Coke And Sundae

Karya Dari Ilya Abdullah

PETIKAN DIALOG NOVEL

"Jangan menyibuk hal luar dan dalam kain orang! Itu aku punya sukalah. Kau patut jaga je luar dan dalam kain kau!"

"Aku tak pakai kainlah Yan. Aku pakai seluar." Mengekeh Syakir ketawa. Azyan mencebik. Kurang asam punya lelaki.

PETIKAN DIALOG NOVEL

"Aku bagi kau pilihan Cik Nur Azyan. Kau nak diheret atau didukung. Kalau pada akulah kan aku lebih suka dukung kau."

"Dua-dua tak hingin! Dah-dah aku nak balik!" Azyan menyeringai. Kau paksa aku macam mana sekalipun aku tidak akan masuk kelab teater yang menggelikan itu! Tidak!

Coke And Sundae 12

BAB 12

AZYAN bengang kerana asyik dikerumuni oleh gadis-gadis yang meminati Syakir. Macamlah dia kawan rapat sangat dengan Syakir. Tanya itu dan ini padanya. Naik menyampah Azyan. Kalau tak tolong, kesian pulak. Nak tak nak, terpaksalah Azyan curi-curi menyelidik tentang lelaki pujaan ramai itu. Dan orang yang terpaksa tapi sebenarnya dipaksa menjadi pembantu utamanya, mestilah Si Salwa. Tiada orang lain dah yang boleh diharapkan.

Salwa mengikut saja. Tiada bantahan langsung dari mulutnya. Katanya elok sangat untuk Azyan mengenali Syakir. Sajalah tu, nak kenenkan Azyan dengan Syakir.

Huh! Tak mungkin hati Azyan akan terpikat dengan Syakir.

Azyan tekun menulis di atas buku catatannya. Bukan buat catatan untuk belajar tapi buat catatan mengenai Syakir.

Salwa di sebelah menjeling saja teman baiknya itu. Encik Tamdan sedang bersyarah di hadapan, dia boleh buat kerja lain di belakang. Pelajar yang ‘baik’. Salwa menyiku lengan Azyan.

Azyan mendengus kecil.

"Nak apa?" soalnya separuh berbisik.

"Sekarang time kelaslah, bukan buat kerja tak senonoh kau tu," balas Salwa separuh berbisik juga.

"Kerja tak senonoh apa bendanya? Apa yang aku buat ni untuk tolong oranglah. Aku bukan pervert!"

Tak sedar langsung Si Azyan yang dia sudah meninggikan suaranya.

Salwa menekup mulut. Alamak! Azyan ni tak control volume suara dia pulak. Mati… mati… mati….

Encik Tamdan yang sedang memberikan penerangan menghala pandangan pada Azyan.

Azyan tersengih. Salwa punya pasallah ni. Mujur saja Encik Tamdan tidak menuju ke mejanya. Kalau tidak, kantoi tadi. Mahunya dia kena basuh (marah) cukup-cukup dengan Encik Tamdan yang straight to the point itu. Jangan memain.

"Nasib kau tak kantoi."

"Kau punya pasallah, banyak sangat soalnya. Walaupun aku favourite student dia, kau ingat Encik Tamdan tu nak bagi muka kat aku? Sorrylah…." Azyan mencebik.

Salwa ketawa kecil.

Beberapa ketika kemudian, Azyan dan Salwa menarik nafas lega. Kelas Encik Tamdan tamat dengan jayanya. Budak-budak kelasnya yang lain mula menyibukkan diri. Riuh satu kelas kerana esok ada ujian gempak dari Encik Tamdan. Kurang asam gelugor betul Encik Tamdan ni. Last minute baru nak cakap esok ada ujian. Malam ni kena sekang mata menghadap buku la jawabnya. Kalau tak lulus, sudah semestinya akan kena denda.

"Kau boleh buat muka blur macam ni? Kau dengar tak Encik Tamdan cakap esok ada ujian?" tanya Salwa sambil menepuk bahu Azyan.

"Aku dengarlah. Kau ingat aku pekak ke? Yang kau risau sangat ni, kenapa?"

"Gila kau! Mahu aku tak risau. Esok ujian baru dia nak cakap hari ini. Sudahlah dia tu suka bagi soalan maut (susah). Kalau tak lulus dia kasi ‘pancung’ sorang-sorang."

"Dia tak ‘pancung’ aku pun."

"Kau tak pernah gagal kertas dia, macam mana dia nak ‘pancung’ kau!" tukas Salwa sambil mengetuk perlahan kepala Azyan.

