Coke And Sundae

Karya Dari Ilya Abdullah

PETIKAN DIALOG NOVEL

"Jangan menyibuk hal luar dan dalam kain orang! Itu aku punya sukalah. Kau patut jaga je luar dan dalam kain kau!"

"Aku tak pakai kainlah Yan. Aku pakai seluar." Mengekeh Syakir ketawa. Azyan mencebik. Kurang asam punya lelaki.

PETIKAN DIALOG NOVEL

"Aku bagi kau pilihan Cik Nur Azyan. Kau nak diheret atau didukung. Kalau pada akulah kan aku lebih suka dukung kau."

"Dua-dua tak hingin! Dah-dah aku nak balik!" Azyan menyeringai. Kau paksa aku macam mana sekalipun aku tidak akan masuk kelab teater yang menggelikan itu! Tidak!

Coke And Sundae 9

BAB 9

SYAKIR mula rasa cemas dan risau. Bayang Azyan langsung tidak kelihatan. Hanya tinggal beberapa jam sahaja lagi kelab teaternya akan mengadakan pertunjukan di atas pentas. Setahu Syakir, Azyan seorang gadis yang menepati masa. Pasti ada sesuatu yang tidak kena berlaku pada Azyan. Sudah beberapa kali dia menghubungi Azyan, namun panggilannya tidak berjawab.

Nani juga turut membantu, namun tiada jua jawapan yang diterima dari telefon bimbit Azyan.

"Sempat ke Syakir?" soal Hamidi. Dia juga sudah gelisah.

"Kau ada call dia tak?" Syakir pula menyoal.

"Dah. Setengah jam lepas. Masa aku call dia, dia dah on the way ke sini. Sepatutnya Yan dah sampai," jelas Hamidi.

"Parah macam ini. Kita dah kesuntukan masa. Aku nak pergi cari dia. Manalah tahu kalau skuter dia rosak kat tengah jalan. Entah-entah bateri handphone dia kong ke."

Syakir segera menukar pakaiannya. Pementasan tidak akan berlangsung tanpa Azyan.

"You nak ke mana Syakir?" tanya Emelda yang terpacul di muka pintu.

"Nak cari Azyan. Kamu semua buat apa yang patut kat sini. Lengahkan masa selagi boleh."

"Apa yang you nak susah-susahkan diri? I boleh gantikan tempat Azyan. Lagipun watak tu memang watak I sebelum nikan?"

Emelda memaut lengan Syakir. Dia tidak mahu Syakir mencari Azyan. Dia mahu Syakir menumpukan perhatian kepada dia seorang.

"Apa pegang-pegang anak teruna orang ni? Lepaslah!" Syakir melenting.

"Entah! Tak malu betul. Menggatal aje taunya kucing seekor ni. Geli pulak aku tengok dia asyik dok menggesel kat kau aje," sampuk Hamidi yang cukup tak berkenan dengan perangai gedik Emelda. Meloyakan!

"Kau sibuk apesal? Kau jealous sebab tak dapat pikat aku, kan? Cerminlah muka kau tu dulu, Midi. Muka macam tongkang pecah."

"Aku nak pikat kau? Well, excuse me! Kau buat aku nak termuntahlah, Emelda. Muka aku memang tak handsome tapi taklah sampai teringin nak mengurat perempuan menggeletis macam kau ni. Baik aku mengurat kakak café kat kolej tu. Dia jauh lebih cun daripada kau. Muka kau pun tampal bedak sampai satu inci. Cantik plastik! Ingat dapat tutup semua parut jerawat kau tu?" bidas Hamidi.

Ahli-ahli kelab lain anggukkan kepala. Bersetuju dengan kata-kata Hamidi.

"Aku kalau dibagi free perempuan menggeletis macam Emelda ini, aku fikir dua ratus kali. Harap muka cantik tapi study hancus. Masuk dapur entah reti entah tidak." Saufi mencelah.

Yang lain-lain angguk kepala lagi.

"Tengoklah kawan-kawan you ni, Syakir. Mereka kutuk I." Emelda merengek.

"Aku takde masa nak layan kau. Aku nak cari Azyan. Baik kau prepare watak yang kau pegang sekarang. Kau banyak kali ponteng latihan teater."

