Coke And Sundae

Karya Dari Ilya Abdullah

PETIKAN DIALOG NOVEL

"Jangan menyibuk hal luar dan dalam kain orang! Itu aku punya sukalah. Kau patut jaga je luar dan dalam kain kau!"

"Aku tak pakai kainlah Yan. Aku pakai seluar." Mengekeh Syakir ketawa. Azyan mencebik. Kurang asam punya lelaki.

PETIKAN DIALOG NOVEL

"Aku bagi kau pilihan Cik Nur Azyan. Kau nak diheret atau didukung. Kalau pada akulah kan aku lebih suka dukung kau."

"Dua-dua tak hingin! Dah-dah aku nak balik!" Azyan menyeringai. Kau paksa aku macam mana sekalipun aku tidak akan masuk kelab teater yang menggelikan itu! Tidak!

Coke And Sundae 2

BAB 2

"ADUH!"

Sebiji bola menghentam tepat-tepat atas kepala Azyan. Terduduk kawan tu dibuatnya. Timbul bintang-bintang atas kepala Azyan. Dah macam cerita kartun dalam televisyen pulak.

Salwa mencangkung di sisi Azyan yang sudah hangin satu badan. Kesian pada teman baiknya itu. Entah siapalah yang bermain hingga bola boleh melantun ke luar kawasan. Tepat kena target pulak tu. Nasib baik tak kena nyonya-nyonya atau mak cik-mak cik. Kalau tidak, mahu ada yang pengsan tepi jalan. Siapa yang susah? Mereka dan keluarga mereka.

"Nasib baik kepala kau keras, Yan. Kalau tak, mau ada kesan benjol kat situ," suara Salwa.

"Ye, nasib baik aku dilahirkan dengan kepala yang tahan lasak ni. Siapa la punya kerja ni? Sepak bola target kepala orang! Dengki sungguh pada aku yang comel ni," gerutu Azyan.

"Agaknya ada orang berkenan dengan kau, Yan."

"Berkenan otak kau! Mana ada orang yang suka kat perempuan, sepak bola target kepala orang yang dia suka? Gila ke!"

"Mana tahu, taktik mengurat alaf baru." Salwa tersengih.

"Ini bukan nak mengurat, tapi nak cari bala!" Azyan mendengus.

Salwa jongket bahu. Azyan kalau dah naik hantu, muka sebiji macam gorilla!

Seorang pemuda berlari ala-ala pelari marathon menghampiri mereka berdua. Dia bercekak pinggang sambil memandang kedua-dua gadis yang bolehlah dikatakan dalam kategori cun-melecun itu.

Salwa membantu Azyan bangun.

Azyan menyapu kotoran yang melekat pada belakang seluarnya.

"Assalamualaikum."

Siap bagi salam tu.

"Waalaikumsalam."

Azyan menjeling tajam pemuda itu. Dia pandang pemuda itu atas bawah. Sah! Memang sah! Sahlah bola yang bedebuk atas kepala dia milik pemuda depan matanya itu.

Kalau sudah pakai jersi Chelsea FC dengan seluar pendek paras lulut, stoking hampir paras lulut dan kasut yang dipakainya memang dah sah-sah (pasti) kasut bola, maka bola ini adalah milik mamat yang tengah buat muka poyonya tu.

"Sakit ke?"

"Apa yang sakit?"

"Kepala kau tu?"

Jarinya ditudingkan pada kepala Azyan.

Sengal punya mamat. Kalau dah bola itu hentam kuat kat kepala ni, tentulah sakit. Boleh pulak dia tanya soalan bodoh tu. Huh! Tak sekolah punya orang!

"Taklah! Sedap sangat. Rasa macam kena cium dengan Dennis Oh aje. Teringin nak kena lagi sekali!" perli Azyan, sinis dan pedas.

Untuk pengetahuan semua, aku memang suka dengan hero Korea ni. Kalau nak tengok macam mana rupa dia ni, korang cari la VCD atau DVD drama bersiri Korea bertajuk Yue Hee The Witch. Dia berlakon sebagai second hero. Yang jadi chef tu. Dia ni handsome... sebab dia anak kacukan. Meleleh air liur dibuatnya… salah seorang calon lelaki yang bakal jadi boyfriend yang aku cari selain The Rock.

Susah nak cari lelaki pilihan aku ni. Memang cerewet. Perempuan… biasalah. Nak yang handsome aje, kan?

"Oh! Baguslah kalau bola itu ‘sedap’ kena kepala cik adik ni. Tak perlulah saya risau."

Pemuda itu ketawa kecil.

Kurang asam gelugor! Boleh pulak dia ketawa sakan. Merah menyala muka Azyan.

