pada muka orang lain pulak. Takut ada yang masuk hospital nanti.

"Sampai bila kau nak jadi puting beliung Yan. Apa kata kau beralah sikit pada Syakir. Aku tak rasa Syakir curang dengan kau." pujuk Nani. Salah seorang dari mereka sepatutnya perlu bertolak ansur sikit.

"Aku nak beralah. Tolonglah….bukan aku yang mulakan dulu tapi doktor cicak kobeng tu!" Azyan memuncung mulut pada Syakir yang duduk selang dua meja dari mereka bersama Mat Karan dan Sofi.

"Kalau dua-dua jadi api macam mana nak padam. Makin marak adalah."

"Aku memang dah api so untuk apa aku nak jadi air. Kau suruhlah doktor cicak kobeng tu yang jadi air."

"Kepala batu!"

Selang dua meja itu pula Mat Karan dengan Sofi cuba memujuk Syakir. Syakir pun sama saja macam Azyan kepala batu! Malah lagi dahsyat dari Azyan. Siap hentak-hentak meja lagi. Bengang tahap karma bila Azyan sengaja tayang Rizlan depan mata dia. Mana dia boleh lupa ayat yang keluar dari mulut Azyan semalam. Tak ada tersekat langsung. Ini ayat yang Azyan bagi pada dia. "Syakir. Kita break!" Meletup terus gunung

berapi. Satu penumbuk hinggap kat muka Rizlan. Azyan pulak back-up hantu siot tu.

"Kau pun satu, dah tahu Azyan tu baran yang kau tambahkan baran dia apasal! Aku tak sukalah kau bertumbuk dengan Riz. Nasib baik kau tak bertumbuk dengan Azyan. Kalau tak tak tahulah aku nak kata apa lagi jika lelaki bertumbuk dengan perempuan. Pelik tu."

"Baran dia yang kau tahu. Baran aku macam mana?" bentak Syakir. Saja dia kuatkan suara bagi Azyan dengar.

"Korang tak boleh ke selesaikan masalah korang baik-baik. Masalah tidak selesai kalau korang tak punya tolak ansur." celah Sofi. Tak pasal-pasal Mat Karan heret dia sekali dalam masalah Syakir. Nak tak nak kenalah menolong bekas tuan pengerusi. Karang tak tak tolong dikatakan tak ingat kawan pulak.

"Kalau dia dah tak nak kat aku pun aku dah tak heranlah. Ingat dia sorang saja yang comel. Banyak lagi awek lagi comel dari dia! Kalau dasar gorilla memang gorilla jugak. Asal dari hutan lebih baik masuk ke hutan!" Makin kuat volume suara Syakir.

Berdesing telinga Azyan mendengar kata-kata Syakir. Kurang ajar! Azyan sudah bingkas bangun menghentak meja jugak. Mana boleh berdiam diri begini. Bila dah bergaduh segala benda tak baik keluar dari mulut. Tahap kecabulan mulut mereka kena jadi setara.

"Apa kau ingat muka kau dah cukup jambu ke Doktor Syakir! Kau tahu tak muka cicak kobeng macam kau ini pun aku tak heranlah. Tolonglah nak muntah aku tengok muka kau tahu tak!" jerkah Azyan.

"Ooo…eloklah tu belum nikah dah ada isi!" Syakir menjuihkan bibirnya. Saja bagi Azyan lagi panas.

"Cakap baik-baik sikit Doktor Muhammad Syakir Bin Ilyas! Baik mulut kau tu ambik insurans dulu sebelum aku kasi lumur dengan cili api! Ikut sedap mulut saja nak cakap! Apa ingat aku murah sangat macam awek pujaan hati kau tu! Mengiau sana mengiau sini!" Sama-sama keluar ayat pedas.

Salwa dengan Nani nak tergelak dah tapi tahan takut mengecilkan hati kedua-dua belah pihak yang bertelagah. Mereka memang tak menyokong mana-mana pihak. Baik pihak Azyan mahu pun pihak sebelah Syakir.

"Cililah aku tak takut!"

