Coke And Sundae

Karya Dari Ilya Abdullah

PETIKAN DIALOG NOVEL

"Jangan menyibuk hal luar dan dalam kain orang! Itu aku punya sukalah. Kau patut jaga je luar dan dalam kain kau!"

"Aku tak pakai kainlah Yan. Aku pakai seluar." Mengekeh Syakir ketawa. Azyan mencebik. Kurang asam punya lelaki.

PETIKAN DIALOG NOVEL

"Aku bagi kau pilihan Cik Nur Azyan. Kau nak diheret atau didukung. Kalau pada akulah kan aku lebih suka dukung kau."

"Dua-dua tak hingin! Dah-dah aku nak balik!" Azyan menyeringai. Kau paksa aku macam mana sekalipun aku tidak akan masuk kelab teater yang menggelikan itu! Tidak!

Coke And Sundae 4

BAB 4

"MACAM MANA ni?" soal Mat Karan gelisah. Dia menggaru rambut kerintingnya ala-ala gaya kumpulan Alleycats tu.

Teman-teman yang lain turut meniru aksi Mat Karan.

Syakir boleh buat muka selamba sambil mengulum lollypop. Sedikit pun tidak secemas Mat Karan dan yang lain-lain.

Masing-masing memakukan mata pada Tuan Pengerusi Kelab Teater mereka yang handsome itu.

Jika bukan kerana mulut laser Syakir, pelakon wanita utama mereka tidak lari. Bukan Syakir tidak tahu Emelda gadis yang begitu sensitif. Tidak boleh ditengking-tengking sikit mulalah rajuknya datang. Nak memujuk gadis itu bukanlah satu tugas yang mudah.

Di mana mereka perlu cari pengganti Emelda? Tarikh pementasan hanya tinggal tiga hari lagi.

Mat Karan mencengkam kepalanya macam pesakit mental di hospital sakit jiwa. Mengerang kuat kawan tu dengan sikap sambil lewa Syakir.

"Steadylah… perkara kecik aje ni," kata Syakir. Dia meletakkan buku skripnya di atas meja.

"Steady tengkorak engkau! Kau tahu tak pertunjukan teater kita tinggal tiga hari lagi? Mana kita nak cari pengganti si gedik tu untuk watak Tun Teja? Itulah kau, mulut laser sangat! Mel tu selagi kau tak pujuk, selagi itu la dia tak akan jejak kaki kat pentas kita ni," gerutu Mat Karan.

Syakir ketawa kecil. Kecoh betul Naib Pengerusi Kelab Teater ini. Lantaklah kalau Si Emelda tu nak merajuk pun. Tak luak langsung la! Dia memang tak suka Emelda pegang watak Tun Teja. Ada ke patut Tun Teja pakai make-up tebal satu inci? Tiada ciri-ciri wanita Melayu langsung. Tak natural. Syakir mahukan wajah asli! Yang natural! Tak perlu touch-up sana, touch-up sini. Satu babak sudah makan masa selama dua jam semata-semata menunggu Emelda bertouch-up.

"Pasal watak Tun Teja tu, kau jangan risaulah. Aku dah ada calon yang sesuai. Korang buat saja latihan macam biasa."

Syakir bangkit dari kerusi. Lebar senyuman di bibirnya. Bukan susah nak cari calon untuk gantikan Si Emelda tu. Cik Nur Azyan binti Idris kan ada? Gadis itu adalah calon yang paling atas dalam senarainya. Inilah peluang untuk dia mengenakan Azyan.

"Kau dah ada calon? Siapa?" tanya Mat Karan.

"Sekejap lagi aku bawa dia jumpa korang. Rasa-rasanya kuliah dia dah habis. Korang mesti puas hati tengok dia nanti. Dia jauh lebih cun daripada Emelda." Sengih memanjang Syakir sambil menuturkan kata-katanya.

"Kau ni… kalau tak cun, kau tak nak. Kita nak cari yang pandai berlakon, bukan harap pada rupa paras aje," desis Mat Karan.

"Kalau heronya handsome, heroinnya mestilah cun-melecun. Aku tak seleralah kalau heroin aku rupa tongkang pecah."

"Amboi-amboi! Habis tu, Si Emelda tu tak cun kat mata kau ke? Aku rasa dah cukup cun dan seksi tapi kau reject jugak budak tu! Kau tu yang mata keranjang!"

