Coke And Sundae

Karya Dari Ilya Abdullah

PETIKAN DIALOG NOVEL

"Jangan menyibuk hal luar dan dalam kain orang! Itu aku punya sukalah. Kau patut jaga je luar dan dalam kain kau!"

"Aku tak pakai kainlah Yan. Aku pakai seluar." Mengekeh Syakir ketawa. Azyan mencebik. Kurang asam punya lelaki.

PETIKAN DIALOG NOVEL

"Aku bagi kau pilihan Cik Nur Azyan. Kau nak diheret atau didukung. Kalau pada akulah kan aku lebih suka dukung kau."

"Dua-dua tak hingin! Dah-dah aku nak balik!" Azyan menyeringai. Kau paksa aku macam mana sekalipun aku tidak akan masuk kelab teater yang menggelikan itu! Tidak!

Coke And Sundae 19

BAB 19

DAHI Azyan berkerut-kerut. Bibirnya terketap-ketap. Teman sebelah-menyebelah sudah melirik senyuman sinis. Kiranya semua mata beralih pada dia, termasuklah Encik Tamdan, pensyarah yang berada di dalam kelasnya waktu ini.

Hantu punya Zekri! Berani dia ke kelas Azyan dengan muka yang tak tahu malunya itu. Dia tak tahu ke sekarang ni waktu kelas sedang berjalan. Betullah dia ni tak faham bahasa Melayu. Sah, lepas ini Azyan kena belajar bahasa Tamil dengan Muthu Samy kat mamak corner.

Zekri tidak peduli. Apa jua cara sekalipun, dia tidak akan mengaku kalah untuk menambat hati Azyan. Mata yang lebam tidak mematahkan semangatnya. Dia tidak mahu tewas dengan Syakir.

Siapa yang tidak kenal dengan Syakir? Top student di sekolah dahulu. Apa sahaja perkara yang dilakukan, pastinya dia berada di tempat pertama. Entah ilmu apa yang dia gunakan. Semuanya perfect aje. Bilangan gadis-gadis yang menggilai Syakir mampu menandingi jumlah teman wanita yang pernah dia miliki.

Kalau dia dapat memikat Azyan, maka dia dapat menewaskan Syakir. Dari hasil kaji selidiknya, Azyan merupakan gadis kegilaan Syakir. Sampai sekarang Syakir masih belum meluahkan perasaannya pada gadis yang dia tergila-gilakan itu. Tak sangka Syakir yang selama ini tidak suka melayan perempuan itu rupa-rupanya akan jatuh cinta juga.

"Kau ni apa hal buat kacau kat kelas aku?!"

Tiba-tiba Azyan bangun dan melenting.

Tersentak Encik Tamdan dan rakan-rakan yang lain.

"Saja datang nak melawat awak. Tak boleh ke?" balas Zekri selamba.

Azyan merengus.

Salwa sudah menepuk dahi. Ada-ada sajalah masalah yang timbul. Saja nak ‘menyedapkan’ cerita.

Tiada cara lain selain satu cara ini aje. Tanpa perasaan, Azyan mengheret Zekri keluar dari bilik kuliah.

Tindakan Azyan membuatkan Encik Tamdan dan teman-temannya yang lain melopong. Tak tahu pula Azyan yang nampak begitu lembut itu… tak boleh nak kata apa dah.

Azyan menutup pintu kelas dengan kasar. "Sorry Encik Tamdan. Kita continue balik ye."

Azyan buat isyarat peace pada jarinya sambil mengorak senyuman manisnya.

Encik Tamdan sekadar jongket bahu. Kalau sudah lihat senyuman menawan Azyan itu, dia juga tak boleh nak kata apa dah.

"Azyan! Lepas ini saya tak mahu ada sebarang gangguan di kelas saya lagi. Apa saja urusan peribadi sila selesaikan di luar."

Amaran tak berapa keras daripada Encik Tamdan. Biasalah... Azyankan pelajar kesayangan dia.

Azyan anggukkan kepala.

"Macam mana mamat tu boleh tahu kau study kat sini?" Salwa berbisik.

"Entah! Aku pun tak tahu. Tak mungkin Syakir yang beritahu sebab mamat tu dengan Syakir macam bermusuh saja," balas Azyan.

