Coke And Sundae

Karya Dari Ilya Abdullah

PETIKAN DIALOG NOVEL

"Jangan menyibuk hal luar dan dalam kain orang! Itu aku punya sukalah. Kau patut jaga je luar dan dalam kain kau!"

"Aku tak pakai kainlah Yan. Aku pakai seluar." Mengekeh Syakir ketawa. Azyan mencebik. Kurang asam punya lelaki.

PETIKAN DIALOG NOVEL

"Aku bagi kau pilihan Cik Nur Azyan. Kau nak diheret atau didukung. Kalau pada akulah kan aku lebih suka dukung kau."

"Dua-dua tak hingin! Dah-dah aku nak balik!" Azyan menyeringai. Kau paksa aku macam mana sekalipun aku tidak akan masuk kelab teater yang menggelikan itu! Tidak!

Coke And Sundae 13

BAB 13

AZYAN memakai jersi Chelsea berwarna biru dengan seluar jeans yang berwarna hitam. Rambut panjangnya disimpan ke dalam cap. Siap mengenakan cermin mata besar berwarna hitam lagi.

Salwa sudah mahu pecah ketawa. Dia tahu sangat yang Azyan mahu bersembunyi dari dikesan oleh Syakir. Paling teruk siap bawa kamera digital untuk mengambil gambar Syakir di padang. Pinjam dari ayah dia.

Syamil, budak kelas tuisyen mereka pun Azyan heret sekali.

Syamil tidak pula membantah. Malah dengan rela hati membantu cikgu tuisyen kesayangannya itu.

Azyan, Salwa dan Syamil ambil tempat duduk yang paling atas. Saja mahu berselindung dari pelajar-pelajar kolej lain. Alasan saja tu. Duduk depan baru dapat lihat perlawanan dengan jelas tapi Azyan tak mahu. Bila Salwa nak duduk depan berdua dengan Syamil, dia tarik muncung lapan depa.

Menyampah Salwa dibuatnya. Melawan kang (karang) kena belasah pula dengan Azyan. Azyan ni panas baran orangnya. Jangan memain!

"Kau ingat kau boleh sorok muka kau dari Syakir?" desis Salwa dengan senyuman meleretnya.

"Kau ingat dia boleh cam aku dengan gaya macam ni? Tak mungkinlah," balas Azyan dengan yakin.

"Kau berani bertaruh dengan aku tak?" duga Salwa sambil mengelipkan matanya berkali-kali.

Getik pula Azyan menengoknya.

"Kau agak-agak kolej kita menang tak?" sambung Salwa.

"Kau ingat aku takut? Kau nak bertaruh apa dengan aku? Belanja makan kat kedai mamak corner tu? No hal punyalah. Lagipun tengok rekod kolej kita tidak pernah jadi juara bertahun-tahun lamanya. Kau ingat dengan khidmat Syakir dalam team abang aku tu, kolej kita boleh menang? Tak mungkinlah! Dalam team kolej kita, cuma abang aku dan Farouk saja yang kuat. Farouk pulak cedera. Tinggal abang aku seorang aje. Kau fikirlah sendiri."

Buat apa nak takut setakat bertaruh kecil dengan Salwa, tiada masalah punya!

"He he he...." Salwa gelak jahat sebelum dia berbisik di telinga Azyan.

Berkerut-kerut dahi Azyan. Macam tidak ada pertaruhan lain yang nak dibuat hingga melibatkan Syakir. Ini yang tak best ni! Lahabau punya kawan! "Apa?! Kau nak aku keluar dating dengan Syakir? Kau nak mampus?!"

Apa lagi, naik volume suara Azyan.

Salwa pantas menekup mulut Azyan. Azyan ni kalau marah bukan tahu nak jaga suara. Main lepas aje!

Semua penonton beralih pandang ke arah mereka.

"Sorry… sorry. Takde apa-apa. Takde apa-apa," ujar Salwa sambil tersengih menahan malu.

Para penonton mendengus. Terbantut fokus mereka menonton perlawanan yang sedang berlangsung. Tentulah mereka marah, terutamanya peminat fanatik Muhammad Syakir bin Ilyas.

Azyan menarik tangan Salwa dari mulutnya. Dia mendengus marah.

"Kau tu… kalau dah marah tak tahu nak kawal perasaan. Pantang betul kalau aku sebut nama Syakir tu. Apa macam? Berani tak nak bertaruh dengan aku?" cabar Salwa.

