Coke And Sundae

Karya Dari Ilya Abdullah

PETIKAN DIALOG NOVEL

"Jangan menyibuk hal luar dan dalam kain orang! Itu aku punya sukalah. Kau patut jaga je luar dan dalam kain kau!"

"Aku tak pakai kainlah Yan. Aku pakai seluar." Mengekeh Syakir ketawa. Azyan mencebik. Kurang asam punya lelaki.

PETIKAN DIALOG NOVEL

"Aku bagi kau pilihan Cik Nur Azyan. Kau nak diheret atau didukung. Kalau pada akulah kan aku lebih suka dukung kau."

"Dua-dua tak hingin! Dah-dah aku nak balik!" Azyan menyeringai. Kau paksa aku macam mana sekalipun aku tidak akan masuk kelab teater yang menggelikan itu! Tidak!

Coke And Sundae 8

BAB 8

KEINDAHAN taman bunga itu memberikan suasana yang cukup romantis kepada Azyan. Gembira bukan kepalang kerana akhirnya dia dapat berdua-duaan dengan Haziq. Seronok… namun entah mengapa ada perasaan aneh menyelubungi hati Azyan. Wajah Syakir mula terbayang di ruang anak matanya. Itu yang Azyan tidak suka!

Azyan… jangan kau fikirkan sangat musuh ketat kau itu. Sekarang kau kena fikirkan hubungan antara kau dengan Haziq.

Azyan menepuk-nepuk pipinya. Bibirnya mengulum senyuman apabila melihat Haziq berjalan menuju ke arahnya sambil memegang dua batang ais krim.

"Ini untuk awak."

Haziq menghulurkan ais krim di tangan kanannya kepada Azyan.

"Terima kasih," ucap Azyan lembut.

Betul-betul control ayu! Hu hu hu....

Haziq duduk di sebelah Azyan dengan jarak yang agak jauh. Malu-malu kucinglah tu kononnya.

Mereka berbual mesra.

Tawa Haziq membingitkan telinga Syakir yang berada tidak jauh dari situ. Syakir menongkat dagu sambil memerhati telatah kanak-kanak yang sedang berkejar-kejaran bermain di taman bunga itu. Dia tiada hati mahu melihat adegan romantis Azyan dan Haziq. Buat sakit hati aje!

"Cemburu?"

"Mengarut!"

"Tapi bila dilihat secara dekat, mereka nampak sepadan jugak. Azyan memang comel bila dia ketawa, kan?" komen Nani sambil mencuit bahu Syakir.

Syakir mendengus. Dia sudah lama tahu. Bila ketawa, Azyan sememangnya nampak comel. Sayangnya tawa comel Azyan bukan milik Syakir. Azyan tak pernah ketawa dengan dia.

"Aku tak kisah."

"Betul ke kau tak kisah?"

"Korang ini memang sengaja nak membuang masa aku, kan? Dari buat kerja tak berfaedah ni baik korang teruskan latihan. Pertunjukan tinggal dua hari lagi. Jangan lupa, aku tak mahu ada yang buat silap!" Syakir menjeling ahli kelabnya satu per satu.

Masing-masing buat muka bodoh.

"Kau slow sangat dalam hal mengurat perempuan ni. Dah suka, nak tunggu sampai bila? Sampai kucing bertanduk?" tukas Nani.

Dia tidak kisah dengan jelingan tajam Syakir. Buat apa nak takut dengan lelaki itu? Bukan dia makan orang pun.

"Kucing ada telinga, mana ada tanduk. Mana kau belajar kucing tumbuh tanduk kat kepala."

"Memang bengap betul!" desis Nani.

"Aku dah sakit pinggang duduk kat sini. Aku nak balik!" Syakir bingkas bangun.

Teman-temannya segera menekan tubuh sasa Syakir supaya duduk semula di kerusinya.

Syakir merengus.

"Sabarlah dulu, Syakir. Kau ni menggelabah semacam. Takkan dah panas hati kut?" Nani bersuara. Dia kerling Syakir.

"Hmmm!"

"Aku tak sangka ada jugak kelembutan di hati Azyan yang selalu nampak marah-marah tu. Dia memang cantik dan comel." Saufi bersuara.

"Cakap tengok belakang sikit, Opi. Ada orang tu dah mula berasap satu badan," sampuk Mat Karan.