"Masalah ni, Yan."

"Tahu tak apa."

Kelas kembali berjalan dengan lancar. Setelah tamat sesi soal jawab dengan Encik Tamdan, Azyan dan Salwa segera mengemas barang masing-masing ke dalam beg. Mereka ada temu janji dengan Nani selepas kuliah. Nani ajak mereka pergi ke kedai video Speedy. Kemudian Nani mahu belanja mereka minum di Bangi Kopitiam. Azyan dan Salwa keluar ikut pintu belakang. Mereka tak mahu terserempak dengan Zekri sebab Azyan amat yakin yang Zekri akan menunggu di pintu utama. Dan tekaan Azyan memang tepat.

"Sewel mamat tu!" rengus Salwa.

"Kawan-kawan Syakir tu, memang sewel semuanya," tokok Azyan.

"Tak baiklah. Syakir taklah seburuk mana. Kau saja yang anti sangat dengan dia. Kau patut cuba mengenali dia luar dan dalam."

Salwa tidak sependapat dengan Azyan. Mulut Syakir memang tidak berinsurans tapi dalam diam dia sebenarnya seorang lelaki yang baik hati. Azyan saja yang tidak nampak kebaikan lelaki itu. Buta hati!

"Yang kau pandang aku semacam tu, pasal apa?" Azyan mengerling tajam.

"Ceh! Pandang sikit pun nak marah." Rajuk Salwa sambil memuncung. Saja buat-buat merajuk, nak minta Azyan pujuk.

"Ala cayang bucuk-bucuk! Meh! Ayang kasi kiss sikit."

Macam biasalah Azyan memujuk Salwa. Dah macam gaya seorang pakwe memujuk aweknya pulak.



NANI memang sengaja nak mengenakan Azyan.

Salwa tersengih memanjang. Tidak ada bantahan langsung.

Azyan seorang yang hangin satu badan. Tadi Zekri yang bagi dia angin, kini Syakir bagi dia tsunami pulak.

Syakir buat tidak peduli. Bukan apa, kebelakangan ni dia terlalu sibuk dengan tesis sampai berminggu-minggu tidak dapat menatap wajah Azyan. Rindu mahu bertekak dengan Azyan, dengar suara Azyan melenting. Sebulan sahaja lagi untuk Syakir berada di sini bersama Azyan. Kemudian dia akan tamat pelajaran dan membuat praktikal di hospital.

Mujur saja Salwa bertindak pantas menyelamatkan keadaan. "Hari ini tak mahu ada gaduh-gaduh lagi, tau. Boleh tak kau maniskan sikit muka kau tu, Yan? Aku rasa tak bestlah bila berada dalam suasana yang menyeramkan ni."

Salwa memeluk bahu Azyan. Dia cuba memujuk Azyan. Sebenarnya Salwa memang dah tahu akan kehadiran Syakir, menggantikan tempat Nani. Dia berpakat dengan Nani untuk mengenakan Azyan. Mereka mahu membantu Syakir.

"Boleh tak kita berdamai aje, Azyan?"

Lembut Syakir menuturkan kata. Namun senyuman manisnya itu tidak sesekali lekang dari bibir Syakir.

"Bencilah! Boleh tak jangan senyum dan terkedip-kedip mata macam tu."

Azyan nak ketawa tapi dia tahan. Kadang-kadang gelagat Syakir buat dia tertawa di dalam hati. Biasalah... bila bergaduh, macam-macam ayat keluar dari mulut laser Syakir.

Lega hati Salwa sebab Azyan bagi green light Syakir ikut serta aktiviti mereka. Itu pun bersyarat. Syaratnya, perlu ada jarak dalam dua inci di antara Syakir dan dia. Mengarut betul syarat Azyan tu. Tapi lain macam pula rasanya bila Azyan dan Syakir membisu sambil memilih DVD kegemaran mereka. Agaknya dah terbiasa dengan riuh-rendah suara Azyan dan Syakir bertekak kut.