Azyan mengetap bibir. Macamlah tiada benda lain yang nak dipertaruhkan oleh Salwa. Ada ke patut kalau dia kalah, dia kena keluar dating dengan Syakir? Tak patut… memang tak patut! "Kau ingat aku takut? Aku tak takutlah!"

Azyan tak mahu mengaku kalah. Dalam hati Tuhan saja yang tahu. Dating dengan Syakir?! Azyan tidak dapat membayangkan dalam kepalanya. Ngeri!

"Betul ke kau tak kisah pergi dating dengan Syakir kalau kau kalah bet ni?"

"Aku bukan jenis yang suka tarik balik apa yang aku dah cakap." Azyan merengus.

Salwa ketawa kecil. Ikan sudah makan umpan cacing, besar punya!

Syamil kerut dahi. Kalau Azyan kalah dalam pertaruhan ni, Azyan akan keluar dating dengan alongnya. Oh, tidak! Aku tak rela! Syamil merintih di dalam hati.

Budak kecik baru belajar, tapi dah gatal nak bercinta. Budak-budak sekarang….

"Chaiyok! Chaiyok!"

Terdengar suara Salwa menjerit lantang. Tengah sokong buah hati pengarang jantung dialah tu. Siapa lagi, kalau bukan Tengku Kudin kemetot (pendek). Lelaki pilihan Salwa memang pelik-pelik.

Azyan suruh Salwa masuk pasukan sorak, dia tak nak. Boleh melonjak sakan atas padang. Eleh… macamlah Azyan tak tahu sebabnya. Si Salwa ni musuh ketat ketua pasukan sorak, Cik Vanidah Ismail. Panggilan mesranya, Vee. Anak kacukan mami yang berasal dari Penang.

Vanidah ni bukan lawa mana pun. Kulit dia hitam manis. Cun lagi Salwa. Bodoh betul lelaki yang dok berebutkan si anak mami ni sampai bergaduh, lebam sana, lebam sini. Tolonglah! Macamlah tiada gadis lain dalam dunia ini. Sudahlah Vanidah ni jenis gedik, satu spesies dengan Emelda jugak. Entahlah! Dunia… dunia!

"Emmm… Kak Yan." Syamil yang dari tadi duduk diam bersuara.

Azyan berpaling pada Syamil. Muram semacam saja budak ni? Ada yang tidak kena ke?

"Yup! Kenapa? Boring ke?" tanya Azyan.

"Emmm… emmm…."

Teragak-agak Syamil nak bercakap. Syamil meramas-ramas jarinya. Segan pula nak tanya Azyan.

"Cakaplah," suruh Azyan.

"Sebenarnya… sebenarnya Syam… Syam…."

Kenapa payah sangat suara nak keluar ni? Bukannya tak biasa berbicara dengan Azyan selama ini.

"Gol!!!!"

Laungan Salwa mematikan suara Syamil. Potong stim betul minah sorang ni. Syamil gigit bibir.



PASUKAN bola sepak kolej Cik Nur Azyan binti Idris telah berjaya menewaskan pihak lawan dengan jaringan gol daripada Encik Muhammad Syakir bin Ilyas. Dua gol berbalas satu.

Berkerut seribu dahi Azyan. Riak wajahnya tak ubah seperti nenek kebayan.

Salwa tersenyum simpul melihat wajah berkerut Azyan. Suka la tu! Dah dia yang menang pertaruhan tadi. Inilah masanya nak kenenkan Azyan dengan Syakir.

Syamil pulak sudah frust menonggeng. Tunggu masa saja nak meraung meluahkan perasaan.

Azyan dah tak boleh lari dah. Nak tak nak, dia kena ajak Syakir yang bermulut laser nak mampus itu keluar dating.

Ceh! Bab ini yang aku paling menyampah! Aku mana reti nak ajak orang lelaki keluar dating.

Salwa pulak dah tergedik-gedik tolak Azyan, suruh cari Syakir. Ini yang membuatkan Azyan susah hati. Azyan dipaksa berdating dengan orang yang dia paling benci dalam dunia ni. Salwa pula kata lama-lama nanti boleh jatuh sayang. Kalau sehari tak jumpa, mandi tak basah, makan tak kenyang, tidur pun tak lena.

Azyan mendengus di dalam hati. Otak kau, Wawa! Dia mengintai Syakir yang sedang membasuh tangan di pili air. Lelaki itu seorang diri, tidak ditemani oleh sesiapa pun. Kalau serang hendap nescaya dia mampu menumpaskan Syakir. Seorang gadis mengintai lelaki. Sungguh memalukan! Macamlah tiada kerja yang berfaedah nak dibuat selain mengintai mamat sorang ni.