Salwa jongket bahu. Tak tahu nak kata apa. Begini kau nak jadi gadis yang lemah lembut dan penuh kesusilaan? Azyan… Azyan… mana azam baru kau tu? Kata nak jadi lebih feminin. Sekadar omong kosong, tak guna kawan. Patutlah kau dapat gelaran gorilla time sekolah dulu.

"Apa yang kau pandang-pandang aku? Nak kena bedal (pukul) ke?"

Mak oi! Kasarnya bahasa. Muka aje comel awek seorang ni! Tertelan air liur pemuda itu. Dia tunjuk pada bola yang berada dalam tangan Azyan.

Azyan baru perasan yang bola mamat tu ada dalam tangannya. Ini peluang baik kalau nak balas dendam. Azyan memalit senyuman di bibir.

"Awak nak bola awak ye?" tanya Azyan.

Akal jahat mula menjalar dalam otak. Siaplah kau mamat sengal!

"Yelah cik adik oiii!"

Apesal minah ni sengih semacam aje aku tengok? Seram sejuk dibuatnya. Macam aku pernah tengok senyuman macam tu. Tapi, di mana ya? Pemuda itu mengusap-usap dagunya yang licin.

"Yan… sudahlah tu. Maafkan aje dia," bisik Salwa.

Risau dia apabila melihat muka Azyan senyum menakutkan itu. Tiba-tiba dia teringat kisah dua budak lelaki yang kononnya ala-ala nakal di sekolah mereka dulu.

Budak-budak itu junior mereka. Diorang (dia orang) lemparkan batu pada kepala Azyan hingga berdarah sebab marahkan Azyan yang report pada guru disiplin kerana merokok dalam tandas.

Azyan tak balas tapi dia hanya tersenyum-senyum kucing, gitu.

Mereka tak tahu itu senyuman untuk membalas dendam.

Balik sekolah memang budak dua orang tu kena hentam teruk dengan Azyan. Lepas itu mereka terus beri tabik hormat pada Azyan. Dah rupa macam mafia pulak bila budak-budak itu jadi anak buah Azyan.

Cikgu-cikgu pun naik hairan.

Tiada sesiapa yang tahu hal tersebut kecuali Salwa.

Memang Azyan layak memegang jawatan ketua pengawas di sekolah. Ramai pelajar yang takutkan dia.

"Kau ke tepi Wawa. Aku nak kasi ajar mamat sengal ni. Berbintang kepala aku kena bola, tau."

"Jangan rosakkan program kita, Yan. Kau kan nak jadi feminin. Nanti lari pulak buah hati pengarang jantung kau bila dia tengok kau ganas macam ni. Kau pun tahu Haziq selalu joging kat kawasan sini."

Salwa cuba memujuk Azyan. Harap-harap menjadilah. Bila gorilla mengamuk, ingat senang ke nak kasi dia cool balik? Payah!

"Emmm… betul jugak kata kau. Malu aku kalau Haziq tengok aku jadi gorilla depan mata dia. Melepaslah aku nanti. Aku kan dalam proses dan nak jadi awek dia. Turun peratusan markah aku nanti."

Termakan juga Azyan dengan kata-kata Salwa.

Salwa menarik nafas lega. Keadaan sudah selamat. Sebut nama Haziq akan buat Azyan menukar fikiran. Apalah yang menarik sangat pada Haziq yang nampak bagus sangat pada pandangan mata Azyan tu? Hipokrit, ada la! Azyan pun boleh tersangkut. Gagah ke Haziq tu depan mata Azyan? Rasa-rasanya Azyan lagi gagah dari mamat yang konon perasan macho tu.

Si pemuda masih terkebil-kebil melihat gelagat gadis cun depan matanya itu. Entah apalah yang dibincangkan oleh kedua-dua gadis cun itu. Bola dia masih belum dipulangkan. Teman-teman sepermainan tengah menunggu. Game masih berjalan.

"Cik adik… bola saya," kata pemuda itu. Dia sudah menadah tangannya.

"Ambiklah!" kata Azyan sambil melontar kasar bola di tangannya kepada pemuda tersebut.

Betullah macam pernah jumpa, bisik hati kecil pemuda itu. Dia masih cuba mengingati wajah gadis comel di sebelah gadis yang bertudung itu. Otaknya tidak berfungsi dengan baik. Antena masih mencari saluran yang betul, itu sebab imej pun kabur.

"Wawa… jom blah," ajak Azyan seraya menarik lengan Salwa.

"Awak bernasib kali ini," suara Salwa perlahan sewaktu melepasi pemuda terbabit.

Pemuda itu garu kepala. Tidak mengerti apa yang dimaksudkan oleh Salwa itu. Bola sudah berada di dalam tangan. Dia berlari mendapatkan kawan-kawannya semula.