Saufi berpaling. Tepat kata-kata Mat Karan. Terketap-ketap gigi Syakir dilihatnya. Saufi tersengih. "Kalau dah slow sangat, biar aku aje yang mengurat bagi pihak kau, Syakir. Aku pun dalam golongan lelaki macho dan mampu melindungi Azyan."

Syakir yang tadi bermuka monyok ketawa mengekek. Ada hati Saufi mahu memikat gorilla, si cinta hati dia. Ingat senang ke?

"Jangan nak bermimpilah. Dia hanya suka lelaki yang lebih gagah dari dia. Dia fikir Haziq itu lelaki yang gagah dan perkasa macam hero cerita Ultraman tu. Haziq bukan hero Ultraman tapi Nobita. Si Haziq pulak tak tahu yang Azyan itu, She Hulks. Kuat dan gagah! Setahu aku, Haziq tidak suka perempuan yang ganas-ganas ni," tutur Syakir selamba.

"Tak baik mengata sepupu sendiri."

"Dah memang itu kenyataannya...."

"Eh! Ada sekumpulan lelaki kacau Azyan dan Haziqlah."

Mat Karan menudingkan jari pada Azyan dan Haziq.

Mata mereka mula mengalih pandangan.

Hanya Syakir masih duduk menongkat dagu. Langsung tidak kisah dengan apa yang berlaku pada Azyan dan Haziq.

"Syakir! Ada satu geng budak nakal kacau Azyanlah."

Saufi yang melihat mulai rasa cemas.

"Biarlah… Yan mampu melindungi Haziq." Balas Syakir selamba.



BERKERUT seribu dahi Azyan melihat kehadiran tetamu yang tidak diundang itu.

Kelima-lima anak muda itu nampaknya kenal dengan Haziq.

Haziq pula kelihatan takut-takut.

Salah seorang daripada anak muda itu memaut lengan Azyan.

Azyan tersentak.

Sambil menilik Azyan atas ke bawah pemuda yang memaut lengan Azyan itu berkata, "cantik betul awek kau, Ziq. Tak sangka si lembik macam kau ni pun ada awek cun yang suka ya."

"Apa kata kau bagi saja awek cun ini kepada kami," sahut rakannya.

Haziq hanya membatu dan tidak sedikit pun menunjukkan yang dia akan melawan.

Azyan sedikit hampa. Benarkah Haziq lelaki pengecut seperti yang dikatakan oleh kelima-lima anak muda itu? Tak mungkinlah! Haziq dulu bukan main berani mengelakkan motosikalnya dari melanggar dia dan seekor kucing. "Ziq… tolong saya, Ziq."

Azyan sengaja meminta tolong dengan Haziq. Bukannya dia tidak boleh mengerjakan mamat-mamat tak berguna itu. Sengaja dia mahu menguji Haziq.

"Yan… maafkan saya."

Haziq terus melarikan diri.

Azyan terlopong. Buntang matanya. Tak menduga Haziq yang nampak macho itu meninggalkan dia bersama mamat-mamat ini. Ingatkan hero yang akan menyelamatkan heroin, lebih kurang macam cerita Hindustanlah.

"Ha ha ha… budak lembik tu memang tak berubah. Tetap penakut! Si cantik manis, kau kena layan kami. Kekasih hati kau itu lelaki tak berguna. Lebih baik kau bersenang-senang dengan kami. Kami akan melindungi kau baik-baik."

Kelima-lima anak muda itu ketawa berdekah-dekah.

"Cerminlah diri korang tu dulu sebelum korang nak mendampingi gadis cantik macam aku ini!" suara Azyan.

Wajah ayunya sudah berubah. Urat-urat sudah timbul pada dahi licin Azyan.

"Wah! Awek cun dah naik darah. Eee… takutnya!"

Salah seorang buat lawak bodoh depan Azyan.

Yang lain-lain ketawa besar.

Seronok sangatlah tu! Tak tahu malapetaka sedang menghampiri mereka.

"Kurang ajar!"

Azyan melayangkan penumbuknya. Tepat kena batang hidung mamat yang memegang lengannya itu.

Meraung kawan itu. Darah mengalir dari lubang hidungnya.

"Joe!"