"Kau ingat aku tak berani. Yo! Muthu Samy! Kasi itu cili api giling mari!" jerit Azyan. Terpinga-pinga Muthu Samy yang sedang memotong ayam goreng itu. Tapi bila dia lihat kerlingan mata Azyan cepat-cepat Muthu Samy masuk dapur dan bawa cili giling. Satu cili giling atas meja Azyan. Tunggu apa lagi Azyan kasi ramas-ramas tangannya masuk dalam mangkuk tersebut. Terbeliak biji mata Salwa dan Nani. Biar betul dengan minah sorang ni?

Azyan nak meluru ke arah Syakir. Dia nak tenyeh mulut Syakir dengan cili api. Jangan memain. Azyan pantang kena cabar! Dia buat betul-betul. Salwa dan Nani segera memaut tubuh Azyan. Gila nak cili Syakir depan orang ramai. Azyan dah kena rasuk ke? Salah taktik tak naya muka mereka pulak yang kena cili di tangan Azyan.

"Aku rasa lebih kita beredar dari sini. Azyan dah jadi mengamuk macam gorilla kelaparan dah tu!" Mat Karan menarik lengan Syakir.

"Aku tak sanggup kena cili sekali Kir." Gerun tengok Azyan bila dah menggila. Syakir tetap mengeraskan diri. Tiada cara lain selain menarik Syakir segera beredar dari situ. Bila keadaan dah reda baru mereka pujuk Syakir berbincang dengan Azyan semula.

BERDENTUM bunyi lesung batu di dapur. Encik idris hanya membiarkan anak daranya itu buat apa yang dia suka. Jiran-jiran bising pun Encik Idris pekakkan telinga. Azyan sedang melepaskan geram kalau dikacau nahas jawabnya. Bau ikan goreng hangit menusuk lubang hidung. Apa pun Encik Idris terpaksa menahan rasa. Marah karang Azyan buat tunjuk perasan. Encik idris pun buat layan baca akhbar Harian Metro.

"Apa kena dengan Yan tu?" Azuan yang baru bangun tidur tengahari menguap besar. Bunyi dentuman lesung batu Azyan mengganggu tidur Azuan. Bau mulut macam bau longkang sampai si ayah terpaksa tutup hidung. Tak senonoh punya anak. Bangun tidur bukan nak basuh muka dan kumur mulut dulu.

"Lebih baik Zuan jangan tanya kalau Zuan tak mahu kena baling dengan lesung batu." Encik Idris menatap kembali akhbar di tangan.

Azuan mengaru-garukan kepala lalu duduk di sofa yang berdekatan dengan ayahnya. Batang hidung Anuar langsung tidak nampak. Mesti keluar pergi dating dengan Diralah tu. Orang ada kekasih. Dia saja yang masih tidak berteman. Rasa nak buka lagu November Rain pula bila teringat kisah cinta dengan anak gadis jiran sebelah.

"Ayah tak dengar ke orang sebelah menyebelah dah makin bising. Zuan yang sedang bermimpikan Paris Hilton pun tergugat sebab pencemaran bunyi yang anak dara ayah bikin dekat dapur! Melepas Zuan nak kucup pipi wanita idaman Zuan tu." Azuan menguap lagi. Lagi sekali Encik idris terpaksa menutup lubang hidung. Menguap tak tahu tutup mulut. Habis kaum kerabat syaitan masuk dalam mulut longkang Azuan. Nak kena basuh anak dia yang seorang ni.

"Kalau kau berani kau pergilah tegur adik kau!" ujar Encik Idris bersahaja.

"Ala…dia tidak akan berani apa-apakan Zuanlah. Kalau dia baling lesung batu Zuan elaklah. Bukan susah sangat pun."

"Pergilah tegur dia."

Azuan tidak menunggu lebih lama. Dia angkat punggung lalu mengatur langkah ke dapur. Senyap seketika. Tidak lama itu Encik Idris dengar suara Azuan menjerit. Azuan terlonjak-lonjak keluar dari dapur. Pedih matanya kena tenyeh dengan sambal belacan Azyan. Apa kena dengan adiknya itu. Hari ini tiba-tiba angin tidak tentu pasal. Menyesal dia pergi tegur tadi.

"Ayahkan dah bagi amaran…" Encik Idris tersenyum sambil meneruskan bacaannya. Pandai buat pandai tanggung sendiri.

2 comments:

  1. Yoyo said...
     

    Kat mana eh boleh cari novel ni?

  2. Yoyo said...
     

    Kat mana eh boleh cari novel ni?

Post a Comment