Coke And Sundae

Karya Dari Ilya Abdullah

PETIKAN DIALOG NOVEL

"Jangan menyibuk hal luar dan dalam kain orang! Itu aku punya sukalah. Kau patut jaga je luar dan dalam kain kau!"

"Aku tak pakai kainlah Yan. Aku pakai seluar." Mengekeh Syakir ketawa. Azyan mencebik. Kurang asam punya lelaki.

PETIKAN DIALOG NOVEL

"Aku bagi kau pilihan Cik Nur Azyan. Kau nak diheret atau didukung. Kalau pada akulah kan aku lebih suka dukung kau."

"Dua-dua tak hingin! Dah-dah aku nak balik!" Azyan menyeringai. Kau paksa aku macam mana sekalipun aku tidak akan masuk kelab teater yang menggelikan itu! Tidak!

Coke And Sundae 5

BAB 5

"PERKENALKAN, Cik Nur Azyan binti Idris... memerangkap Cik Tun Teja, kekasih hati Abang Tuah." Syakir memperkenalkan Azyan kepada ahli-ahli kelab teaternya.

Terkebil-kebil mereka memandang Azyan. Betullah seperti yang dikatakan oleh Syakir. Azyan agak cantik dan comel. Tidak perlu bermekap lebih-lebih seperti Emelda. Masing-masing berpuas hati dengan calon pilihan Syakir.

Azyan mencebik melihat gelagat ahli-ahli kelab teater yang mengerumuninya. Mereka memang aneh. Sama seperti tuan pengerusi mereka jugak. Rasa seperti manusia yang berada dalam kelompok makhluk asing. Rimasnya!

"Cayalah kau, Syakir! Dapat calon yang memang cantik. Dia ni memang sesuai pegang watak Tun Teja," puji Hamidi, merangkap Setiausaha Kelab Teater.

"Kan aku dah cakap, aku dah handsome so, aku tak mahulah awek muka macam tongkang pecah yang bawa watak Tun Teja, kekasih aku tu. Korang ingat Mel saja yang paling lawa kat kolej kita ni? Korang silap la…" gerutu Syakir.

Bertambah cemberut muka Azyan.

Huh! Perasan handsome betul Si Syakir ni! Dasar mata keranjang! Buaya darat! Cicak kobeng! Kalau kau tak ugut aku… mesti aku takkan join kelab orang-orang aneh kau ni.

Azyan mengeluh kecil. Ikutkan hati, mahu saja dia belasah Syakir sampai masuk ICU macam dia belasah Fadhil, anak Mak Timah Radio. Seminggu jugak kawan tu ditahan dalam wad.

"Ini skrip kau."

Syakir menyerahkan satu fail kepada Azyan.

Azyan mengetap bibir. Dia rentap fail itu dari tangan Syakir. Sengaja dia berbuat demikian.

Syakir tersengih.

"Kau ni Syakir, bab mengayat perempuan memang pandai." Mat Karan menepuk-nepuk bahu teman baiknya itu.

Syakir ketawa.

Aku bukan mengayat. Tapi aku mengugut! Kalau tak ugut, jangan haraplah minah ni nak masuk kelab teater. Dia siap percaya bulat-bulat yang aku dapat surat cinta yang dia tulis untuk Haziq.

Haziq mana pernah berahsia dari aku. Apa yang dia dapat pastinya dia beritahu aku dahulu. Termasuk surat cinta yang Azyan tinggalkan di dalam lokarnya. Malah aku sudah menghafal seluruh isi kandungan surat cinta Azyan untuk Haziq. Pergh! Boleh tahan jugak jiwang si gorilla ni.

Nasib kaulah, Azyan. Aku memang lelaki yang pantang mengalah. He he he… kata orang, ikan sudah kena pancing. Walaupun Azyan ni kuat dan cerdik, tapi otak dia ni slow sikit.

"Tolong sikit!"

