Coke And Sundae

Karya Dari Ilya Abdullah

PETIKAN DIALOG NOVEL

"Jangan menyibuk hal luar dan dalam kain orang! Itu aku punya sukalah. Kau patut jaga je luar dan dalam kain kau!"

"Aku tak pakai kainlah Yan. Aku pakai seluar." Mengekeh Syakir ketawa. Azyan mencebik. Kurang asam punya lelaki.

PETIKAN DIALOG NOVEL

"Aku bagi kau pilihan Cik Nur Azyan. Kau nak diheret atau didukung. Kalau pada akulah kan aku lebih suka dukung kau."

"Dua-dua tak hingin! Dah-dah aku nak balik!" Azyan menyeringai. Kau paksa aku macam mana sekalipun aku tidak akan masuk kelab teater yang menggelikan itu! Tidak!

Coke And Sundae 20

BAB 20

TERMENUNG Azyan bila mengingati eksiden di antara Zekri dengan Nani. Teruk semalam Zekri kena hentam dengan Nani. Padan muka! Azyan ketawa sendiri di depan televisyen.

Gelagat Azyan menjadi perhatian dua orang abangnya. Siapa yang tidak hairan melihatnya? Kalau yang ditonton itu cerita kelakar, ada juga patutnya adik mereka ketawa. Tapi yang ditonton itu cerita hantu. Kelakar sangatkah hantu dalam filem tu di mata Azyan? Setahu mereka, hantu dalam Evil Dead mana ada kelakar? Meloyakan tekak ada la… terutamanya semasa hantu-hantu tu bercerai tubuh badan dan menghempap sang hero.

Tiba-tiba saja Azyan berhenti ketawa. Sekali lagi mengejutkan kedua-dua abangnya. Kali ini dia menongkat dagu pula sambil garu kepala.

Azuan dan Anuar jadi bertambah hairan. Takkan tengok cerita hantu garu kepala? Macam-macam aksi Azyan buat di atas sofa tu.

Akhir sekali Azyan menjerit kuat.

Nak pecah gegendang telinga Azuan dan Anuar. Nak kata Azyan takut tengok cerita hantu, mustahil sebab itu antara cerita kegemaran dia. Kalau tengok macam nak tersembul biji mata. Bila dimarah, katanya tak jelas tengok hantu tu makan orang. Ada juga penonton seperti Azyan ini. Ada… jangan kata tak ada!

"Yang menjerit macam perempuan gila ni apa pasal?" gerutu Azuan.

"Memang tengah gila ni. Handphone Yan hilang!"

Azyan baru perasan telefon bimbit yang ada keychain Hello Kitty itu sudah hilang. Sah dia tertinggal di Bangi Kopitiam semalam sebab dia letakkan telefonnya di atas meja.

"Kesiannya… nak abang telefonkan Hospital Tampoi ke?" sampuk Anuar.

"Ini Hospital Tampoi abang!" balas Azyan seraya memaut leher Anuar.

Ada hati nak hantar adik sendiri ke Hospital Tampoi. Sedarlah diri yang awak tu pun otak senget sebelah. Diri tu normal, pergi mengaku homoseksual pula. Tak tahu malu betul. Merosakkan kaum kerabat!

"Abang rasa keazaman Yan nak jadi gadis ayu sopan santun tu dah terpesong dari laluannya. Tak perlulah Yan teruskan azam Yan tu lagi. Kalau gorilla tetap gorilla. Gorilla mana ada makan nasi, kan?" tambah Azuan.

Dia mencapai remote televisyen di atas meja. Menguatkan volume suara hantu yang sedang mengilai di dalam filem Evil Dead itu. Saja nak melawan cerita Hindustan yang berlagu kuat di rumah sebelah.

"Sibuk betul abang-abang Yan ni. Suka hati Yanlah." Azyan melepas pautan di leher Anuar. "Slowlah volume tu sikit! Tengok... Abang Nuar dah ketar ni!"

Azuan buat tak endah. Siang hari pun nak takut. Malam nanti mesti Anuar akan kejutkan dia untuk temankan ke tandas. Kalau dia tiada di rumah, Azyanlah yang akan menjadi mangsa menemani Anuar. Dah besar, dah jadi anak teruna pun masih takut lagi. Rugilah perempuan yang sukakan Anuar. Muka macho tapi penakut! Dira nak, Anuar jual mahal. Apa kata kalau dia yang pikat Dira. Dia suka juga awek yang ala-ala psycho ni.

"Amboi… kome (korang)! Kuatnya pasang televisyen."

Wajah Mak Timah Radio tertonggok di muka pintu.

Kus semangat! Perempuan tua ni tak tahu nak bagi salam dulu ke? Main terjah masuk aje! Ini apa hal datang rumah orang ni? Mesti ada apa-apa! Kalau pasal budak Fadhil tu rasanya dah sebulan lebih aku tak belasah dia. Aku sibuk dan tak ada masa nak menghadap muka budak sengal tu.