Azyan tersengih. Mestilah... sebab aku takut kena ‘pancung’ dengan ayah aku. Korang tak tahu. Ayah aku lagi dahsyat dari Encik Tamdan.

"Muhammad Syakir bin Ilyas. Umur dua puluh tiga tahun. Tinggi 180cm. Berat 63kg. Bekerja sebagai model sambilan. Adik-beradik dua orang. Adiknya masih belajar di sekolah menengah rendah. Ayahnya bekerja sebagai pengetua sekolah manakala ibunya suri rumah sepenuh masa. Warna kegemaran, biru. Makanan yang paling dibenci, lobak. Minuman kegemaran, sundae. Cita-cita nak jadi mekanik tapi terpaksa ambil jurusan kedoktoran. So, bakal doktor walaupun sebenarnya muka dia tak layak langsung jadi doktor."

Panjang lebar Salwa baca isi kandungan yang dicatit oleh Azyan dalam buku notanya. Entah bila dia ambil buku itu dari meja Azyan. Azyan sendiri tak sedar tindakan pantas Salwa. Salwa ketawa besar.

"Yang kau seronok sangat ni, kenapa? Aku debik kang baru tau!" Azyan mengepal buku limanya.

Salwa menutup mulut. Namun tawanya masih bersisa.

"Kau cakap ada perlawanan bola antara kolej, kan? Aku rasa aku nak pergilah."

"Aik! Hari itu cakap tak mau pergi. Kau kan menyampah nak tengok muka musuh ketat kau tu?"

Salwa mengusap-usap dagunya. Ini mesti ada niat lain di hati Azyan.

"Mulalah tu syak kat aku! Apa kau ingat aku suka sangat nak pergi tengok Syakir main bola kalau bukan kerana peminat fanatik dia tu."

"Ala… bukan sehari dua aku kenal kau, Yan."

"Betullah… aku nak pergi tengok bukan ada niat jahat kat dia. Aku cuma nak ambil gambar dia untuk peminat fanatik dia ajelah."

"Pervert!"

"Aku bukan pervertlah!"



APA kena dengan anak daranya seorang ini? Sejak kebelakangan ini Azyan suka tarik muka. Kalau disuruh buat kerja sikit, sikit punya tajam jelingan yang dihadiahkan. Kalau ditegur sikit, mulalah muncungnya panjang sedepa. Sakit kepala Encik Idris memikirkan perangai Azyan. Bila ditanya pada Anuar dan Azuan, kedua-dua anak lelakinya itu hanya menggelengkan kepala. Azuan pun dah jadi seperti Azyan, asyik berkurung di dalam bilik sahaja. Apa nak jadilah dengan anak-anaknya ini? Anuar pula sibuk memanjang dengan latihan bolanya. Jarang nampak batang hidungnya di rumah.

Lihat sajalah hari ini. Hanya Encik Idris makan seorang diri. Rasa sunyi pula jika tidak mendengar suara anak-anaknya. Encik Idris berhenti menyuap bila melihat Azyan menuruni anak tangga. Anak gadisnya itu tersengih lalu menarik kerusi, duduk berhadapan ayah tersayang.

Laju Azyan menyenduk nasi ke dalam pinggannya.

"Ingatkan puasa sunat," tegur Encik Idris.

Azyan tersengih. "Yan tak boleh tahan kalau dah terbau kari ayah ni."

"Aik! Selalunya Yan puji kari Abang Ravi mamak corner tu aje. Ini mesti ada apa-apa ni yang Yan nak dari ayah, kan?"

Sekilas Encik Idris menjeling Azyan yang sedang laju menyuap nasi di pinggannya.

"Heh heh heh... ayah memang bijak baca apa yang terkandung dalam kepala anak ayah ni." Azyan mengangkat keningnya.

"Yan nak minta duit belanja lebih ke? Atau Yan nak ayah belikan skuter baru?"

Encik Idris sekadar membuat telahan. Rasa-rasanya dua perkara itu yang penting pada Yan. Skuter Azyan pun sudah nampak semput-semput sekarang ini. Maklumlah skuter pun sudah kian dimamah usia. Sebab faktor usia skuter itulah Azyan jarang nak merempit.

"Dua-dua bukan," balas Azyan siap dengan gelengan kepala. "Yan nak pinjam kamera digital ayah. Yan nak ambil gambar."

"Bila masa pulak anak gadis ayah minat fotografi? Ini mesti ada apa-apa ni… Yan nak ambil gambar siapa? Syakir ke?"