Azyan bersuara lantang. "Aku tidak berminat langsung dengan mamat sengal ni! Kalau dia tak ugut aku… aku tak akan berada di sini, tau! Dasar otak banyak kuman diternak. Main kotor!"

"Dah agak dah pun…." Nani bersuara.

Kesian pula dia pada Azyan. Si Syakir kalau tak guna taktik kotor dia, memang tak sah. Nani tahu Syakir memang sukakan Azyan. Ya… hanya Nani yang tahu segala rahsia Syakir. Itu pun secara kebetulan dia terjumpa gambar Azyan dalam buku nota Syakir.

Syakir langsung tak gelabah masa tu. Dia tetap cool dan selamba. Malah bukan Nani yang mengugut Syakir untuk membongkarkan rahsia sebaliknya Nani pula yang diugut agar tidak membongkarkan rahsia. Syakir memang seorang lelaki yang sukar dijangkakan.

"Kau nak rahsia kau pecah pada umum ye?" Syakir berbisik pada telinga Azyan.

Berkerut seribu dahi anak gadis itu. "Kau nikan Syakir…."

Azyan mula menghayunkan penumbuknya.

Syakir mengelak sambil ketawa berdekah-dekah. Suka benar dia melihat muka Azyan yang merah menahan marah itu. Comel….

"Jangan kau nak rapat-rapat dengan aku! Gatal! Miang keladi! Buaya! Cicak kobeng!" marah Azyan. Berdebar-debar hatinya bila Syakir begitu rapat dengan dia tadi.

Tercengang-cengang semua ahli kelab teater. Terkejut beruk melihat kekuatan Azyan yang dipamerkan. Fuyooo! Ganas rupa-rupanya gadis yang zahirnya tampak lemah lembut itu. Terbeliak biji mata diorang. Azyan umpama gorilla yang terlepas dari kandang.

"Apa pandang-pandang?!" jerkah Azyan.

Masing-masing kecut perut, menyorok di belakang Syakir kecuali Nani.

"Aku terlupa nak bagitau kat korang yang aku tangkap gorilla ni dari kandang. Itu sebab aku kena kasi umpan sikit baru dapat jinakkan dia. Kalau korang nak tau gorilla ni sebenarnya nak jadi lebih feminin tapi dia tak dapat juga sekat aura gorilla yang telah sebati dalam badan dia tu."

Syakir menyilangkan tangan sambil memalit senyuman bangga.

Mencuka wajah ayu Azyan. Tak guna punya Syakir!

"Umpan apa kau bagi dia?"

Soalan bodoh keluar dari bibir Mat Karan.

"Umpan ni!" sahut Azyan sambil menayangkan penumbuknya.

Tertelan air liur Mat Karan. Mak oi! Memang garang.

"Cukup!"

Syakir menjeling Azyan. Dia duduk di atas pentas. Dia menggoyang-goyangkan kedua belah kakinya. Tangannya dihala pada muka Azyan. "Tiada sebarang bantahan dari mulut kau yang aku nak dengar. Kalau aku kata A, maka A la jawapannya. Ada faham?"

Seriusnya wajah Syakir. Sama serius sewaktu permusuhan pertama mereka dahulu.

Tapi Azyan tak takut dengan jelingan Syakir itu.

"Aku tak suka diperintah oleh diktator!" getus Azyan.

"Aku memang diktator. Macam kau perintah aku kat sekolah dulu."

Syakir tersengih. Dia mengangkat-angkat keningnya.

"Ooo…."

Masing-masing memuncungkan mulut mereka. Lepas ini azablah mereka semua dikerjakan oleh Syakir. Apa tidaknya, pertunjukan pentas hanya tinggal tiga hari saja lagi. Kena kerja keraslah jawabnya.

Paling teruk kena seksa, pastinya Cik Nur Azyan yang membawa watak utama dalam pementasan mereka. Boleh ke Azyan menanganinya nanti?