Syakir ketawa besar.

Mat Karan ketap bibir. Tapi tidak dinafikan perempuan mana tidak cair dengan bakal doktor yang konon handsome giler ni. Semua kualiti yang bagus ada padanya. Nasib baik Mat Karan ni lelaki. Kalau tidak, pasti dia pun boleh tangkap cintan dengan Syakir.

"Emelda tu memang cun tapi banyak sangat tampal tepung (bedak) kat muka dia tu! Kalau tak tampal mesti muka dia macam hantu kuntilanak! Tak asli!" komen Syakir.

Cik Nur Azyan tu memiliki kecantikan yang asli. Bermekap pun ala kadar aje. Sedap sikit mata memandang. Jika Cik Nur Azyan itu pakai tudung pasti lagi ayu dan manis, gitu.

"Kau jangan main-main Syakir. Masa dah suntuk tau!" celah Nani.

"Muka aku ada nampak main-main ke? Come on la… aku, Pengerusi Kelab Teater ni. Aku tahu tanggungjawab aku. Kalau tak, apa gunanya korang pilih aku jadi pengerusi."

Syakir menepuk satu-satu bahu ahli kelab teater itu. Bahu ahli lelaki saja, perempuan tak.

Ahli-ahli kelab itu saling berpandangan. Syakir memang nampak tidak serius dan suka main-main tapi dia seorang ketua yang bijak mengawal situasi dan kadangkala mengeruhkan situasi bila dia mula membebel. Terutamanya dengan Emelda.

"Kami serahkan pada kau, Syakir."

"Don’t worry. Aku akan buat Emelda menyesal kerana meletakkan jawatan dalam Kelab Teater ni." Syakir kenyitkan sebelah matanya. Dia berlalu keluar.

Mat Karan dan Nani menarik nafas panjang. Harap-harap betullah apa yang diperkatakan oleh Syakir itu. Mereka kesuntukan masa untuk mencari pengganti Emelda.

Emelda join Kelab Teater sekadar untuk memenuhi tujuan utamanya iaitu memikat hati Syakir. Syakir pernah memberitahu Emelda yang dia sudah ada girlfriend tapi perempuan itu macam tak faham bahasa aje lagaknya. Kata Emelda, dia tidak pernah nampak pun Syakir dating dengan teman wanitanya itu.

Betul juga.

Syakir tidak pernah menunjukkan teman wanitanya di khalayak ramai. Sekarang mereka berada di tahun akhir. Bukan sahaja wajah tetapi nama teman wanita Syakir pun mereka tidak tahu. Berahsia betul Encik Muhammad Syakir ni.

"Siapalah agaknya gadis yang bakal menggantikan tempat Mel nanti?" tanya Imah.

"Aku tak kisah siapa pun yang bakal menggantikan tempat Mel. Yang aku risaukan adalah Syakir. Dia kalau nak dapatkan sesuatu tu bukan tahu nak guna taktik yang elok-elok. Aku takut budak tu dipaksa. Korang bukan tak kenal dengan Syakir. Takde perkataan ‘tidak’ dalam moto hidup dia," balas Nani.

"Itu belum sampai bab dia naik angin. Bergegar satu kelab. Muka dia memang menyeramkan time dia mengamuk," tambah Mat Karan.

Imah dan yang lain-lain menelan air liur.

Budak-budak fresh yang baru join kelab tersebut mula kegelisahan.

"Kau ni saja nak menakutkan budak-budak baru! Kau nak ahli kelab kita berkurangan lagi ke?" Marah Nani, lantas menarik cuping telinga Mat Karan.

Siapa suruh Mat Karan terlepas cakap? Nasib baik Syakir sudah keluar, jika tidak nahas mereka semua dikerjakan Syakir. Syakir tu telinga lintah! Kalau nak bercakap kena pandang belakang.



TERKETAP-KETAP bibir Azyan apabila melihat kelibat manusia yang bertenggek di atas skuter kesayangannya itu. Dia memang cukup kenal susuk tubuh manusia berkenaan. Siapa lagi kalau bukan manusia yang bernama Muhammad Syakir bin Ilyas.

Syakir buat muka poyo bila dilihat Azyan menghampiri.