"Kau nak tunggu apa lagi? Pergilah tegur dia," usul Salwa sambil mencucuk pinggang ramping Azyan.

Perempuan seorang ni, kalau aku flying kick baru dia tau! Aku dah bebas mempergunakan semula ilmu mempertahankan diri aku dah. Nahas kau nanti, Salwa!

"Gila! Aku tak maulah."

"Kau dah kalah. Jangan begini, beb. Kau yang kata tadi kau sanggup bertaruh dengan aku. Tak baik mungkir janji. Berdosa…."

"Pandailah kau cakap. Habis tu, yang kau dok terhendap-hendap budak kemetot tu tak berdosa pulak?" tukas Azyan.

"Tak baiklah kau, Yan. Dia sama baya dengan kita, tau! Bukan budak kemetot."

Salwa mencebik. Sama aja Azyan dengan Syakir. Dua-dua mulut laser.

"Peduli apa aku? Kalau dah kemetot tu tetap kemetot jugak! Dahlah nama pun Tengku Kudin. Kelakar betul aku dengar nama dia. Nasib baik depan nama dia ada Tengku, ada la class sikit," ujar Azyan dengan selambanya.

"Sedapnya mulut kau kutuk boyfriend aku ye?"

Salwa menarik cuping telinga Azyan.

Azyan ketawa mengekek. Setakat tarik telinga, tak ada rasa apa-apa pun.

"Jangan nak alihkan perhatian aku. Ingat aku dah lupa perjanjian antara kita? Cepat pergi jumpa buah hati pengarang jantung kau tu!" Salwa menolak tubuh Azyan.

Azyan tarik nafas, lepas… tarik lagi, lepas. Fuhhh! Azyan, kau mesti boleh. Malaysia boleh! Semua boleh! Bola sepak boleh! Apa-apa pun boleh! Hati Azyan mula merapu bukan-bukan. Dia melangkah mendekati Syakir yang duduk berehat di tepi pili air. Kenapalah Si Syakir ni tak blah dari tadi? Macam tahu-tahu saja aku ada kat sini.

Salwa yang sedang menyorok di sebalik dinding blok kuliah tersengih-sengih memerhatikan gelagat Azyan. Buat apa nak cari jauh-jauh, sedangkan si dia sudah ada di depan mata. Pada pendapat Salwa, Azyan dengan Syakir memang pasangan yang secocok. Tak kisahlah seorang suka air Coke dan seorang lagi suka sundae. Ala… kucing dengan anjing pun boleh berbaik, apa. Ganbatte Yan!

"Syakir!" panggil Azyan dengan lantang.

Habis tersembur air mineral yang sedang diteguk oleh Syakir. Terbatuk-batuk dia akibat tersedak. Dia mengetap bibir. Perempuan ni memang tak reti nak bagi salam ke? "Hah! Gorilla, kau nak apa?"

"Kedatangan hamba ke mari kerana hamba punya hajat yang besar terhadap tuan hamba."

Azyan berdialog laksana orang zaman dahulu kala. Penangan pertandingan teater hari tu la!

"Ya, tuan hamba. Hajat apa yang tuan hamba ingin dari pacal yang handsome ini?"

Apa lagi, Syakir pun ikutlah cara Azyan bercakap.

Rasa loya anak tekak Azyan mendengar perkataan handsome itu! Tapi memang Syakir handsome pun. Itu yang payah nak dinafikan. Heh heh heh….

"Hamba tak pandai bermadah pujangga. Hamba hanya pandai straight to the point. Tujuan hamba bertemu dengan tuan hamba kerana ingin menyunting kumbang di taman larangan ini untuk diajak keluar dating."

Syakir salah dengar ke? Rasanya gegendang telinga dia memang berfungsi dengan baik. Meleret senyuman Syakir. "Hamba tak salah dengar ke ni, tuan hamba?"

Syakir menadahkan telinganya pada Azyan. Saja nak minta Azyan ulang balik ayat dia tadi. Rasa macam best nak dengar lagi.

"Aku nak ajak kau keluar datinglah, ngok (bodoh)!" Azyan menjerit sekuat-kuat hatinya di telinga Syakir. Puas hati! Kalau kau pekak, bukan salah aku!

"Kau nak ajak aku dating?"