Mereka memandang ke arah Azyan yang masih bertekak dengan Syakir.



"MURAMNYA muka akak malam ni?"

Ringan saja mulut Syamil bersuara. Monyok benar Azyan. Ini mesti ada tak kena dengan cikgu tuisyen kesayangannya itu. Apa yang dia dengar dari mulut abangnya, Azyan sekarang sedang menjalani latihan ketat di kelab teater. Kesian… Abang Syakir dera dialah tu.

"Akak takde moodlah malam ni, Syam. Letih! Hari-hari kena praktis atas pentas. Naik lenguh seluruh badan ni dah," adu Azyan.

Tengok budak-budak dalam kelasnya itu mulalah terbayangkan muka Syakir yang seakan-akan sedang mentertawakan dia. Azyan hilang tumpuan. Malah anginnya mula jadi tidak menentu. Takut nanti jadi ribut taufan aje. Hampeh punya Syakir!

"Ala… tak bestlah kalau akak monyok macam ni. Ini mesti akak bergaduh lagi dengan mamat sengal tukan?"

"Cicak kobeng tu memang selalu kasi akak naik darah. Lama-lama akak boleh kena darah tinggi, Syam. Tengok muka akak yang cun ni pun dah jadi cengkung, tau. Akak tak nak jadi cicak kobeng macam mamat sengal tu."

Dengan Syamil… Azyan meluahkan ketidakpuasan hatinya. Dia tidak tahu Syamil dan Syakir punya pertalian darah yang takkan putus. Muhammad Syamil bin Ilyas adalah adik kepada Muhammad Syakir bin Ilyas. Takkan Nur Azyan binti Idris tak perasan kut? Kan ke muka mereka ada iras-iras? Slow betul budak Azyan ni!

"Syam ada satu penyelesaian untuk akak."

Syamil menongkat dagu merenung wajah ayu Azyan. Syamil merasakan dia lebih layak berada di sisi Azyan berbanding abangnya, Syakir. Syakir tu tak pandai ambil hati perempuan. Tak pandai mengurat!

"Ye ke? Syam boleh tolong akak?"

Azyan rasa teruja. Sementelah Syamil paling rapat dengan Azyan di antara anak-anak murid yang lain.

"Yelah… apa kata akak jadi girlfriend Syam. Syam akan lindungi akak dari mamat sengal yang kacau akak tu. Nampak aje badan Syam kecik tapi Syam kuat jugak, tau." Bersemangat Syamil menuturkan katanya.

Terjegil biji mata Azyan. Budak kecik ni! Ligat tangannya memulas telinga Syamil.

Menjerit lantang Syamil.

"Siapa ajar ni? Tak padan kecik dah miang ye."

"Syam gurau sikit dah meradang. Tak sporting la akak ni."

Syamil mencebikkan bibirnya. Melepaslah dia. Azyan langsung tak pandang dia sebab dia cuma budak kecik pada pandangan mata Azyan. Azyan memang cun, sebab itulah budak kecik macam dia pun boleh tersangkut. Cinta tak mengenal usia, beb!

"Syam gurau tak kena timelah. Saja nak bagi akak terkejut beruk," gerutu Azyan.

Syamil ketawa kecil. Dalam hati kecewa, tau. "Okeylah. Syam salah pada akak. Apa kata Syam belanja akak air Coke. Nak tak?"

Syamil memulakan langkahnya. Mengajak Azyan minum bersama. Malam pun masih muda lagi. Kedai mamak corner tu tidak berapa jauh dengan rumah Azyan. Keluar dengan budak kecik, Encik Idris misai melentik takkan marahlah punya sebab Azyan berdating dengan budak kecik saja.

"Orait. Kita tamatkan kelas awal malam ini." Azyan menyatakan persetujuan.

"Cantik!"



WAH! Sibuk jugak kedai mamak corner malam-malam ni.

