Coke And Sundae

Karya Dari Ilya Abdullah

PETIKAN DIALOG NOVEL

"Jangan menyibuk hal luar dan dalam kain orang! Itu aku punya sukalah. Kau patut jaga je luar dan dalam kain kau!"

"Aku tak pakai kainlah Yan. Aku pakai seluar." Mengekeh Syakir ketawa. Azyan mencebik. Kurang asam punya lelaki.

PETIKAN DIALOG NOVEL

"Aku bagi kau pilihan Cik Nur Azyan. Kau nak diheret atau didukung. Kalau pada akulah kan aku lebih suka dukung kau."

"Dua-dua tak hingin! Dah-dah aku nak balik!" Azyan menyeringai. Kau paksa aku macam mana sekalipun aku tidak akan masuk kelab teater yang menggelikan itu! Tidak!

Coke And Sundae 18

BAB 18

"KONNA koto ii na, dekitara ii na, anna yume konna yume, ippai aru kedo. Minna minna minna, kanaete kureru, fushigina pokke de kanaete kureru. Sora wo jiyuu ni tobitai na, hai! takekoputaa! An an an, tottemo daisuki, Doraemon...."

Azyan menyanyi riang sambil berjalan beriringan dengan Salwa.

Salwa geleng kepala. Ingatkan Azyan nyanyi lagu apa tadi. Rupa-rupanya nyanyi lagu tema kartun Doraemon. Hafal pula Azyan lagu kartun popular Jepun itu.

Ceria benar Azyan hari ini. Kuliah tidak ada, maka Azyan ambil peluang membeli-belah bersama Salwa di Wangsa Walk Mall sambil mencuci mata. Azyan ada mengajak Nani ikut serta tapi Nani sibuk nak siapkan tesisnya.

Nani pula suruh Azyan ajak Syakir menemankannya ke Wangsa Walk Mall.

Huh! Minta maaflah, Kak Nani. Window shopping hanya untuk kaum wanita sahaja. Dan nama Syakir tidak ada dalam senarai. Jangan haraplah dia nak keluar dengan mamat itu lagi.

Dalam seronok membeli-belah, dua orang anak gadis ini tidak menyedari yang mereka sedang diintip. Terkedek-kedek lelaki yang mengintip mereka itu mengekori mereka. Tiada tokoh langsung kalau ingin menjadi seorang detektif. Tengok dari lagak si pengintip, macam kenal saja. Yang pasti bukan Syakir tapi si bapak buaya, Encik Ahmad Zekri bin Dato’ Ariffin.

Kalau dah cara mengintip tidak profesional, memang mudahlah dikesan oleh orang yang diintip. Zekri ingat Azyan dengan Salwa tu bodoh ke? Dia tidak tahu yang dua orang gadis itu peminat siri kartun Detective Conan. Jadi, janganlah nak tunjuk eksyen dengan Azyan dan Salwa. Dan Zekri terkantoi di hadapan dua gadis ayu itu.

Azyan dengan Salwa sudah bercekak pinggang.

Bengkek Azyan tengok muka Zekri yang perasan dirinya macho itu. Ingat senyuman beruk yang terhias di bibir itu mampu menggoda hati Cik Nur Azyan?

Huh! Kau memang bermimpi di siang hari. Kemachoanmu masih tidak mampu menggugat hati gadis seperti aku.

"Kau dah tak ada kerja lain ke menghendap anak dara orang?!"

Bukan main garang Salwa menegur tingkah-laku Zekri itu.

"Saya bukan menghendap, tapi mengekori. Ayat tu biar betul sikit ye."

"Samalah tu! Kau yang bengap!" bidas Salwa.

"Saya tidak berminat nak berkenalan dengan buaya. Saya hanya berminat berkenalan dengan ‘harimau’," celah Azyan. Dia segera tarik lengan Salwa. Bapak buaya tu tidak boleh dilayan sangat. Bahaya! Sebab Zekri spesies buaya jual minyak ‘urat’!

"Kau kenal dia ke Yan?"

"Dia tu adik-beradik dengan Syakir jugak. Jenis yang tak boleh dipercayai!"