"Uit! Mak cik ni tak tau bagi salam ke? Orang putih pun kata hello dulu, tau tak sebelum masuk rumah orang."

"Mulut kamu memang tak bersopan langsung tegur orang tua, Yan. Kamu memang tak ada canlah nak jadi menantu teman (saya)."

Sengaja Mak Timah Radio herotkan mulutnya bila bercakap.

"Teman pun tak hingin jadi menantu kome! Anak kome mana padan dengan teman yang cun-melecun ni. Kome tu keturunan ayam belanda. Teman ni keturunan itik serati, mana boleh kahwin sebab ayam belanda dengan itik serati lain spesies!"

Azyan buat perangai loyar buruknya. Ingat dia tak pandai cakap Perak ke?

"Apa kamu ingat anak teman tak boleh dapat perempuan yang lagi cun dari kamu? Anak teman lagi handsome dari Fahrin Ahmad, tau!"

Mak Timah Radio senyum bangga.

Azyan pecah ketawa. Ada hati nak bandingkan Fadhil dengan Fahrin Ahmad. Rasa nak bagi saja cermin pada Mak Timah Radio agar Mak Timah Radio boleh cerminkan muka Fadhil dengan Fahrin Ahmad. Muka macam longkang, nak bakal isterinya cun macam aku! Boleh blah! Kalau muka longkang tapi hati baik tak apalah jugak. Ini… perangai macam pelesit!

"Teman tak heran (hairan)! Teman memang tak sio (nak) dengan anak kome tu."

Azyan menjuihkan bibir. Biar Mak Timah Radio berapi satu badan. Azyan palingkan kepala. Dengan lenggang lenggok yang sengaja dibuat-buat, dia berlalu naik ke tingkat atas. Tak ubah gaya seperti perempuan gedik.

Macam itulah loyar buruk Azyan kalau bercakap dengan Mak Timah Radio. Dia punya bidas… sampai orang tua tu boleh terdiam dibuatnya!

"Sampaikan salam maut teman pada anak kome tu!" laung Azyan dari atas.

Tertelan air liur Mak Timah Radio. Mana boleh lupa kiriman salam maut daripada budak Azyan ni. Fadhil kan pernah masuk hospital, hampir patah segala tulang sebab dibelasah oleh Azyan. Paling dahsyat bila anak teruna itu dihumban ke dalam longkang besar bersama-sama dengan basikal BMXnya sekali. Mujur saja longkang besar tu tak ada air. Ganas betul anak gadis Encik Idris ni!

"Kalau dah bagi kiriman salam maut tu, baik Mak Timah suruh Fadhil berjaga-jaga. Bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan. Tapi kalau tak sempat, tak boleh buat apa-apa dah." Azuan tersengih.

"Sampai tua adik kome tu tak berlaki nanti. Teman datang ni ada he (hal). Bapak kome ada di rumah tak?"

Tanpa dijemput, dengan tak malunya Mak Timah Radio melangkah masuk ke dalam rumah.

"Ayah tak ada la Mak Timah. Dia pergi Melaka. Ada kerja di sana. Malam nanti baru balik."

"Ye ke? Tetamu datang kome tak buatkan langsung ayor (air). Tekak teman ni haus dari pagi tadi tak minum-minum lagi."

Mula dah Mak Timah Radio membebel.

"Pagi-pagi buta dah bertenggek (bertandang) kat rumah orang, pot pet sana pot pet sini, mana tak haus Mak Timah oiii!" balas Azuan.

Anuar anggukkan kepala tanda menyokong.

"Nuar, kau buatkan air special untuk Mak Timah kita ni."

"Menurut perintah Abang Zuan!"

Tanpa berlengah, Anuar menuju ke dapur.

Azuan sudah siap mengenyitkan mata pada Anuar. Isyarat nak buat pedajal la tu!

Habislah Mak Timah Radio kalau Anuar yang bikin air. Tidak sampai seminit air untuk Mak Timah Radio sudah terhidang di atas meja.

Anuar tersengih panjang sambil menjemput Mak Timah Radio minum.

Orang tua tu langsung tidak teragak-agak mencapai gelas minuman yang nampak hitam legam macam kopi.

Perlahan-lahan Mak Timah Radio meneguk air minumannya. Serentak itu terdengar jeritan nyaring Mak Timah Radio mengalahkan ilaian tawa hantu dalam cerita Evil Dead!

1 comments:

  1. Anonymous said...
     

    Hmm.. lawaknya episod nii!!! :-) :-) :-) :-) :-) :-) :-) :-) :-) :-) :-) :-) :-) :-) :-) :-) :-) :-) :-) :-) :-) :-) :-) :-) :-) :-) :-) :-) :-) :-) :-) :-) :-) :-) :-) :-) :-) :-)

Post a Comment