Azyan dan Syamil memilih tempat duduk yang agak tersorok. Azyan ada mengajak Salwa turut serta bersama mereka. Tapi temannya itu menolak sebab ada assignment yang perlu dibereskan. Jika tidak, mengamuk sakan Encik Tamdan tu nanti. Malas Salwa nak bertegang urat dengan orang tua yang agak tiga suku sikit tu.

Tak baik betul Salwa mengutuk Encik Tamdan. Dapat point rendah, baru dia tahu.

Dengan Encik Tamdan, jangan main-main sangat. Orang tua tu straight to the point. Tak pilih kasih. Itu yang Azyan suka sangat dengan Encik Tamdan tu....

Melebar senyuman Azyan melihat air Coke, minuman kesukaannya terhidang di depan mata. Segera dia menghirup air Coke yang sudah berisi di dalam gelas besar tu.

Geli hati Syamil melihat gelagat Azyan. Tak nampak garang macam gorilla pun. Dia marah pun masih tampak kelembutannya. Syamil mengusap-usap dagunya. Musykil!

"Aik! Malam-malam makan ais krim sundae?"

Berkerut dahi Azyan melihat pesanan Syamil.

"Syam suka sundae. Abang Syam pun suka sundae. Sedap, kak."

"Eee… akak tak suka sundae. Manislah! Eh, tadi Syam cakap, Syam ada abang. Tak pernah pun cerita kat akak ye."

Azyan menarik pipi Syamil.

Syamil tersengih. Tak pernah tanya, macam mana nak tahu, kan?

"Adik-beradik Syam cuma dua orang aje. Dua-dua lelaki, kak. Pening juga abah dan mak nak layan kerenah kami dua beradik, terutamanya along. Nakal sangat, kak. Sekarang along masih belajar. Ambil jurusan medic. Itu pun sebab abah desak. Along tu lebih suka bab-bab enjin kereta ni. Dia nak jadi mekanik, buka bengkel sendiri. Tapi, abah tak kasi," cerita Syamil.

"Habis tu, abang Syam tak memberontak ke?"

"Along tu... dalam nakal-nakal dia, dengar kata jugaklah. Kebetulan pula awek yang dia dok usyar selama ni belajar kat sama kolej dengan dia. So, makin bersemangatlah dia belajar. Lupa dah dengan minat dia dengan enjin kereta."

"Berpengaruh betul gadis tu pada dia, sampai dia ubah fikiran. Dia dapat tak tackle gadis tu?"

Azyan kian berminat dengan cerita abang Syamil.

"Tak. Awek itu slow sangat pick up (faham). Dari zaman sekolah lagi sampai sekarang, awek tu masih buat bodoh dengan dia. Along bukan pandai sangat dengan ayat-ayat cinta macam mat jiwang. Dia pendam perasaan. Yang dia tau buat, cari gaduh dengan awek kesayangan dia tu. Kadang-kadang along tu bengong jugak, kak. Harap muka aje handsome."

"Alahai… kesiannya abang Syam tu. Bodoh betul gadis tu. Takkan dia tak faham-faham lagi kut ada orang syok kat dia diam-diam."

Azyan simpati. Kisah abang Syamil lebih kurang sama macam kisah dia jugak. Si Haziq pun slow jugak. Sampai la ni masih tak tunjuk sebarang respons pada dia. Takkan dia nak mulakan dulu, kut. Surat cinta yang dia kasi pula sudah dirampas oleh melaun cicak kobeng tu.

"Mana awek tu nak faham… dah otak dia pun slow jugak," keluh Syamil. Dia kerling Azyan dengan ekor matanya.

Kenapalah kau langsung tak mengesyaki yang aku tengah bercerita tentang kau, Kak Azyan oi! Along aku itulah musuh ketat kau dari sekolah lagi, tau. Kalau kau nak tahu dia dah lama gila bayang dengan kau. Gadis gagah berperwatakan maskulin. Tapi di mata aku, kau tiada langsung ciri-ciri gagah dan maskulin seperti yang along ceritakan.