Azyan mencebik. Rasa macam tak percaya lelaki cicak kobeng depan matanya itu adalah bakal seorang doktor di Malaysia ini. Pada pandangan mata Azyan… Syakir tidak ada gaya langsung menjadi seorang doktor. Lihat saja stail rambut dan pakaiannya. Tak sesuai betul jadi budak medic!

Paling mengejutkan Si Syakir ni ada buat part time job jadi model sambilan. Hmmm… Syakir memang ada pakej jadi model. Dia handsome! Tapi ketampanan Syakir buat Azyan menyampah sangat. Malas nak ulang ingat cerita lama ni. Buat menyakitkan hati yang dah sakit nak mati ni.

Azyan kerling Syakir dengan ekor matanya yang tajam. Mamat seekor ini kalau cari dia mestilah ada benda yang dia nak. Setahu dia, Syakir tiada kelas.

Apa hal pulak dia dok melepak kat skuter kesayangan aku? Kan lagi baik siapkan assignment yang lecturer kasi kat rumah. Sehari aku tak jumpa mamat seekor ni, memang tak sah! Hari-hari muka dia tercongok depan mata aku! bebel Azyan di dalam hati.

"Oi! Kau nak apa, hah? Kau tahu tak punggung kau telah memanaskan tempat duduk skuter aku! Pantang tau!" Azyan bersuara lantang.

Syakir tersengih. "Amboi cantiknya bahasa gorilla ni. Cuba bercakap dengan Encik Muhammad Syakir ni lemah lembut sikit. Baru manis dan nampak lebih feminin. Kau tau tak berapa lama aku tunggu kat sini? Naik kematu punggung aku. Kau pergi mana tadi? Setahu aku kuliah kau tamat sejam lebih awal."

Eee… suka-suka hati dia aje panggil aku gorilla! Buta ke rabun dia ni? Badan aku ni sikit punya slim! Bukan besar dan berbulu macam gorilla tu. Tak sesuai langsung bagi gelaran gorilla pada aku! hati Azyan menjerit marah.

"Aku tak suruh kau tunggu aku pun! Aku lapar so, aku pergilah makan. Lebih baik kau turun dari skuter aku sebelum aku debik muka kau. Kau tentu tak nak sejarah lama berulang, kan?"

Azyan menayangkan buku limanya.

Syakir ketawa. Takde benda lain ke yang Azyan nak tayang selain buku lima dia aje. Ingat dia seorang saja ada black belt? Aku pun juara silat peringkat sekolah jugak dulu. Cuma aku tak suka menunjuk-nunjuk bila dah masuk form six. Malas nak aktif dengan aktiviti sekolah masa tu. Memenatkan badan!

"Sebenarnya aku ada hal sikit nak discuss dengan kau. Dan aku tidak mahu dengar perkataan ‘tidak’ dari mulut kau, tau."

Syakir turun dari skuter Azyan.

Azyan kerut dahi. Hal apa pulak mamat ni? Bunyi macam nak mengugut aje. Ini yang buat aku tak sedap hati ni. "Aku takde masa nak berbincang dengan kaulah. Tepi! Aku nak balik, nanti bapak aku mengamuk pulak sebab anak dara dia balik lewat!"

Selamba Azyan menolak tubuh Syakir.

Syakir ketap bibir. Tak boleh jadi ni! Dia mesti menahan Azyan dari pulang. Tidak kira dengan apa cara jua sekalipun. "Yan, nanti dulu!"

Syakir merentap lengan Azyan.

Bulat mata Azyan dengan tindakan drastik Syakir itu. "Apa pegang-pegang anak dara orang ni? Dah tak sayang nyawa ke?"

Azyan melenting. Meronta-ronta Azyan minta Syakir lepaskan lengannya. Susah payah jugak dia rentap lengannya dari cengkaman Syakir.

Kurang asam punya Syakir. Kuat pulak tu dia cengkam lengan aku!

Syakir tersenyum nakal. Dia menghadang Azyan dari mendekati skuternya.

Bertambah berasap kepala Azyan. Apa hal dengan mamat ni? Beria-ia benar tak nak bagi dia balik rumah!

"Syakir!!!!!" Azyan melaung nama Syakir.

Mujur tiada orang lain di tempat parkir motor tu. Jika tidak pastinya mereka akan jadi bahan tontonan.

"Aduh! Kau nak kasi telinga aku pekak ke?" rengus Syakir. Kemudian dia tersenyum lagi.