Syakir pecah ketawa. Dia dah tahu dah. Syamil yang bagi report pada dia tadi. Itu sebab dia saja duduk melangut sambil tunggu Azyan. Susah nak dengar perempuan ajak lelaki pergi bertemu janji ni. Bersorak riang hati Syakir. Yahoo!!!!

"Aik! Dulu bukan main jual mahal dengan aku. Sekarang kau nak ajak aku pi dating. Ini mesti ada apa-apa ni. Kau ni bukan boleh percaya sangat. Ada saja akal jahat kau kat aku. Aku mana boleh lupa kopi O ‘lemak hitam cap arang’ yang kau kasi kat aku hari tu. ‘Sedap’ hingga menjilat jari."

Syakir buat muka. Dendam pasal kopi O ‘lemak hitam cap arang’ itu masih belum berbalas lagi. Dia mesti balas dendam!

"Tak nak, sudah!" putus Azyan.

Malaslah nak layan mamat sorang ni lama-lama. Kalau dia tak nak, lagi bagus. Lagi aku suka. Suka sangat!

"Ada aku cakap tak nak?"

Syakir mengerdipkan mata. Ikut trademark Si Salwa pulak dah. Makin getik Azyan menengoknya. Dan Azyan cukup benci senyuman nakal yang tersungging di bibir Syakir. Senyuman niat tak baik tu!

Dalam ramai-ramai gadis yang dikenali, Azyanlah yang paling kuat melawan kata. Tak pernah nak mengaku kalah langsung. Ada saja modal mulutnya nak menjawab. Itulah Azyan. Gadis ayu yang maskulin.

Syakir sendiri pun tidak menyangka yang dia boleh syok sama Azyan. Padahal sebelum ini bukan main kaw-kaw dia mengutuk Azyan di belakang.

Siapa yang tak bengang dengan gadis itu yang sangat berdisplin di sekolah dulu. Malah terlebih overnya dari guru displin. Ke hulur ke hilir tak lekang dengan buku dia. Dah tu anak murid kesayangan semua guru kat sekolah. Budak pandai katakan.

Ada suatu hari tu, dia terlepas cakap depan Azyan. Apa lagi, teruk dia kena hambur dengan gadis itu. Lebih-lebih lagi bila Azyan terdengar dia kutuk gadis itu dengan kawan-kawannya. Bom atom pun meletuplah! Maka, mereka pun beramai-ramai kena jalan itik keliling sekolah. Ambik kau!

Sejak itulah Azyan anti sangat dengan budak lelaki bernama Muhammad Syakir bin Ilyas ini. Hu hu hu.…

Bila hari-hari bergaduh dengan Azyan budak maskulin itu, Syakir tak sengaja terjatuh hati pula pasal satu eksiden (accident) yang tidak disengajakan.

Nak tahu ke? Biarlah rahsia dulu. He he he… ada masa nanti kita cerita ya. Sekarang kita berbalik pada cerita Azyan ajak Syakir pergi dating.

"Boleh tak jangan tenung aku macam tu? Aku tak suka, tau tak. Geli aku tengok!" marah Azyan.

"Habis tu, apa yang kau tak geli? Kalau aku kiss, kau geli tak?"

Mula dah! Syakir bikin onar.

Membuntang mata Azyan. Terketap-ketap giginya.

Syakir pula makin galak ketawa. Suka benar dia melihat muka Azyan yang merah padam itu. Tak lama lagi pasti tsunami akan melanda.

"Aku cekik-cekik leher kau!"

"Kalau kau berani cekik aku, aku bagi flying kiss kat kau! Nak?" kata Syakir sambil menjegilkan biji matanya. Dia serius tu!

"Eee… ya Allah! Hari minggu pukul dua petang. Kau tunggu kat Ampang Park. Jangan lewat walau sesaat pun. Kalau kau lewat, aku terus blah! Bye bye!"

Azyan terus beredar. Tak kuasa mahu habiskan air liur bertekak dengan Syakir. Buang masa! Buang tenaga!

Syakir jongket bahu. Dia tersengih memanjang. Macam tak ikhlas saja Azyan ajak dating. Tak kisahlah! Yang penting, hari minggu ini dia dapat keluar bersama Azyan. Dia mula merencana program hari minggu nanti. Siaplah kau nanti, Cik Azyan. Dah sah-sah (pasti) Syakir ada plan ‘baik’ punya untuk Azyan nanti.

0 comments:

Post a Comment