"Abang Syam tu dengan akak senasib, tau. Mamat yang akak minat giler tu pun selalu buat bodoh aje. Bengkak jugak hati akak tengok muka selenga dia tu. Rasa nak give-up aje."

Azyan menongkat dagu.

"Eh! Akak pun ada masalah cinta jugak ye. Siapa mamat bertuah tu? Bodoh betul dia tak pandang akak yang cun ni. Kalau Syam, dah lama dah Syam buat akak jadi awek Syam."

"Haziq."

Laju aje Azyan menyebut nama Haziq.

Gelap seketika dunia di sekeliling Syamil. Ingatkan nama Syakir yang keluar dari bibir Azyan tapi nama Haziq, sepupu mereka pula yang Azyan sebut. Parah gini. Dia mesti laporkan hal tersebut kepada Syakir dengan segera!

Sedang asyik mereka berbual, handphone Azyan berbunyi. Bergema irama lagu tema The Rock. Nama Anuar terpapar pada skrin telefon. Pantas Azyan menjawab panggilan. Azyan menepuk dahi. Dia mematikan talian telefonnya. Wajah Syamil dipandang.

"Akak kena gerak dululah, Syam. Lupa pulak malam ini ada game liga Inggeris. Chelsea lawan Manchester United." Kata Azyan sambil menyusun sepuluh jari.

Syamil anggukkan kepalanya.


SYAMIL memuncung melihat Syakir yang sedang asyik menonton televisyen di ruang tamu sebaik saja dia membuka pintu rumah. Tengok bola la tu! Malam ini ada siaran langsung Manchester United lawan Chelsea. Patutlah Azyan juga tergesa-gesa nak balik tadi. Lupa yang Azyan pun kaki bola. Amboi! Siap bawak popcorn dengan air Nescafe menghadap depan televisyen. Syakir sekarang menyokong pasukan Chelsea. Dia dengan abah pulak sokong pasukan Manchester United.

"Abah mana?" soal Syamil sambil melabuhkan punggung di sebelah Syakir.

"Abah pergi kenduri kat rumah pak usu. Malam esok baru balik. So, adik takde back-uplah malam ini," jawab Syakir sambil memaut bahu Syamil.

Syamil mencebik. Dia tenung abangnya itu. Syakir memang handsome sikit dari dia. Kenapalah dia lambat membesar? Kalau tidak, boleh dia pikat Azyan.

"Tadi adik keluar dengan Kak Yan, minum-minum," cerita Syamil.

"Oh! Baguslah tu, keluar minum-minum dengan bakal kakak ipar."

Riak wajah Syakir selamba aje.

"Kak Yan bagitau adik yang dia suka pada Abang Haziq. Macam mana ni?"

Syamil menyuap popcorn ke dalam mulutnya. Matanya turut mengikuti siaran langsung liga juara Inggeris itu.

"Along dah tahu. Don’t worry. Bakal kakak ipar adik takkan jadi milik Haziq tu."

Segala rancangan sudah diaturkan di dalam kepala Syakir. Dia sama sekali tidak akan beri peluang kepada Azyan untuk mendekati Haziq.

"Yakin sungguh!"

"Mestilah. Tiada perkataan ‘tidak’ dalam moto hidup along. Azyan akan jadi awek along!"

"Baguslah along bersemangat waja. Adik pun akan berusaha."

"Adik nak berusaha buat apa pulak?"

"Adalah… mana boleh kasi tahu sama along. Emmm…. macam mana game?"

Syamil ubah topik perbualan.

"Awal lagi. Rentak pemain, masing-masing slow. Adik jangan risaulah. Malam ini Chelsea akan benam (kalahkan) Manchester United."

"Hmmm... tak tahu lagi tu. Permainan baru bermula. Silap-silap adik benam along, tau."