Seorang dari mamat itu menerpa ke arah temannya yang dipanggil Joe. Teruk dilihat keadaan si teman. Mahu patah batang hidungnya.

Azyan menyilangkan tangan. Sampah yang tidak berguna! Berani sungguh mereka mahu bermain-main dengan aku! Mereka tak kenal aku ni anak siapa. Ayah aku mejar tentera, tau. Aku, Nur Azyan anak kepada Mejar Idris bin Bahrain. Juara tae kwan do peringkat sekolah dan daerah. Korang tak layak bermain dengan aku!

"Berani kau patahkan hidung aku? Aku nak tuntut kos perubatan dari kau!" jerkah mamat bernama Joe tu.

"Korang ingat aku takut? Marilah!" Azyan mencabar.

Kelima-lima lelaki itu mengetap bibir. Tidak perlu memberi sebarang isyarat, mereka terus menerpa ke arah Azyan.

Azyan memalit senyuman menakutkan di bibir.



TERMENGAH-MENGAH Haziq mengatur pernafasan. Timbul rasa bersalah di hati Haziq kerana meninggalkan Azyan bersama lima budak samseng itu. Dia takut mahu menghadapi budak yang pernah membulinya ketika di sekolah dahulu. Jika dirinya sekuat Syakir, pasti dia dapat melindungi Azyan. Haziq merasakan dirinya adalah seorang lelaki yang pengecut dan tidak berguna. Harap-harap ada la orang yang akan menyelamatkan Azyan. Pasti Azyan akan membenci dia selepas ini.

"Sampai bila kau nak jadi pengecut?"

Wajah Syakir tertonjol di depan muka Haziq.

Haziq mengurut dadanya. Bila masa pulak Syakir boleh berada di sini? Haziq menundukkan kepalanya. Rasa malu hendak menghadap muka Syakir.

"Kau malu sebab kau lemah. Kau benar-benar memalukan kaum lelaki. Sekalipun kau lemah, kau tak patut melarikan diri dan tinggalkan Azyan macam tu aje. Dia tentu kecewa dengan kau."

"Abang Syakir, aku… aku… aaa…."

"Kau tak layak jadi teman lelaki Azyan."

Syakir menarik kolar t-shirt Haziq. "Lebih baik kau lenyap dari pandangan mata Azyan saja! Dia hanya layak bersama aku!"

Haziq terkulat-kulat mendengar bicara kasar Syakir. Matanya mengekori setiap langkah Syakir. Haziq rasa seperti mahu menangis. Dia menggigit bibir. Kata-kata Syakir terngiang-ngiang di cuping telinganya.

Aku memang lelaki pengecut! Tapi sampai bila aku mahu jadi pengecut?

Lantaklah! Kali ini aku tidak mahu lari lagi. Aku sukakan Azyan. Maka aku mesti selamatkan dia dari budak-budak tak berguna itu. Aku tidak mahu kalah dengan Syakir, desis hati Haziq.

Dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim, Haziq membuka langkah besar. Langkah yang menggegarkan taman bunga itu, konon-kononnya la....

Namun kerlingan tajam pengunjung di situ tidak terarah kepada Haziq, sebaliknya bulat mata mereka menyaksikan adegan tumbuk-menumbuk Azyan dengan lima pemuda samseng yang mengganggunya. Cukup ganas dan mengerikan, kategori 18SG kalau disiarkan di televisyen.

Syakir memerhati dengan senyuman tetapi Nani dan lain-lain hanya menganga. Tak berkelip mata mereka dibuatnya. Sukar nak percaya apa yang mereka lihat. Sadis sungguh keadaan lima pemuda nakal yang kononnya samseng kat kawasan itu.

"Betul ke apa yang aku tengok ni?" Saufi bertanya pada dirinya sendiri. Dia menggosok matanya berkali-kali.

Nak percaya atau tidak? Tapi kalau tak percaya tak logiklah pula sebab memang dah berlaku kat depan mata.

"Huiyo... kuatnya," omel Mat Karan. Dia memaut leher Hamidi. Diusap-usap rambut Hamidi ala-ala Mawi itu.

"Aku dah cakap dah, takde sesiapa yang dapat mengalahkan gorilla tu kalau dia dah mengamuk," ujar Syakir.

Syakir membuka langkah. Baru setapak melangkah ada ribut taufan telah mendahului Syakir terlebih dahulu.