Syakir menarik lengannya dari pautan Emelda. Rimaslah bila Emelda asyik nak berkepit dengan dia.

"Bukan ke I dah cakap tadi I boleh pegang watak Tun Teja. I lagi bagus dari Azyan you itu. Apa yang bagus sangat dengan Azyan sampai I pun you dah tak pandang dah!" Emelda meninggikan suaranya.

"Apa pulak? Dari dulu lagi aku memang tak pandang pun kau. Aku layan kau hanya sebagai kawan, tak lebih dari itu. Kau yang tergedik-gedik. Serang kawan-kawan perempuan aku la, itu la, ini la. Kau ingat kau tu bagus sangat? Aku bukan macam jantan-jantan yang ikut punggung kau, tau. Aku ni lelaki, tau!" gerutu Syakir.

"Syakir… tergamak you hina I. Selama ni I hanya tunggu you seorang. I tak pandang pun lelaki lain. I hanya cintakan you."

Emelda meneruskan lakonannya. Dalam hatinya ketawa berdekah-dekah. Waktu ini pastinya Azyan sudah disekat oleh budak-budak upahannya itu. Dia akan buat Azyan gagal tiba ke lokasi pementasan. Hanya dia yang layak membawa watak Tun Teja di samping Syakir.

"Dah! Jangan mengarut. Kalau kau banyak songeh, kau boleh blah dari pementasan ni. Aku takkan gantikan tempat Yan dengan orang lain."

Tanpa membuang masa, Syakir terus melangkah keluar dari belakang pentas.

Emelda mencebik. Syakir tetap juga mahu mencari Azyan.

"Ha ha ha! Padan dengan muka kau."

Saufi dan Hamidi sama-sama ketawakan Emelda. Bukan senang nak tawan hati tuan pengerusi kelab mereka yang mulutnya laser nak mampus tu.

Aku mesti cari Azyan sampai dapat. Aku tak kira! Azyan tetap akan bawa watak Tun Teja itu juga. Azyan tidak mungkin akan buat onar dalam pertunjukan tersebut. Azyan rajin berlatih dan tidak pernah ponteng latihan. Malah Azyan telah bersusah payah menjayakan watak yang dipegangnya. Azyan bukan seperti Emelda.



NAFAS panjang ditarik dalam-dalam. Menyirap darah Azyan bila skuternya ditendang oleh sekumpulan budak lelaki yang menghadangnya di tengah jalan lapang itu. Azyan menyumpah di dalam hati. Sudahlah pelan jalan yang diberikan tidak betul. Silap hari bulan, ada yang makan kasut nanti! Sekarang ada pula kumpulan budak lelaki yang menghalang jalan Azyan. Main kasar pulak tu. Suruh Azyan turun dari skuter. Lepas itu skuter kesayangannya pula ditendang. Kurang ajar betul. Kalau bukan kerana janjinya pada ayah pastinya kumpulan budak-budak lelaki seramai lapan orang itu dikerjakan Azyan cukup-cukup.

Aduh! Aku dah lambat ni. Mati aku kalau si cicak kobeng tu membebel nanti. Mulut dia kalau dah bercakap, tak tahu nak berhenti. Leternya mengalahkan leter ayah. Dahlah kalau bercakap ikut sedap mulut dia saja. Tak bertapis langsung!

"Kau Azyan, kan?" tanya budak lelaki yang tiada sehelai rambut atas kepala itu. Licin. Kita letak saja nama budak tak berambut itu, Si Botak.

"Amboi... amboi. Cantiknya bahasa. Kalau ya pun bagilah salam dulu. Dahlah tahan anak dara orang tak tentu pasal tengah jalan lapang begini. Tendang skuter kita pulak tu. Kau tahu tak bukan senang aku nak dapatkan skuter cantik ni. Buat kerja part-time, tau. Tak harapkan duit bapak," gerutu Azyan.

"Aku tanya nama kau, bukan pasal skuter kau. Bodoh!" Si Botak menudingkan jari telunjuknya pada muka Azyan.