"Setahu akulah… Syakir cuma ada seorang adik saja. Mana ada adik lain," kata Salwa sambil menggaru kepalanya yang bertudung itu.

"Hei, ya Allah! Seorang lagi bengap," getus Azyan.

Malas nak panjang cerita, dia heret Salwa ke stesen bas yang terletak di belakang bangunan Carrefour. Lebih baik mereka berjalan di tempat lain pula.

Kalau nak naik teksi, fobia pulak budak Salwa ni sejak dia kena gangguan seksual dengan pak cik drebar teksi tempoh hari. Jangan haraplah dia nak melangkah masuk ke dalam teksi walau dipaksa macam mana pun. Siap buat langkah silat cekak harimau! Jangan main-main. Maklumlah anak murid Tok Ali, guru silat di Kampung Gajah.

Sedang mereka berdua melangut tunggu bas, sebuah kereta Honda Accord berhenti tepat di hadapan mereka. Terkebil-kebil Azyan dan Salwa memandangnya. Bila si pemandunya mengeluarkan kepala dari tingkap, Azyan dengan Salwa rasa nak termuntah. Seorang lagi mamat yang membosankan selain daripada Syakir. Kalau muka Dennis Oh ke, Ashraf Muslim ke, Fahrin Ahmad ke, selera jugak Azyan dan Salwa menengoknya. Ini… Zekri!

"Nak tumpang tak?" Zekri mempelawa.

Salwa menjuihkan bibir.

Azyan pula menjelirkan lidah. Ingatkan dah blah dari Wangsa Walk Mall tadi, takde la bapak segala buaya ni mengekor. Rupa-rupanya….

"Kita tak naik kereta orang tidak dikenali," suara Azyan.

Salwa anggukkan kepala, mengiakan.

"Janganlah jual mahal. Saya bukannya berniat jahat pada awak."

Zekri tidak dapat menahan diri. Pantas dia meluru keluar dari kereta. Tidak pernah ada gadis yang menolak pelawaannya. Azyan adalah perempuan yang pertama seumpamanya yang berani menolak pelawaannya.

"Orang tak mainlah dalam urusan jual beli ni. Ingat apa? Kain baju ke?" perli Azyan.

Zekri ni memang tak faham bahasa! Orang dah tak suka tu, blah sajalah.

"Please… bagilah saya peluang berkenalan dengan awak. Saya ikhlas nak mengenali awak. Gadis macam awak ni, satu dalam sejuta."

Zekri seakan merayu. Nak jaga air muka depan orang ramailah tu.

Azyan menarik nafas panjang. Zekri memang dalam kategori lelaki menggeletis. Dia panggil Zekri dengan jari telunjuknya.

Zekri tersenyum. Azyan mesti sudah cair dengan ayat-ayatnya. Pantas dia menghampiri.

Dush!

Salwa ketawa mengekek. Padan muka! Siapa suruh cari pasal dengan Azyan? Lebam mata kau sebelah. Dalam tawa, ada juga risaunya. Kalau Zekri buat aduan pada polis mesti jadi kes naya. Mati Azyan dikerjakan oleh Encik Idris nanti. Harap-harap Zekri tidak buat aduanlah.

Azyan buat selamba saja selepas menghadiahkan sebiji penumbuk ke batang hidung Zekri. Sikit pun minah seorang ini tidak rasa gusar.



ITU dia! Azyan angkut teddy bear besar masuk ke dalam rumah.

Salwa terpaksa tolong mengangkut barang-barang yang lain. Kalau pergi shopping dengan Azyan, memang dia kena jadi kuli. Kalau tak tolong kang, Azyan tarik muncung panjang sedepa. Nasib kaulah, Wawa.

Azuan yang sedang menonton televisyen mengangkat sebelah tangan ke arah Salwa. "Yo!"

Cantiknya bahasa abang kau tegur aku, Yan. Kalau bagi salam, kan bagus. Ini... panggil aku, yo! Ingat aku ni apa? Yoyo? desis hati Salwa. Namun dia tetap memaniskan mukanya.