Alamak! Kali ini ayah memang tepat menembak. Tapi anakmu terpaksa ayah. Terpaksa buat kerja mengarut tu! Ingat anakmu ini hingin bangat nak ambil gambar cicak kobeng tu!

"Taklah. Yan nak ambil gambar Abang Nuar main bola sepak, nak buat kenangan terindah dalam koleksi album Yan," dalih Azyan.

"Ayah rasa gambar Syakir lagi indah disimpan dalam album Yan tu. Apa ingat ayah tak tahu ke?"

Serta-merta wajah Azyan berubah. Sahlah ni ayah dah spot check bilik dia. Apa ni ayah? Ganggu hak peribadi anak gadis sendiri. Tak patut. Memang tak patut. Habislah! Ayah tahu yang dia menghendap Si Syakir berpandukan nota-nota yang dia buat tentang Syakir. Dia pula jenis yang lupa sorokkan bahan bukti.

"Tak baik menghendap anak teruna orang. Yan tu orang perempuan. Kalau dah berkenan sangat, ayah pinangkan Syakir untuk Yan. Apa salahnya, kan?" tutur Encik Idris dengan selamba.

"Siapa nak Si Syakir tu? Yan buat kaji selidik pasal dia sebab ada orang mintak tolong. Itu aje. Kalau untuk diri sendiri, tak hingin Yan. Ingat dia Lee Min Ho, hero cerita Boys Over Flower tu ke?"

Azyan membela dirinya. Ala-ala berdebat dalam court! Ayah pendakwa raya, dia pula penguam bela.

"Mengaku sajalah Yan. Yan suka Syakir ya…."

Azyan mendengus perlahan.

"Kalau ayah tak nak bagi pinjam, tak apa. Yan boleh pinjam kat orang lain," putus Azyan.

Azyan sudah merajuk. Dia benci kalau dikaitkan dengan mamat sengal tu!

"Baru usik sikit dah tarik muncung panjang. Buruklah, Yan. Macam muncung Woody Woodpecker pulak ayah tengok."

Meletus tawa di bibir Encik Idris. "Okeylah, ayah bagi pinjam."

Azyan tersenyum. Selesai satu masalah. Lepas ni taubatlah dia nak tolong orang buat tesis buang masa ini pasal Syakir. Lebih baik dia buat tesis Encik Tamdan, ada juga faedahnya! Sebut pasal Encik Tamdan, baru dia teringat yang esok ada ujian. Bersengkang matalah kau malam ni, Azyan oi!

Apa-apa hal kena telefon Salwa yang dia tidak dapat buat kelas tuisyen malam ini. Syamil dan budak-budak yang lain sudah diberitahu.

Lepas makan, laju Azyan menuju ke arah telefon di ruang tamu. Bukan mahu menolong ayahnya mengemaskan meja makan dulu. Bertuah punya anak dara. Sudahlah masak pun malas! Melantak (makan) saja yang dia tahu. Apalah nak jadi dengan budak Azyan ni?

"Uit, mak cik!"

"Kut ya pun bagilah salam dulu. Ini main terjah saja. Apa kau ingat sini negara orang putih?" desis Salwa di talian.

Mengekek Azyan ketawa. "Mak Timah Radio naik lori… so sorrylah, Wawa. Assalamualaikum… salam sejahtera."

"Waalaikumsalam. Hah, ada apa mengganggu ketenteraman orang ni?"

Orang sedang sibuk menghafal point-point untuk exam esok, dia kacau pula. Satu apa pun masih tak masuk dalam kepala. Masak (habislah) kau esok, Salwa!

"Eh, garangnya kau hari ini Wawa? Tahulah kau tengah study gila untuk exam esok. Aku call ni nak beritahu yang malam ini aku cancelkan kelas tuisyen kita."

"Eloklah tu. Boleh aku concentrate pada exam esok. Aku tengah biol ni."

Salwa menggaru kepalanya. Tengok saja buku rujukan, sudah sakit biji mata.

"Ha ha ha… kawan baik aku dah biol rupanya. Kau nak aku hantar kau kat mana? Hospital Tampoi atau Tanjung Rambutan?"

"Kau hantar aje aku kat Tanjung Rambutan. Sekurang-kurangnya dapat aku merasa makan rambutan kat situ."

Azyan dan Salwa sama-sama ketawa.

"Okeylah. Aku call sebab nak beritahu itu aje. Good luck! And go, go! Power Rangers! Assalamualaikum…."

Azyan meletakkan gagang telefon.

0 comments:

Post a Comment