Coke And Sundae

Karya Dari Ilya Abdullah

PETIKAN DIALOG NOVEL

"Jangan menyibuk hal luar dan dalam kain orang! Itu aku punya sukalah. Kau patut jaga je luar dan dalam kain kau!"

"Aku tak pakai kainlah Yan. Aku pakai seluar." Mengekeh Syakir ketawa. Azyan mencebik. Kurang asam punya lelaki.

PETIKAN DIALOG NOVEL

"Aku bagi kau pilihan Cik Nur Azyan. Kau nak diheret atau didukung. Kalau pada akulah kan aku lebih suka dukung kau."

"Dua-dua tak hingin! Dah-dah aku nak balik!" Azyan menyeringai. Kau paksa aku macam mana sekalipun aku tidak akan masuk kelab teater yang menggelikan itu! Tidak!

Coke And Sundae 11

BAB 11

BERKELIP-KELIP mata Azyan menerima jambangan bunga ros yang harum semerbak itu. Seumur hidupnya… tidak pernah dia menerima jambangan bunga sebegini. Macam tak percaya pula dia dapat bunga. Bermimpikah dia? Tapi bila dia cubit pipinya, terasa sakitnya. Jadi tak bermimpilah tu. Tidak menduga ada juga peminat yang diam-diam ubi. Kata orang putih, secret admire.

"Siapa bagi? Haziq ke?" Salwa bertanya sebaik saja melabuhkan punggung di sisi Azyan.

"Malam sikit (jangan haraplah)! Bukan Haziqlah. Aku pun tak tahu siapa pemberinya," jawab Azyan sambil menyerahkan kad kecil yang terlekat pada jambangan bunga itu kepada Salwa.

Salwa membelek-belek kad tersebut. Tiada apa-apa yang ditulis di dalam kad tersebut. Kosong! Peminat misteri ni.

"Orang gila agaknya yang bagi kau bunga. Hati-hati sikit, Yan." Salwa melahirkan kegusaran di hatinya.

Azyan menggaru kepala yang tidak gatal. Ada betulnya juga kata-kata Salwa itu. Sebelum ini dia tidak pernah punya peminat misteri.

"Emmm… tapi, orang gila mana pandai hantar bunga, Wawa? Orang gila duduk kat Tanjung Rambutan."

"Betul juga tu." Salwa pula menggarukan kepala. "Lupakan pasal pengirim bunga kau ni. Esok ada perlawanan bola antara kolej. Kau tak nak ikut aku tengok perlawanan bola? Setahu aku, abang kau wakil kolej kita, kan? Aku dengar Syakir pun turun padang, gantikan tempat salah seorang striker yang tercedera masa perlawanan persahabatan hari tu."

"Syakir main bola? Ha ha ha!" Azyan gelak sakan.

"Kenapa kau gelak?"

"Aku tak percaya yang cicak kobeng tu boleh main bola. Takkan kau dah lupa kut, aku pernah kalahkan dia masa sekolah dulu."

"Kau ni tak habis-habis panggil dia cicak kobeng. Dia bukannya kurus melidi macam dulu. Badan dia dah ada muscle, tau walaupun tak sebesar muscle Arnold susah nak eja, pelakon Terminator tu."

Salwa mencebik. Kadang-kadang dia tak puas hati juga dengan sikap Azyan yang terlalu anti dengan Syakir. Syakir taklah sejahat mana. Cuma nakal aja.

"Azyan…."

Lima kepala tertonjol di sebalik pintu. Muka-muka jambu pulak tu. Azyan mengeluh panjang. Gadis lima sekawan itu tidak sudah-sudah mengacau hidupnya sejak seminggu yang lalu. Semuanya pasal Syakir yang perasan handsome sangat tu.

"Korang nak apa lagi?" tanya Azyan acuh tak acuh.

Gadis-gadis itu tersenyum. Mereka merapati Azyan sambil menyerahkan sebuah beg kertas kepada Azyan. Hadiah untuk Syakir lagilah tu! Rimaslah bila ada gangguan macam ni. Terutamanya bila melibatkan mamat yang menyakitkan hati tu.

"Tolonglah Yan…" rayu minah yang tinggi lampai di dalam kumpulan itu. Hanya Azyan yang boleh membantu mereka kerana Azyan saja yang boleh dekat dengan jejaka pujaan ramai itu.

"Korang boleh minta tolong pada Kak Nani. Kak Nani satu kelas dengan Syakir, pujaan hati korang tu."

"Kami dah minta tolong. Tapi Kak Nani demand tinggi. Tak laratlah."

"Apa korang ingat aku ni rapat sangat dengan Syakir tu ke? Aku masuk kelab teater tu pun sebab dipaksa, tau tak? Aku ulang sekali lagi, dipaksa!" Azyan merenung tajam kelima-lima gadis itu.

Masing-masing buat muka seposen (kesian).

"Okeylah… okeylah. Lepas ini korang berlima jangan ganggu aku lagi, tau! Kali ni aku akan tolong korang." Azyan mengalah. Tak larat nak berlari dan menyorok dari budak perempuan berlima itu lagi. Makin dia lari, makin dikejar!