Kurang ajar punya budak botak! Berani dia tudingkan jari pada muka aku yang ayu nan comel ni. Lepas itu kata aku bodoh! Melampau tu! Syakir pun tak pernah panggil aku bodoh walaupun dia musuh ketat aku.

"Kau nak buat apa kalau betul aku ni Azyan?!" Azyan meninggikan suaranya.

"Garang, tapi manis bila marah," ujar Si Botak.

Teman-temannya bersorak sambil ketawa.

Azyan mengetap bibir. Benci betul dipermainkan sampai begini. Ini mesti ada orang yang dengki dengan dia. Kalau tidak, tiadalah budak-budak lelaki yang macam tak cukup umur ini menahan dia di jalan lapang begini.

Kenapa dia berani cakap budak-budak lelaki itu tak cukup umur? Sebabnya, budak berlapan ini kontot-kontot aje. Mereka lebih rendah daripada Azyan. Macam budak-budak sekolah rendah saja. Itu sebab Azyan tak takut langsung meskipun dia dah tak boleh bertumbuk dalam masa sebulan ini. Nak ketawa, terpaksalah tahan dalam hati.

"Kecik-kecik dah jadi samseng. Duit belanja sekolah pun mak bapak masih tanggung."

Azyan terpaksa tundukkan sedikit tubuhnya untuk menghadap muka Si Botak.

Wajah Si Botak merona merah bila tercium bau minyak wangi yang dipakai oleh Azyan. Dah la Si Azyan ni comel orangnya. Boleh berdarah hidung dibuatnya.

"Si… siapa budak kecik? Umur kita orang tiga belas tahun, tau. Dah bersunat. Jadi, kita orang ni dah dewasa."

Tergagap-gagap Si Botak mengeluarkan suaranya kali ini.

Azyan tersengih. Sebaya dengan Syamil rupa-rupanya geng budak-budak kecik ni.

"Baru umur tiga belas tahun nak mengaku orang dewasa. Daripada korang semua buat kerja tak berfaedah kat sini baik korang semua buat kerja sekolah kat rumah. Esok tak ada la kena rotan dengan cikgu. Kalau perlukan cikgu tuisyen, akak boleh jadi cikgu tuisyen korang," kata Azyan.

Berubah riak wajah Si Botak.

Salah seorang temannya merapati dan berbisik yang kononnya perlahan tapi jelas sekali di pendengaran Azyan.

"Dah gertak pun dia tak nampak takut, Lan. Macam mana ni?"

"Wang pendahuluan kita dah terima. Apa pun kita kena buat kerja kita jugak."

Ooo… Si Botak tu, namanya Lan. Tak padankan kecik dah pandai buat kerja samseng. Bahaya ni.

Azyan bercekak pinggang. Mukanya diseriuskan. "Ingat akak tak dengar apa yang korang bisikkan tu? Siapa upah korang semua ni? Kalau tak cakap nahas korang nanti. Korang tak kenal siapa ayah akak lagi. Kalau korang apa-apakan akak, dia cari korang sampai ke lubang cacing. Mesti korang pernah tengok cerita Castello. Ayah akak macam itulah. Jangan memain."

Sengaja Azyan menakutkan budak-budak lelaki itu.

Mereka menelan air liur.

"Ketua kongsi gelap ke kak?" Seorang yang nampak sedikit lurus bendul itu bertanya.

Azyan anggukkan kepala. Ala, bukan susah nak tipu budak-budak kecik ni.

"Dia dah tembak beratus-ratus orang, tau. Semua mati di tangan dia. Takde sorang pun yang terlepas, apatah lagi budak kecik macam korang ni yang berani mengusik anak dara dia," tokok Azyan.

Azyan menudingkan jari telunjuknya pada muka Si Botak.

"Kita orang diupah oleh seorang kakak yang cantik. Dia tak mau kasi kakak sampai ke pementasan teater. Dia jugak yang tukar pelan jalan yang salah."

Si lurus bendul yang membuka mulut.

Si Botak menjeling temannya itu. Temannya itu buat bodoh aje sebab dia memang dah bengap.

Begitu, ye? Patutlah aku tak sampai-sampai ke tempat pementasan teater tu. Rupa-rupanya ada yang pedajalkan (aniaya) aku, bisik hati kecil Azyan.