"Handsome, kan mamat tadi tu?" Salwa bersuara ketika mereka sedang menghadap teh tarik di kedai mamak.

"Handsome ke?" balas Azyan acuh tak acuh.

Hatinya membengkak. Wajah Haziq tidak kelihatan hari ini. Ponteng pulak mamat tu berjoging. Penat saja dia bersiap cantik-cantik untuk menarik perhatian Haziq.

"Handsome la dia. Aku suka kat rambut dia yang ala-ala Korea Jepun tu. Kau kan suka hero-hero cerita Korea Jepun tu. Dia lebih handsome dan cute dari Haziq, apa..." desis Salwa.

Alahai… apesal la kau ni buta sangat Azyan oi! Mamat tadi memang lebih handsome daripada Haziq. Ada iras-iras Eiji Wentz, pelakon Jepun tu. Sedap jugak mata memandang. Aduhai... bertuahlah perempuan yang jadi girlfriend dia tu nanti. Berdegup kencang jantungku dibuatnya!

"Kau ni kenapa, Wawa? Merah muka kau. Dah mula naik mianglah ni. Aku tengah tension, kau boleh buat muka menggatal kau tu," marah Azyan. Tangannya laju menarik cuping telinga Salwa.

Menjerit kecil Salwa dibuatnya. Salwa memuncung. Kemudian dia tersengih.

"Relaks, Yan. Kenapa nak tension-tension gini? Kau takut sangat tak dapat pikat Si Haziq tu, kenapa? Kau tu lebih comel daripada budak-budak perempuan kat kolej kita la. Peluang kau lebih cerah Yan. Kalau kau risau sangat, kau bagilah surat cinta kau pada Haziq. Bak kata pepatah, siapa cepat, dia dapat."

Salwa menghirup perlahan gelas teh tarik mamak kegemarannya. Kalau dah sejuk tak rasa dah nikmat teh yang sudah ditarik-tarik oleh Abang Ravi tu tadi.

Azyan menongkat dagu. Tak berkerdip mata dia pandang cara Salwa menghirup teh tarik. Control ayu Si Salwa ni. Aku tahulah kau tengah curi perhatian mamat duduk selang dua meja dari kita tu. Menggatal betul kau, Salwa!

"Mamat bermisai lebat itu pun kau berkenan, Wawa," komen Azyan.

Taste Salwa memang agak pelik. Lelaki yang botak licin pun dia boleh kata macho.

"Tu taste akulah, Yan. Aku suka. Lagi-lagi kalau ada misai melentik macam ayah kau. Macho…."

"Suka hati kaulah, Wawa."

Azyan memulas penutup botol Coke yang dipesan. Minuman kesukaannya sejak azali lagi. Wajah kacak Haziq terbayang di ruang mata Azyan.

Azyan pun mulalah imbas kembali pertemuan pertama dia dengan Si Haziq tu. Jika tidak kerana peristiwa dia selamatkan seekor kucing dari dilanggar motosikal Haziq, dia tidak berpeluang berkenalan dengan mamat tu.

"Awak tak apa-apa?"

Suara yang ada nada kerisauan itu berjaya membuatkan hati Azyan cair. Haziq tidak kisah dengan motosikalnya yang sudah terbabas masuk ke dalam longkang. Dia lebih pentingkan keadaan Azyan, tu yang best. Juga tidak hiraukan luka-luka kecil di tubuhnya. Itu buat Haziq nampak gagah pada Azyan.

Azyan bingkas bangun sambil memaut kucing yang diselamatkan tadi.

Apa lagi buatlah muka yang lemah lembut seorang gadis ayu. Hipokrit sungguh!

"Tak apa-apa. Sikit aje," balas Azyan dengan selembut-lembut suaranya.

Ala… Azyan bukannya kisah sangat dengan luka-luka kecil. Kan ke dia gadis yang gagah. Tak rocklah luka sikit dah menangis, beb. Ini Nur Azyan, anak Tuan Mejar Idris.

"Sikit awak cakap? Tengok lengan awak tu, berdarahlah."

Haziq keluarkan sapu tangan dari poket seluarnya. Dengan berhati-hati, dia membalut luka pada lengan Azyan.

Aduh! Hati Azyan dah dicuit dek keprihatinan Haziq. Timbul simbol love dalam anak mata Azyan.

"Terima kasih."

"Saya yang patut ucapkan terima kasih pada awak. Kalau bukan kerana awak, mesti saya dah langgar kucing yang comel ini."

Haziq tersenyum. Dia usap lembut bulu kucing yang berada dalam pegangan Azyan itu.