"Terima kasih, Yan," ucap budak perempuan berlima itu serentak.

"Tak payah nak berterima kasih. Anggap saja aku beramal," desis Azyan. "Dah…. dah… sakit mata aku tengok muka korang ni lama-lama kat sini. Baik korang blah sebelum aku tukar fikiran."

Sepantas kilat kelima-lima gadis itu ghaib dari pandangan mata Azyan.

Ternganga mulut Salwa hingga Azyan terpaksa menutup mulut teman baiknya itu.

"Itu baru lima orang…" ujar Azyan seraya memasukkan buku-buku ke dalam beg.

Dia mahu ke perpustakaan untuk mencari buku rujukan. Tesis yang perlu disiapkan untuk kelas Encik Tamdan tidak boleh dilengah-lengahkan. Lagipun Azyan tidak suka buat kerja bertangguh macam Salwa.

"Kau nak ikut aku pergi library tak?" soal Azyan. Dia sudah bersiap untuk bergerak.

Salwa terkebil-kebil merenung Azyan.

"Nak ikut ke library tak?" Ulang Azyan.

"Aku ikut."



"AZYAN!"

Ekor kuda (tocang) Azyan direntap. Menyeringai gadis itu. Siapa lagi punya kerja kalau bukan Syakir. Suka-suka hati tarik ekor kuda orang!

Salwa ketawa kecil. Syakir kalau menyakat Azyan, mesti tarik tocang rambut Azyan.

Kak Jue, pustakawan di kolej mereka meletakkan jari telunjuk di bibir. Isyarat menyuruh mereka diam.

"Kurang ajar," gerutu Azyan. Warna mukanya sudah bertukar menjadi merah. Dipandangnya Syakir dengan jelingan yang maha tajam!

"Heh heh heh… apa hal nak jumpa aku? Kau nak bagi surat cinta juga ke?" tanya Syakir sambil melirikkan senyuman.

"Tak kuasa aku nak bagi surat cinta kat kau. Kau ingat aku kemaruk sangat kat kau? Pleaselah… geli-geleman aku!" jawab Azyan sambil mencemikkan muka.

Syakir ketawa. "Jangan… aku calit kau nanti buat kau gila sama aku. Siang malam kau tak boleh tidur."

"Elok sangatlah tu, buat kerja syirik. Kau nak jadi murtad ke?" bidas Azyan.

"Hmmm… okeylah. Kenapa kau cari aku ni?"

"Ini…."

Azyan menghulurkan beg kertas kepada Syakir.

Syakir rasa dia sudah boleh mengagak isi kandungan dalam beg kertas tersebut. "Hadiah untuk aku lagi ke?"

"Ya. Dari peminat fanatik kau! Kau tau tak peminat-peminat kau tu menyusahkan hidup aku! Cepat-cepatlah kau cari girlfriend, Syakir."

"Apa kata kau aje yang jadi girlfriend aku," cadang Syakir dengan selamba.

"Apa kau kata tadi? Aku tak dengarlah," kata Azyan sambil menyuakan telinganya.

Syakir mendengus kecil. Pekak betul perempuan seorang ni.

"Apa kata kau jadi girlfriend aku!" jerit Syakir.

Suara Syakir yang kuat menarik perhatian pengunjung di perpustakaan itu.

Semua mata memandang ke arah mereka bertiga.

Kak Jue yang sedari tadi asyik memerhatikan gelagat mereka bertiga segera menghampiri. Jari telunjuk Kak Jue menghala ke pintu keluar.

Salwa menjongket bahu.

"Okeylah… okeylah…."

Syakir mengatur langkah bila melihat wajah Kak Jue yang sudah menyinga.

Kak Jue membuntuti Syakir.

Azyan menarik tangan Salwa. Mereka melangkah keluar tanpa menghiraukan Syakir dan Kak Jue yang sedang bertekak. Mereka ketawa bila melihat Kak Jue menarik telinga Syakir. Padan muka!

"Kau ni makin nakallah, Kir. Dah tahun akhir pun masih buat perangai lagi," gerutu Kak Jue.

"Nakal saya hanya pada Yan seorang saja, kak. Kat orang lain, tak…."

"Kalau begitu gaya kau mengurat Kir, sampai bila-bila pun kau tak dapat." Kak Jue gelengkan kepala.

Syakir ketawa kecil. "Apa pun saya akan pastikan Azyan berada dalam genggaman saya, kak."

"Ayat kau buat akak meremang bulu roma, Kir. Macam ayat Yakuza. Kau ni memang tak romantis langsung. Cakap main lepas aje. Akak kadang-kadang tak faham kenapalah budak-budak perempuan suka pada kau kecuali budak nama Azyan tu."

"Yang tak suka saya tu yang saya suka, kak. Sebab dia pandang saya dari sudut lain. Perempuan macam Azyanlah yang saya cari. Dengan dia, saya tak perlu jadi orang lain. Nak cakap pun kena jaga hati si pendengar. Kalau tidak, muncung panjang sedepa. Rimaslah saya, kak."

"Tak fahamlah akak dengan kau ni, Kir."

0 comments:

Post a Comment