Siapa lagi kalau bukan Haziq.

Haziq tercungap-cungap seperti orang kena penyakit asma. Seketika kemudian dia sudah mampu mengatur kembali rentak pernafasannya. Dia angkat kepala. Matanya membulat.

Kelima-lima pemuda itu sudah terlentang di atas rumput dengan muka yang lebam di sana sini.

Apakah dia sudah terlewat? Adakah Syakir terlebih dahulu menunjukkan heronya depan Azyan?

Azyan menjeling tajam ke arah Haziq. Lelaki tak guna! Berani meninggalkan dia bersama ‘sampah’ yang luaran punyalah nampak hebat tapi hampeh! Lembik! Seorang perempuan yang cantik lagi comel ini pun tidak mampu mereka nak kalahkan.

"Yan… awak tak apa-apa?"

Haziq meluru mendapatkan Azyan. Memeriksa keadaan Azyan yang sememangnya sedikit pun tidak punya sebarang kecederaan.

"Lelaki pengecut!" getus Azyan. Kolar baju Haziq direntap kasar.

Haziq tersentak.

"Berani kau tinggalkan aku dengan lima ekor budak lembik nak mampus ni? Kau memang sengaja cari nahas dengan aku!"

Azyan menayangkan buku limanya pada muka Haziq. Sikap yang disembunyikan terpapar luas menjadi tatapan penonton-penonton siri drama tidak popular ini.

Haziq telan air liur. Mak oi! Garangnya! Sahlah kelima-lima pemuda itu telah dikerjakan oleh Azyan dan bukannya Syakir. Ketakutan mula menyelubungi hati Haziq. Dia tidak menduga Azyan adalah seorang perempuan yang gagah dan lebih kuat daripada dia. Azyan tak ubah seperti watak Shu Qi dalam filem My Wife Is A Gangster.

"Maafkan saya, Yan. Saya bukan sengaja nak tinggalkan awak. Saya… saya…." Haziq terketar-ketar bersuara.

"Dia memang pengecut, tapi itu bukan salah dia. Sejak kecil lagi dia memang selalu kena buli dengan ‘sampah’ lima ekor ini. Akulah penyelamat dia ketika dia dibuli."

Syakir dan ahli-ahli kelab teaternya tunjuk muka depan Azyan dan Haziq.

Terkejut beruk Azyan. Cis lagi sekali! Syakir dan budak-budak kelab teater menghendap dia berdating rupa-rupanya!

"Kau menghendap aku ya?"

Mata Azyan melotot ganas pada yang empunya suara. Kolar baju Haziq dilepaskan. Dia menghadap Syakir yang sedang tersengih memperlihatkan gigi-gigi putihnya.

Geng kelab teater menyorok di belakang Syakir. Masing-masing berdoa agar tidak dibelasah oleh Azyan. Tak pasal-pasal pulak nanti mereka join budak lima ekor yang terlentang di atas rumput itu.

"Kau ingat aku teringin sangat nak menghendap kau berdating dengan Haziq? Minta maaflah. Dari aku menghendap kau baik aku pergi zoo, tengok beruk yang bergayut atas pokok tu."

Nani menepuk dahi. Ke situ pulak Si Syakir ni.

"Habis tu, kalau kau pergi melawat kawan kau yang suka bergayut atas pokok tu, kenapa kau ada kat sini pulak?!"

"Kau pun satu kaum dengan kawan aku yang bergayut dalam zoo tu jugak. Bezanya kau terlepas dari kandang, itu aje. Itu aku datang nak jinakkan kau, nak masukkan kau dalam kandang semula."

Badigol punya Syakir! Berani dia samakan aku dengan beruk-beruk dalam zoo tu? Ini boleh lebih mendatangkan marah!

Azyan dan Syakir mula lawan mata. Tunggu masa saja Azyan menerkam Syakir. Aummm!

"Azyan, saya minta maaf. Tak sangka awak memang kuat ye."

Suara Haziq buat kepala Azyan berpaling.

Haziq melemparkan senyuman yang selalu buat Azyan angau tapi tidak pada hari ini.

"Kenapa? Salah ke saya kuat macam lelaki? Awak takut?" duga Azyan.