"Yang kau bocorkan rahsia tu, kenapa? Bodoh!" marah Si Botak. Dia mengetuk kepala temannya itu.

Temannya itu mengaduh kesakitan. Salah ke dia buka rahsia? Demi keselamatan mereka juga. Dia tidak mahu mati muda.

"Dahlah tu, Lan. Dah tahu Si Mie tu bengap, kau ajak jugak dia join geng kita. Kau pun sama bengap macam dia jugak."

"Berani kau kata aku bengap, Man? Kau nak kena debik?"

"Debiklah. Kau ingat aku takut dengan kau?!"

Mereka mula bergaduh sesama sendiri.

Azyan dah tak tahan dah. Masa semakin jauh meninggalkannya. Dia pula tengah kejar masa. "Cukup! Jangan nak bertekak lagi!"

Kedua-dua budak lelaki itu tersentak. Kecut perut mereka mendengar suara Azyan yang memetir itu.

Azyan menarik cuping telinga kedua-dua budak itu.

Mereka menjerit, mengaduh kesakitan.

"Akak lupa nak beritahu yang akak juga seganas ayah akak tu. Akak rasa nak gulai (kerjakan) aje korang ni, tau."

Mereka berundur setapak, kemudian cabut lari.

Itu baru acah sikit aje. Buat gimmick sikit saja, dah lari lintang-pukang. Azyan ketawa kecil. Tinggallah Si Botak dengan dua temannya itu.

Sekarang tinggal tiga orang budak kecik saja. Seorang botak, seorang rambut belah tengah dan seorang berambut tegak macam duri durian.

"Tercegat apa lagi tu? Angkat balik skuter akak ni!" arah Azyan dengan garang.

Tiga budak lelaki itu menelan air liur. Kecut perut melihat wajah Azyan yang sudah bertukar rupa. Pantas mereka bertiga mengangkat kembali skuter Azyan.

"Hah! Korang datang sini naik apa?"

"Naik basikal, kak." Ketiga-tiganya menjawab pantas.

Samseng naik basikal.

"Hmmm! Tahu kat mana tempat pementasan teater tu tak?"

"Tau, kak."

"Tunjukkan akak jalan ke sana."



SYAKIR tidak tentu arah mencari Azyan dengan motosikalnya. Dia pergi ke rumah Azyan. Gadis itu dikatakan sudah keluar awal dari rumah. Tapi ke mana pula sedangkan pelan jalan sudah diberikan. Itulah… sudah disuruh pergi bersama, Azyan menolak dengan keras. Tahulah Azyan benci sangat dengan dia. Sehari kalau mereka tak bertegang urat, tak sah!

"Lepas subuh Yan tak tidur macam selalu. Dia kata tak nak lewat sampai ke tempat pementasan teater. Pelik juga. Yan bukannya suka dengan teater."

Itu kata Azuan ketika dia datang ke rumah Azyan tadi. Lega Syakir mendengar kata-kata Azuan. Dia tahu Azyan akan bersungguh-sungguh bila dah buat sesuatu perkara itu, tak kiralah sama ada dia suka atau tidak.

Ke mana pula Azyan menghilang? Syakir rasa ada yang tidak kena. Masakan Azyan boleh sesat sedangkan pelan jalan sudah diberikan. Biarpun Azyan boleh menjaga dirinya sendiri, tapi Syakir tetap berasa risau. Siapa tak risau jika gadis kesayangan ditimpa masalah? Lebih-lebih lagi bila dia terdengar perbualan Azyan dengan Nani tempoh hari.

"Dalam masa sebulan ni kau tak boleh langsung gunakan ilmu pertahanan diri pada sesiapa. Okey jugak hukuman yang ayah kau berikan tu. Kau amat menakutkan bila kau marah Yan," kata Nani sambil memandang wajah Azyan yang agak monyok.

"Emmm… tak baik melawan cakap ayah, nanti jadi anak derhaka. Tak mahulah kena sumpah macam Si Tanggang."

"He he he… kau ni sebenarnya ada juga sifat lembut dalam hati kau, Yan."

"Tak salah, kan kalau nak jadi kuat untuk keselamatan diri sendiri. Sebulan tu tak lama. Harap-harap takdelah orang yang cari pasal dengan saya."