Salwa masuk ke dalam bilik Azyan. Masa mula-mula dia datang ke rumah Azyan dulu, dia ingatkan bilik Azyan tentu bersepah. Tapi dia silap. Azyan ni luaran aje nampak ganas tapi sebenarnya masih ada sifat-sifat keperempuanan yang sukakan keadaan yang kemas dan tersusun rapi jauh di sudut hatinya. Biliknya memang dalam keadaan yang tip-top. Rasa tenang aje bila melangkah masuk ke dalam bilik Azyan.

"Kau kena cari pakwelah, Yan. Boleh kau kulikan dia. Ini tidak, aku yang kau kulikan. Sakit badan aku, tau tak," rungut Salwa.

"Anak murid Tok Ali mana boleh lemah semangat. Kan ke kau ni kuat macam aku jugak?" tukas Azyan sambil meletakkan teddy bear yang baru dibeli di atas katilnya.

"Otak kau! Apa kau ingat aku ada ilmu kebal? Ilmu kental? Aku perempuanlah, Yan. Mana boleh angkat berat-berat sangat."

"Banyak songehlah kau, Wawa. Apa kata aku belanja kau makan tengah hari kat rumah aku. Nak tak? Ayah aku dah masak tu. Cuma tinggal untuk kita pulun (makan) sampai habis aje." Azyan mengenyitkan mata.

Azyan memang anak yang bertuah. Dia pergi jalan-jalan, dibiarkan ayahnya melakukan kerja rumah sendirian. Elok betul anak gadis macam Azyan yang tidak tahu ke dapur. Esok dah kahwin entah macam mana jadinya. Hari-hari makan luar pun bosan juga. Suami mesti nak merasa makan air tangan isteri.

Kalau Salwa, jangan haraplah umi dia mahu bagi dia senang-lenang tak masuk ke dapur. Berasap telinga jika mendengar bebelan Hajah Shamsiah. Dengan abah, boleh juga ada excusenya.

Benar kata Azyan. Hidangan sudah tersusun di atas meja. Bau yang menyelerakan mula ‘menyerang’ rongga hidung mereka. Maklumlah... perut memang sedang berkeroncong. Rezeki pula sudah ada di depan mata.

"Jangan segan-segan Wawa. Jemputlah makan," pelawa Encik Idris.

Respect betul pada ayah Azyan. Semua benda dia boleh buat. Dari mengemas, menyusun atur hingga memasak. Bertuah perempuan yang berkahwin dengan Encik Idris nanti. Apa salahnya, kan? Encik Idris pun sudah lama menduda.

"Buat macam rumah sendiri. Macam kau tak biasa pulak," sampuk Azuan yang tiba-tiba sudah berada di belakang Salwa.

Kus semangat! Mamat ni muncul tiba-tiba pula.

"Abang Nuar mana?" Azyan bertanya.

"Dia keluar dengan Syakir. Nak repair laptop katanya. Kena virus Brontox!"

"Boleh percaya ke? Entah-entah ada projek lain dengan Syakir."

Mulut Azyan main lepas cakap saja. Pedih pehanya kena ketip dengan ‘ketam’ Azuan. Azyan mencebirkan bibir. Benganglah tu!

"Diamlah, beruk lantak."

"Siapa beruk lantak! Abang pun sama, tau!" Azyan sudah bingkas bangun.

"Yan… tak baik bergaduh depan rezeki." Encik Idris menegur. Tajam dia mengerling anak gadisnya itu.

Tak jadi tunjuk protes. Azyan duduk kembali. "Okey Yan diam. Zip!"

Azyan buat gaya mengunci mulutnya.

Salwa ketawa kecil dengan gelagat temannya. Patutlah rambut ayah Azyan tinggal separuh. Semuanya gara-gara melayan kerenah Azyan.

1 comments:

  1. radmundjabe said...
     

    Bet on Tiger by TI88 TI, Ti 89 titanium calculator
    Bet on Tiger by TI88 raft titanium TI, Ti 89 titanium calculator, babyliss pro nano titanium TI 89 titanium calculator, TI 89 how strong is titanium titanium calculator, TI rainbow titanium 95 titanium calculator, TI nano titanium 94 titanium calculator, TI 93

Post a Comment