Azyan mencebirkan bibir. Getik betul tengok gaya poyo mamat seorang ni. Azyan paling tidak suka melihat senyuman Syakir. Senyuman manis Syakir tu selalunya ada agenda yang tersembunyi.

"Aku bukan setakat nak kau pekak. Aku nak kau buta sekali! Tak menyusahkan hidup aku," getus Azyan.

Bersua dengan Syakir ni pasti akan menimbulkan masalah. Ada saja angkara yang disetkan dalam kepala Syakir.

"Nak tak nak, kau kena join jugak aku punya kelab teater." Syakir memberitahu tujuannya.

Buntang mata Azyan.

Gila! Suka-suka hati aje cicak kobeng ni paksa aku join kelab teaternya. Minta maaf! Aku tidak berminat Encik Muhammad Syakir. Aku dah join kelab catur, satu group dengan jejaka idaman aku, Haziq.

"Hey! Apa main paksa-paksa orang ni? Aku tak inginlah join kelab kau tu. Geli, tau tak? Tidak ingin! Aku ulang sekali lagi, tak ingin!" bentak Azyan.

Dari zaman sekolah dulu Azyan memang tidak sukakan teater. Geli! Tengok pelakon-pelakon teater atas pentas tu pun dah buat dia menyampah. Tak tahu kenapa. Dialog… pergh! Meruntun jiwa, beb. Itu belum lagi teater yang bertemakan hikayat-hikayat Melayu zaman dahulu kala. Lagi Azyan tidak faham!

"Kan aku dah cakap tadi aku tidak mau dengar perkataan ‘tidak’ keluar dari mulut kau. Kau mesti join kelab aku! Muktamad!" tegas Syakir seraya menjegilkan biji matanya. Wajahnya sudah berubah menjadi serius.

Azyan tidak mahu mengalah. Dia melawan pandang mata Syakir dengan tajam. "Aku tetap akan mengatakan tidak! Tidak! Tidak!"

Apa kena dengan mamat ni? Nak jugak aku masuk kelab teater dia. Dahlah main paksa orang. Aku langgar kang, baru tau!

"Aku tetap akan heret kau masuk kelab teater. Kau mesti ganti watak heroin aku yang dah cabut lari tu. Kau adalah calon yang paling sesuai jadi heroin aku."

Argh! Si Syakir sudah buat perangai gila meroyan dia balik! Kenapalah aku jugak yang kena jadi mangsa mamat ni? Macamlah dalam kolej ni takde pelajar perempuan lain.

"Kalau kau berani, heretlah aku!" Azyan mencabar.

Kau pegang aku lagi, siaplah kau! Aku kasi smack down sama engkau! Aku belasah kau cukup-cukup, Syakir! desis hati Azyan. Dia sudah siap pasang kuda-kuda.

Pecah ketawa Syakir melihatkan aksi Azyan. Azyan ingat dia takut nak heret gadis itu ke kelab teater. Nak dukung pun dia boleh buat. Ala… Azyan bukan berat mana pun. Ringan saja.

"Aku bagi kau pilihan, Cik Nur Azyan. Kau nak diheret atau didukung? Kalau pada akulah kan, aku lebih suka dukung kau," kata Syakir.

"Dua-dua tak hingin (ingin)! Dah, dah aku nak balik!" marah Azyan.

Kau paksa aku macam mana sekalipun aku tidak akan terlibat dengan teater yang menggelikan itu! Tidak sama sekali!

"Aku dah jumpa Pengerusi Kelab Catur kau tu. Aku minta dia delete nama kau dalam kelab catur. Kau akan jadi milik kelab teater aku."

Ala… macamlah aku tak tau, Cik Nur Azyan. Kau masuk kelab catur sebab ada Haziq. Kau bukannya reti main benda alah tu pun! Kau kena langkah mayat aku dulu.

"Kau!"

Azyan menudingkan jari telunjuk ke muka Syakir.

Hampeh betul cicak kobeng ni. Dengki bebenor dia pada aku dengan Haziq. Aku tidak rela dipisahkan dengan Haziq. Oh, tidak… cinta kami baru nak berputik. Bukan senang aku nak dapat bersama Haziq selama ini. Pelbagai halangan dan rintangan aku tempuhi. Berani kau cicak kobeng ingin memisahkan kami! Chewah! Aku dah mula jiwang karat pulak!