Ini mesti pasal Azyan bergaduh dengan budak lima ekor kat taman bunga hari itu. Itu sebab Syakir mesti mencari Azyan sampai dapat. Dia bertanggungjawab terhadap keselamatan Azyan. Lagipun, inilah peluang Syakir untuk jadi hero depan Azyan.

Syakir memberhentikan motosikalnya di bahu jalan. Kelibat Azyan masih tidak muncul-muncul. Dia melihat jam di pergelangan tangan. Tinggal beberapa minit saja lagi kelab teater dari kolej mereka bakal naik ke atas pentas. Syakir mengeluh panjang. Bunyi skuter di tengah jalan langsung tidak dipeduli. Kepalanya hanya memikirkan Azyan.

"Hah, Syakir! Kenapa kau boleh ada kat tepi jalan, dok melongo pulak ni? Awek kau mungkir janji ke?"

Teguran dari belakang mengejutkan Syakir. Ligat Syakir memalingkan kepalanya. Bibirnya mengukir senyuman bila terlihat wajah ayu itu. Namun hanya sekejap. Timbul urat-urat di dahinya bila melihat tiga budak kecik di belakang Azyan.

"Awek mungkir janji otak kau! Kau pergi mana? Kau main dengan budak-budak kecik ni ke? Kau tau tak kita orang dah jadi kelam-kabut pasal kau!"

"Aik! Naik suara pulak! Kau tahu tak kenapa aku lambat? Aku sesat jalan dengan pelan yang diberikan oleh kucing miang kau tu!"

Azyan keluarkan kertas yang sudah renyuk di dalam poket seluar jeansnya. Dia campakkan pada muka Syakir. Sungguh tak baik perbuatan Azyan itu.

Kucing miang! Tahulah Syakir siapa yang punya angkara. Patutlah Emelda beria-ia menghalang dia dari mencari Azyan. Dengki pada Azyanlah tu!

Syakir sendiri pun tak tahu kenapa Emelda asyik terkejar-kejarkan dia. Nak kata dia kaya-raya, tak pula. Emelda yang kaya. Dia hidup sederhana saja. Tapi kalau pada paras rupa, dia memang ada pakej. Bukan nak bangga diri… dah Tuhan kurniakan wajah yang elok molek, gitu. Bersyukurlah… kerana pakej wajah inilah dia ditawarkan kerja part-time model iklan di televisyen dan majalah.

"Aku tak bela kucing miang tapi aku bela ayam jantan kat kampung tu."

"Ooo… bela ayam jantan. Kau gaylah ye?"

"Gay otak kau! Sedap-sedap mulut saja mengata aku ni gay! Aku bela ayam jantan, bukan bela lelaki. Manusia dengan binatang pun dah tak tahu nak bezakan! Kau nak tunggu apa lagi? Cepat! Kita dah lewat ni."

Syakir sudah menghidupkan enjin motosikalnya.

"Aku lupa nak tanya. Budak kecik bertiga ni kau culik dari mana pulak? Takkan adik kau, Yan? Kau kan anak bongsu?" soal Syakir tiba-tiba.

"Aku jumpa kat jalan masa aku sesat tadi. Mereka yang tolong aku tunjukkan jalan yang betul. Kalau tak, mahu aku sesat selamanya." Azyan kelentong. Tidak diceritakan perkara sebenar.

Budak bertiga itu tercengang. Mereka saling berpandangan.

"Kita kena cepat ni. Budak kecik bertiga ni tak dapat bersaing dengan kita dengan basikal cabuk dia orang ni. Takkan kau nak angkut sekali mereka dengan kita?"

"Aku taulah!"

Azyan memandang ketiga-tiga budak lelaki itu. "Terima kasih atas bantuan kamu bertiga. Kamu tentu ada handset, kan?"

Mereka anggukkan kepala.

Si Botak yang bertindak sebagai ketua itu menghulurkan telefon bimbit berjenama Nokianya.

Mak oiii! Canggihnya telefon bimbit dia. Best betul jadi anak orang kaya ni. Azyan menekan-nekan nombor pada keypad telefon Si Botak. Kemudian dia memberikan semula kepada Si Botak.