"Cuba ulang sekali lagi."

"Takde apa-apalah."

"Yan mesti ada mengadu pada adik, kan?"

"Along dera Kak Yan. Kejam sangat cara along nak pikat dia. Main kasar," desis Syamil.

"Kasar apanya pulak? Dah cukup lembutlah tu...."

Syamil mengeluh kecil. Pada Syamil, air Coke dengan sundae memang tidak boleh bercampur. Kalau Syakir lambat sangat meluahkan isi hati yang terpendam, dia yang akan rembat Azyan dahulu. Tak kisahlah Azyan tujuh tahun lebih tua daripada dia. Umur bukan lagi ukuran. Syamil mula memasang angan-angan dalam kepala.

Gelagat yang terlalu tertonjol itu disedari oleh Syakir. Apa lagi, kena ketuk kepala Syamil dengan buku lima Syakir.

Syamil menjuihkan bibir. Digosok-gosok kepalanya. Berangan sikit pun tak boleh!



"GOLLL!" laung Azyan sambil mengangkat kedua belah tangannya.

Geleng kepala Encik Idris melihat gelagat anak daranya yang seorang itu.

Azuan dan Anuar juga meniru aksi adik kesayangan mereka itu.

Pada pandangan mata Encik Idris, anak daranya itu memang failed kalau nak dijadikan menantu mithali. Tapi salah dia juga kerana mendidik Azyan dengan ketat seperti abang-abangnya.

"Yan dah cakap Chelsea mesti menang punyalah!" sorak Azyan gembira.

Senang hati dia melihat kekalahan Manchester United kepada Chelsea. 2-0 Chelsea bantai Manchester United.

"Nasib baik Yan sempat balik, kalau tak melepas tadi," kata Azuan sambil memaut bahu adiknya.

"Ala, itu pun sempat tengok separuh masa pertama. Yang dok gatal pergi dating dengan budak kecik tadi pasal apa? Kalau abang tak call tadi, mesti Yan melepas tengok game," celah Anuar.

"Yan keluar dengan budak kecik pun nak kecoh. Bukannya Yan apa-apakan dia pun."

"Yan tu bukan boleh tengok lelaki handsome sikit. Mulalah nak menggatal. Baik-baik, Yan. Anak teruna orang! Baru umur tiga belas tahun. Belum akil baligh lagi tu."

Anuar menghayunkan jari telunjuknya ke muka Azyan. Kerap sangat dia lihat Azyan berdua-duaan dengan Syamil di mamak corner.

Azyan pecah ketawa. "Yan tak berseleralah kat budak kecik tak cukup umur tu. Si Syakir yang handsome giler itu pun Yan tak kebulur, nikan pulak si budak kecik yang baru nak membesar. Yan masih waraslah. Otak abang ni selalu fikir benda-benda kotor, tau. Tak baiklah!"

"Manalah tau… perempuan sekarang lebih bahaya daripada lelaki. Abang sekadar bagi peringatan aje. Jangan rosakkan anak teruna orang."

Bertambah besar tawa Azyan diikuti dengan tawa Azuan.

Apa kena dengan Anuar hari ini? Semacam aje gaya percakapan dia. Ini mesti ada yang tak kena ni.

"Mengarut betul abang ni."

"Mana dia tak mengarut, Yan. Dia kena gangguan seksual dengan seorang awek satu fakulti dengan dia. Hari-hari awek tu bagi dia bunga dengan coklat. Siap ada flying kiss lagi pada surat yang dia bagi. Paling kelakarkan semalam awek tu bagi warning dengan Nuar. Kalau Nuar pandang awek lain, dia nak rogol Nuar!"

"Apa? Ha ha ha!"

Terburai lagi tawa Azyan dan Azuan. Boleh pulak macam itu?

Cemberut Anuar bila ditertawakan oleh Azuan dan Azyan. Terkena dia kali ini!

0 comments:

Post a Comment