"Aku bagi kau satu minit untuk berfikir."

Syakir bersandar pada skuter Azyan sambil melihat jam di tangan. Mengira masa la tu.

Azyan mengeluh. Dia buat muka bosan dan menyampah.

Kau suruh aku fikirkan tawaran kau tu? Jawapan aku tetap sama! Tidak! Aku tak hingin masuk kelab bodoh kau tu, gerutu Azyan di dalam hati.

Seminit telah berlalu.

Azyan dan Syakir saling berbalas pandangan. Masing-masing tidak mahu beralah.

Syakir mengeluh kecil lalu mengeluarkan satu sampul surat berwarna pink dari poket seluarnya.

Azyan kerut dahi. Seakan pernah dilihat surat dalam genggaman Syakir itu.

Syakir membuka sampul surat berkenaan dan mengeluarkan isinya. "Ke hadapan Saudara Haziq yang dekat di mata tapi jauh di hati. Sebenarnya tujuan saya menulis surat ini…."

Lantang sekali suara Syakir membaca isi surat tersebut.

Mata Azyan membulat. Alamak! Surat cinta aku pada Haziq! Macam mana boleh jatuh ke dalam tangan cicak kobeng ni?! jerit hati kecilnya.

Azyan segera mendekati Syakir, ingin merampas surat yang berada di dalam tangan Syakir itu.

Tetapi Syakir lebih pantas menyembunyikan surat itu ke dalam poket seluar jeansnya.

"Pulangkan balik!"

"Itulah… lain kali kalau nak letak surat cinta tu tengok betul-betul nombor lokarnya. Lokar aku dengan Haziq berdekatan. Salah kau sebab main redah masuk," jelas Syakir dengan ketawa besarnya.

"Pulangkan…."

Azyan bersuara ala-ala gaya lakonan Maya Karin dalam filem Pontianak Harum Sundal Malam.

Syakir gelengkan kepala. Dia tidak akan semudah itu memulangkan surat cinta Azyan. Azyan perlu membayar harganya. Mahal, tau!

"Kalau kau nak surat cinta kau ni balik, kau kena join kelab teater aku. Itu syarat yang paling mudah aku tawarkan pada kau. Tak perlu aku heret atau dukung kau."

Azyan mengetap bibir. Bijak sungguh Syakir mengatur strategi.

Perlukah aku lakukan pengorbanan bodoh ni? Nak menangis, air mata tak keluar! Muhammad Syakir bin Ilyas… aku rasa nak cekik-cekik aje leher kau. Aku nak potong-potong badan kau, kemudian bagi buaya dalam sungai tu makan.

"Sepuluh saat untuk berfikir lagi… sepuluh… sembilan… lapan…."

Syakir mula mengira.

Azyan menarik nafas panjang. Azyan paling benci diugut sebegini rupa.

"Okey, okey… aku setuju join kelab teater kau," putus Azyan.

Cis! Aku terkena kali ini. Syakir betul-betul nak balas dendam pada aku ni.

Tak apa. Sebagai gadis yang kuat, aku mesti berani menyahut cabaran. Nak takut apa? Aku pernah belasah lima orang lelaki, takkan Syakir seorang ni aku tak terlawan? Syakir perlu fikir dua tiga kali sebelum dia mengapa-apakan aku.

"Good girl. I’m a very, very happy man."

Kan aku dah cakap dah... benda yang aku nak, pasti aku akan dapatkan. Azyan, kau kena tunduk bawah telunjuk aku. Aku tidak akan lepaskan kau kali ini. Tidak sesekali! Pada Haziq sekalipun!

"So, sekarang kau ikut aku ke kelab teater. Kita adakan latihan."

"Latihan otak kau! Aku dah setuju ni pun dah cukup baik. Aku nak balik rumah. Lagipun bapak aku tak kasi balik lewat-lewat petang. Aku kena ikut time table!"

Azyan mengingkari arahan Syakir sambil bercekak pinggang.

"Tak padan badan slim, buruk lantak jugak kau ye. Emmm… apa phone number rumah kau?"

"Kau nak buat apa, mangkuk?" soal Azyan.

"Aku nak call bakal my father-in-law." Balas Syakir selamba.

Azyan menjuihkan bibir. Lambat-lambat dia menyerahkan nombor telefon rumahnya kepada Syakir.

0 comments:

Post a Comment