"Saya suka. Saya tak kisah awak lebih kuat dari lelaki. Saya memang sukakan awak, Yan. Pada saya, awak tetap ayu dan comel."

Wajah ganas Azyan berubah sekelip mata. Telinga dia tidak salah dengar ke?

Mata Syakir terbeliak. Kata-kata yang tidak disangka keluar dari mulut adik sepupunya itu. Bila pulak budak seorang ini tukar selera suka pada perempuan kuat? Aduh! Masalah ini! Dia tidak boleh biarkan Haziq mengurat buah hati pengarang jantungnya itu.



KALAU petang tadi Azyan menyeringai, malam itu pulak wajah Encik Idris yang menyeringai hinggakan bulu roma ketiga-tiga anaknya menegak.

Azuan dan Anuar dah kehilangan kata-kata. Berat juga kes yang diterima hari ini. Sampai dibawa masuk ke dalam balai polis. Mujurlah salah laku itu berpunca daripada budak-budak jahat lima ekor itu. Kalau tidak... habislah berbirat belakang badan Azyan kena balun dengan rotan.

Azyan yang diberi nasihat itu menundukkan kepala. Entah dengar entah tidak nasihat yang berbuih-buih keluar dari mulut ayahnya itu. Masuk telinga kiri keluar telinga kanan. Insaf hari ini, esok buat lagi. Biasalah tu….

"Kata nak jadi perempuan lemah lembut dan penuh kesusilaan. Tapi bertukar jugak jadi gorilla. Kalau nak belasah pun jangan sampai budak-budak itu tak boleh bangun, Yan. Belasah ala kadar aje dahlah! Kau nak rabakkan poket ayah ke? Sudahlah sebelum ini ayah dah rabakkan poket menanggung kos perubatan budak Fadhil, anak Mak Timah Radio tu."

Azyan ketawa. Ayah pun dah gelarkan mak Si Fadhil tu Mak Timah Radio juga.

"Yan…." Azuan menyiku lengan Azyan.

Azyan menekup mulut.

"Itulah Nuar… ayah dah cakap jangan ajar adik kau jadi kuat. Tapi kau degil. Biarkan dia masuk kelas seni mempertahankan diri. Dah kuat begini, siapa yang susah? Rosak satu-satunya anak dara ayah, tau."

"Ala… ayah dah lupalah tu. Ayah pun setuju juga masa Nuar usulkan mahu ajar Yan jadi kuat. Masuk kelab tae kwan do. Ayah kata senang, tak adalah susah sangat nak jaga anak gadis ayah macam jaga sekandang lembu." Anuar membalas.

"Ni kes terlajak perahu dah tak boleh berundur dah ayah. Lagipun Yan cuma mempertahankan diri dari budak-budak lembik nak mampus tu. Siapa suruh mereka kacau Yan," celah Azuan.

Azyan tersengih. Terima kasih abang-abangku kerana membela adikmu yang agak nakal ini.

"Itulah abang dah cakap, jangan nak jadi feminin sangat! Nak cantik! Kan dah susah bila jadi comel gini. Lelaki mulalah naik miang." Anuar menarik telinga Azyan.

Azyan mendengus kecil. Apa ni main tarik-tarik telinga orang pulak!

Anuar berbeza sikit perangainya daripada Azuan. Anuar agak garang dan tegas dengan Azyan.

Azuan berlembut sikit. Dia suka manjakan Azyan.

Itu sebab Azyan lebih rapat dengan Azuan berbanding Anuar. Ala, dua-dua Azyan sayang cuma sayang sikit lebihnya pada Azuan sebab Azuan lebih understanding.

"Apa salahnya dia nak jadi cantik? Dulu dahlah jadi budak nerd ke hulur ke hilir tak lekang dengan buku. Bukan setakat dapat gelaran gorilla bahkan digelar Ugly Duckling kat sekolah. Itu sebab Azyan jadi seorang gadis yang amat menakutkan. Renung orang macam nak makan orang," bidas Azuan.

Si ayah di depan mata tidak dihiraukan lagi oleh dua beradik itu. Azyan pun begitu. Encik Idris bagaikan sudah tidak wujud di hadapan mereka. Baik punya anak!

"Buat apa nak jadi cantik? Aku lebih suka Yan yang lama. Lagi comel dan cantik. Kalau lelaki tak pandang pun tak apa. Nak tengok perempuan bukan dari luarannya tapi dari dalam ni, hah." Anuar tetap tak mahu mengalah.