Azyan dan Syakir saling mengintai. Kedua-duanya panjangkan leher, nak tengok DVD yang dipilih. Azyan memilih DVD cerita-cerita epik misteri seperti Narnia, Lord Of The Ring, Harry Potter dan sebagainya. Cuma pilihan Syakir yang tidak jelas di mata Azyan sebab lelaki itu sorokkan DVD yang dipilihnya.

Ala… macamlah Syakir tidak perasan dengan lirikan mata Azyan. Sibuk betul minah seorang tu nak tahu cerita apa yang dia pilih. Bukan dia pilih cerita yang mengarut pun. Syakir melirik pula matanya pada Salwa yang sibuk memilih DVD cerita Korea. Salwa lagi hebat, sampai tak menang tangan memegang DVD.

Serentak Azyan dan Syakir menggelengkan kepala.

Naruto… Bleach… hantu anime rupa-rupanya Syakir ni. Patutlah beria-ia sangat dia sorokkan DVDnya dari Azyan.

Nak hairan apanya, Azyan pun masih layan (tengok) Shin Chan dengan Doraemon. Ultraman pun masih dalam senarai rancangan kegemaran Azyan juga tu. Seronok tengok Ultraman melawan raksasa. Azuan pun sekali-sekala tumpang sekaki menonton bersama. Apa korang ingat budak-budak saja tengok cerita-cerita begitu? Orang tua pun tengok jugak, tau. Malah lebih excited daripada budak-budak.

"Apa senyum-senyum?" tanya Syakir sambil mengangkatkan keningnya.

"Perasan! Siapa senyum kat kau?" balas Azyan.

"Habis tu, kau senyum kat siapa? Pada mamat Bangla kat belakang kau tu?"

Syakir muncungkan mulut pada mamat Bangla yang sedang sibuk menyusun DVD di rak berdekatan Azyan.

Azyan mencebik.

"Mengaku aje la yang kau sukakan aku, Yan. Bukannya aku tak tahu apa yang kau buat kat belakang aku. Tak baik tau menghendap anak teruna orang. Pervert!"

Bulat biji mata Azyan merenung Syakir. Mampus! Macam mana mamat ni boleh tahu dia buat kerja-kerja tak senonoh tu? Sempat Azyan menjeling Salwa.

Salwa gelengkan kepala sambil jongket bahu.

"Aku bukan pervert! Siapa yang suka dengan kau cicak kobeng?! Jangan ingat muka macam kau dapat pikat aku! Tunggu seribu tahun lagi pun, aku takkan jatuh hati pada kau."

Suasana yang aman tadi mula bertukar wajah. Mula dah… bau-bau pertelingkahan di antara mereka. Ini yang buat Salwa rasa tidak sedap hati.

"Gorilla dan mula kelaparan. Kau nak pisang, kan? Nanti aku carikan."

Azyan menyeringai. Memang ada yang nak masuk lubang kubur ni!

Salwa segera menahan Azyan. Sini tempat umum, janganlah nak buat perangai gila pula. Syakir pun satu. Apa pasallah suka sangat naikkan darah Azyan?

"Please…." Salwa sudah menyusun jari.

Azyan termangu seketika. Dia renung wajah Salwa yang penuh mengharap. "Lepas bayar, aku nak minum air. Tekak aku dah kering."

Azyan terus menuju ke kaunter.

Salwa membuntuti Azyan, diikuti oleh Syakir.

Kemudian mereka bertiga menuju ke Bangi Kopitiam.

Azyan rasa tidak selesa bila Syakir ada bersama mereka. Pilih tempat duduk bertentangan dengan mata dia pulak tu. Menyampah! Kalau dah benci, semua hal yang melibatkan Syakir, pasti membuatkan dia menyampah, meluat dan segala macam perasaan yang seangkatan dengannya.

Azyan merenung Syakir. Dalam menyampah, ada sesuatu tentang Syakir yang susah dia nak kikis dalam kepala dia. Senyuman nakal Syakir.

Salwa perasan dengan lirikan mata Azyan pada Syakir. Ada yang tak kena ni. Azyan tidak pernah lihat Syakir dengan pandangan sebegitu. Hati perempuan ni kadang-kadang susah nak diagak.

"Coke tak baik untuk kesihatan."

Ayat itu memang sering diulang oleh Syakir. Syakir memang tidak suka pada minuman kegemaran Azyan itu. Macam Azyan tidak sukakan sundae kegemarannya juga.