"Akak dah setkan nombor telefon akak pada handset adik. Ingat pada tawaran akak tadi. Kalau setuju, call akak. Kalau tak setuju pun, adik boleh call akak. Kita boleh jadi kawan, ek. Boleh jadi satu team nanti."

Azyan mengusap-usap kepala Si Botak yang licin itu sambil mengenyitkan matanya.

Si Botak tersenyum manis. Dua orang kawannya juga turut tersenyum.

"Kami nak panggil akak apa?"

"Panggil saja Kak Yan. Take care. Jangan nakal-nakal lagi."

Azyan segera membuntuti motosikal Syakir yang sudah bergerak di hadapan.



SEMUA ahli kelab teater menarik nafas lega kerana Azyan dan Syakir tiba tepat pada masanya.

Bergegas Nani menyiapkan Azyan untuk pementasan mereka yang akan bermula kurang dari satu minit lagi.

Syakir juga begitu.

Mereka memang tidak boleh berlengah-lengah dengan masa.

Azyan berposing di hadapan Nani.

Nani tersenyum meleret. Azyan bertambah cantik bila dia siap didandan. Kalah Era Fazira. Lepas ini pasti Azyan akan meletup. Mahu cemburu Syakir nanti kalau Azyan dikelilingi oleh pangiran-pangiran kacak, gitu.

"Encik Hang Tuah… Cik Tun Teja awak dah siap! Cantik tau!" laung Nani.

"Eleh! Ye ke? Cantik sangat ke gorilla aku tu?" balas Syakir yang sedang membetulkan tengkolok di kepala dan keris di pinggangnya. Tampan sekali.

"Eh, halo... kalau tak cantik, orang tak puji aku, tau."

Azyan terpacul di depan mata Syakir dengan lagaknya. Tak sangka dia boleh ayu begini pakai baju kebaya.

Nak tahu tak? Seumur hidup Azyan, dia tidak pernah mengenakan baju kebaya. Baju kurung pun dia pakai masa sekolah dan Hari Raya Aidilfitri. Kalau hari lain, minta maaflah. Dia lebih selesa mengenakan seluar jeans dan kemeja labuh.

"Cantiknya kau, Yan!" Terbeliak biji mata Hamidi.

"Haah! Boleh jatuh cinta aku dibuatnya," sampuk Mat Karan.

"Jangan nak mengada-ada! Gorilla ini aku yang punya. Korang jangan nak rapat-rapat dengan dia!" Syakir menarik Azyan ke sisinya.

Tersentak Azyan mendengar kata-kata Syakir. Wajahnya merona merah. Dia rasa telinganya tak salah dengar. Lagipun dia kerap korek telinga. Ini mesti Syakir mahu mengenakan dia lagi.

"Apa kau merepek ni cicak kobeng? Kau ingat aku menatang (binatang) peliharaan kau?"

Azyan bercekak pinggang. Masa sekolah Syakir dah malukan dia sekali. Dia tidak akan biarkan Syakir memalukan dia lagi.

"Dahlah… sekarang bukan masa nak bertekak. Giliran kita dah sampai."

Nani menjadi orang tengah. Tidak mahu keadaan menjadi lebih keruh.

Azyan menjelirkan lidah.

Syakir mencebik. Bengap betul. Masih tak faham-faham isi hati aku! Sabar Syakir, sabar. Masih ada masa lagi. Azyan akan faham perasaan kau satu hari nanti.

"Berusahalah Syakir."

Saufi menepuk bahu Syakir dikuti oleh Mat Karan, Hamidi dan yang lain-lain.

Syakir tersenyum meleret. Dia turut mengatur langkah seiring dengan mereka ke pentas.

"Aku akan uruskan hal kau lepas pementasan ni selesai." Ujar Syakir sebaik saja dia melintasi Emelda.

Wajah Emelda berkerut. Sudahlah rancangannya gagal, kini Syakir buat muka pula dengan dia. Menakutkan betul bila melihat renungan Syakir. Budak-budak yang diupah untuk menyekat Azyan itu memang tidak boleh diharap langsung!

0 comments:

Post a Comment