"Hmmm... sampai ke tualah adik kita tak kahwin. Penampilan pun kena jaga jugak. Aku bukan apa, Nuar. Sesekali biarlah ada imej pada adik kita ni walaupun dia terlalu ganas dan menakutkan. Dah ayah muka ganas, kau dan aku pun muka ganas. Adik yang comel pun kau nak jadikan ganas. Patutlah seram sejuk bebudak (budak-budak) lelaki dan perempuan nak kawan dengan Azyan. Nasib baik ada Si Wawa tu."

Azuan dan Anuar mula berdebat.

Azyan pulak join sekaki. Terangguk-angguk kepala menyokong Azuan.

Encik Idris gelengkan kepala. Boleh pulak mereka tukar topik perbualan. Perlahan-lahan dia berdehem.

Ketiga-tiga anaknya berpaling ke arah si ayah yang sudah tersengih penuh makna.

"Amboi… meriahnya. Langsung tak nampak ayah ye," suara Encik Idris.

"Maaflah ayah. Kita orang terover pulak," balas Azuan dengan sengihan di bibir. Tangan kanan menggaru-garu kepala yang tidak gatal.

"Yan."

"Ya, tuan mejar."

"Ayah nak Yan janji dengan ayah satu perkara."

Mungkin ini saja caranya Encik Idris dapat menyekat sikap baran Azyan.

Lama Azyan berdiam barulah dia anggukkan kepala. Biarlah kali ini dia mendengar sikit cakap ayah.

"Dalam masa satu bulan ini ayah tak mau Yan bergaduh ke... bertumbuk ke. Tak kira la dengan sesiapa pun. Janji dengan ayah, Yan." Encik Idris merenung tepat ke dalam anak mata Azyan.

"Dengan lipas pun tak boleh?" Azyan buat lawak bodohnya.

"Nur Azyan…." Encik Idris keraskan suaranya.

Azyan ketawa kecil. Suka benar kalau tengok wajah ayahnya marah. Merah satu muka. "Okeylah… okeylah. Yan janji dengan tuan mejar."

Azyan mengangkat sebelah tangannya. Tidak sampai hati mahu mengecewakan ayah tersayang. Setegas-tegas ayah, dia tetap sayangkan ayahnya. Selama ibu tiada, ayahlah yang menguruskan keluarga. Ayahlah ketua keluarga dan ayah jugalah suri rumah tangga. Kesian ayah. Anak-anak pula degilnya, nauzubillah! Terutamanya Azyan.

Bunyi telefon membuatkan ayah terpaksa ke ruang tamu, menjawab panggilan.

"Yan boleh ke tunaikan janji pada ayah tu?" tanya Azuan.

"Emmm… insya-Allah. Yan rasa Yan boleh tunaikan janji pada ayah. Lagipun sebulan tu bukannya lama. Pejam celik dah sebulan."

"Harap-harap begitulah. Kali ini Yan akan dapat pengajaran sewajarnya. Itulah… ikutkan sangat sikap panas baran Yan." Azuan menepuk-nepuk bahu adiknya.

Azyan mengulum senyuman.

"Tak apa. Kalau Yan dibuli laungkan saja nama Abang Nuar."

"Tak payahlah, Nuar. Sebelum tu kau selesaikan dulu problem kau dengan awek psycho kau itu. Kau pun dah berada dalam keadaan genting ni," celah Azuan.

"Sibuklah kau! Hal aku, tahulah aku uruskan."

"He he he… apa susahnya? Abang terima saja lamaran awek psycho tu. Lagipun dia cun la. Yan suka."

"Sah korang berdua menghendap aku ye."

Anuar mengetap bibir.

"Memang dah sah pun kami menghendap Abang Nuar. Lagipun Abang Zuan yang ajak tumpang sekaki dengan dia. Kalau dapat tengok babak yang panas pastinya kami dah rakamkan untuk Abang Nuar, tau."

Azyan mula ketawa mengekek.

Diikuti oleh Azuan.

Ayah yang berada di ruang tamu hanya menjeling anak-anaknya. Entah apalah yang diusik oleh Azyan dan Azuan pada Anuar.

0 comments:

Post a Comment