"Itu aku punya pasallah. Buat apa kau nak sibuk?"

"Mestilah aku sibuk sebab aku sayangkan kau."

Pada perkataan ‘sayang’ itu, Syakir kendurkan suaranya sedikit.

"Hah, apa dia? Cuba kau ulang balik kata-kata tadi."

Azyan rasa dia ada dengar perkataan sayang tadi. Atau pun, dia yang silap dengar.

"Lupakan saja."

Wajah Syakir berubah. Azyan dengar ke dia cakap perkataan sayang tu?

"Bohong! Aku dengar kau ada sebut sayang tadi. Lebih baik kau cakap cepat!"

Azyan sudah bingkas bangun. Dia tarik kolar kemeja Syakir. Sikap ganas perempuan seorang ini masih juga tak pupus. Ke manakah azamnya yang ingin menjadi gadis ayu bersopan santun itu?

"Apa tarik-tarik baju orang ni? Sakitlah!" getus Syakir.

"Aku tak kira! Aku nak kau ulang balik apa yang kau cakap kat aku tadi!" bentak Azyan. Dia tidak berpuas hati selagi Syakir tidak mengulangi kata-katanya.

"Azyan…."

Salwa memaut lengan temannya itu. Orang sekeliling sudah memandang ke arah mereka. Azyan ni langsung tidak peduli pada persekitaranlah.

"Degil betullah perempuan sorang ni. Orang dah cakap tak ada tu, tak ada la! Ingat aku terliur sangat nak cakap sayang pada gorilla macam kau?"

Syakir menyeringai. Kuat betul Azyan menarik kolar bajunya. Hampir tercekik dia.

"Aku dah agak dah yang kau dengan kekasih idaman aku ni takde sebarang hubungan langsung!"

Entah dari mana Zekri muncul di hadapan mereka.

Azyan melepaskan cengkaman pada kolar kemeja Syakir. Alamak! Macam mana pulak mamat ni boleh mengekori mereka? Dia mengalih pandang pada Salwa.

Salwa mengeluh panjang.

Syakir pulak sudah tunjukkan muka menyinga dia. Musuh ketatlah katakan….

Zekri ketawa. Dia seronok sangat kalau dapat tengok Azyan membelasah Syakir. Siapa sangka Syakir sukakan gadis yang garang seperti Azyan. Zekri akan bertaruh dengan dirinya sendiri. Kali ini dia akan lebih serius untuk merampas Azyan dari Syakir!

Dush!

Sebiji penumbuk hinggap pada pipi Zekri. Cermin mata hitam yang dipakai tercampak ke lantai. Azyankah yang menumbuk dia? Tidak! Azyan masih berada dalam kelompok Salwa dan Syakir. Gadis itu tidak berganjak dari tempat dia berdiri. Habis tu, siapa pula yang menumbuk dia? "Eh, siapa yang tumbuk aku tadi?"

"Aku!"

Bulat mata Zekri memandang pada tuan yang empunya suara itu. Hatinya berdegup kencang. Dia tidak akan melupakan wajah itu walaupun hampir empat tahun mereka tidak bertemu. Tak diduga, hari ini dia bertemu muka dengan insan ini. "Har… Har… Harnani…."

Tergagap-gagap Zekri menyebut nama penuh Nani.

Nani adalah gadis pertama yang bertakhta di hati Zekri. Zekri jadi lemah bila bersua dengan Nani. Lemah sendi lututnya.

"Pertemuan semula sepasangan kekasih," suara Syakir. Dia menghirup air minumannya. Biarlah Nani yang menyelesaikan kes Zekri. Dia akan menjadi penonton.

"Tak payah risaulah. Nani boleh settlekan Si Zek ni. Baik korang berdua jangan masuk campur. Jadi penonton macam aku ni, ha." Kata Syakir dengan selamba.

Azyan dan Salwa menurut kata-kata Syakir. Mereka duduk di atas kerusi masing-masing.

Syakir sudah sedap-sedap menjamu selera dengan hidangan yang sudah dihidangkan di atas meja. Steady saja mamat seorang ini.

0 comments:

Post a Comment