Memang cantik senyuman Haziq. Merah padam wajah Azyan. Kelu lidah Azyan nak bersuara.

"Awak pun comel macam kucing ni," sambung Haziq lagi. "Alamak! Saya dah lewat ni. Saya gerak dululah, ye."

Dia berlari-lari anak ke arah motosikalnya. Mengangkat motosikal yang jatuh.

Seketika Haziq hilang dari pandangan mata Azyan. Azyan terpaku. Rasa terawang-awang dengan pujian Haziq tadi. Dia kata aku comel… yes! Aku dah jumpa! Aku dah jumpa bakal permaisuri hatiku!

Apa pulak permaisuri hati kau, Cik Nur Azyan oiii! Lelaki mana boleh jadi permaisuri. Raja yang bertakhta di hatiku, barulah betul.

Azyan tersenyum-senyum sampai lupa air Coke yang dituang sudah berbuih-buih keluar dari gelasnya.

Salwa geleng kepala. Berangan teman seorang ni. Dia ketuk perlahan kepala Azyan.

"Adei! Kau nak kena belasah dengan aku ke Wawa?" gerutu Azyan.

"Kau tu berangan sampai ke planet mana? Tengok air kau dah tumpah atas meja ni," desis Salwa.

Azyan tersentak. Cepat-cepat dia berhenti dari menuang. Dia tarik nafas panjang.

"Kau berangankan Haziq lagi, ya?"

"Sibuklah kau ni Wawa."

"Yan…Yan…."

Salwa mencuit-cuit bahu Azyan.

"Apa lagi ni?"

"Abang Zuan kau and the geng."

"Lantak pi dengan dialah. Abang Zuan memang ‘penduduk tetap’ (selalu lepak) kat kedai mamak corner ni. Kau nak hairan apanya?"

"Yang aku hairan sebab mamat tadi tu ada dengan abang kau sekalilah."

Salwa tudingkan jari ke arah Azuan dan geng-gengnya.

Lantas Azyan berpaling. Memang betul kata Salwa. Mamat tadi tu satu kumpulan dengan abangnya, Azuan. Azyan hentak tangan atas meja. Dia bingkas bangun, tak puas hati! Bukan dengan mamat tu, tapi dengan abangnya. Kebelakangan ini Azuan tidak lagi ajak dia main bola bersama.

"Yan…."

Salwa menurut langkah Azyan merapati meja Azuan and the geng.

"Ehem… ehem!" Azyan berdehem.

Azuan yang asyik berborak angkat kepala. Dia buat muka poyo. Adik kesayangannya pun ada minum di sini jugak. Dia pandang Salwa di sebelah Azyan.

Salwa tersengih sambil jongket bahu.

"Ya… ada apa yang abang boleh bantu adik kesayanganku?" soal Azuan.

Azyan mencebik. "Jangan buat-buat tidak tahu, ye."

Azyan menunjukkan kepalanya.

Azuan menjuihkan bibirnya. "Ala... kena sikit aje tu. Kepala Yan kan keras? Takde hal, kan?"

Mamat tadi tu hanya membisu sambil mencekik mi goreng yang telah terhidang di atas meja. Malas nak ambil port dalam perbualan adik-beradik tu. Tak sangka pulak jumpa minah cun ni lagi. Dan lebih tak disangka-sangka, minah tu adik Azuan.

"Orang main bola tuju tiang gol, bukan tuju kepala orang. Reti ke tak reti main bola ni? Kalau tak reti, Yan boleh ajarkan. Nak skill siapa? Kaka? Ronaldo? Lampard?" perli Azyan.

Mamat tu senyap aje. Ligat menyuap mi gorengnya.

"Yan bukan main bola tapi hentak kaki orang. Itu sebab abang tak ajak Yan main bola dengan abang lagi dah. Abang boleh kira berapa orang member abang yang kakinya lebam Yan tackle."

Mamat itu masih senyap sambil meneruskan suapan.

Teman-teman Azuan ketawa. Kenal sangat mereka dengan adik Azuan ni. Comel tapi ganas. Nak mengurat kena fikir seratus kali!

"Argh! Siapa suruh dia orang kawal Yan ketat-ketat? Salah dioranglah, bukan salah Yan tau!" protes Azyan.

"Memang dah sahlah ni," celah mamat tadi yang dok mencekik mi goreng.

Dia angkat kepala. Lebar senyuman di bibirnya. Mi goreng satu pinggan dah habis dia pulun (makan) kasi licin. Lapar lepas main tadi.

Tak berkerdip mata Azyan melihat pemuda itu. Betul kata Salwa yang mamat ni ada stail ala-ala Korea Jepun. Kacak jugak tu. Apa ni, Yan? Kau nak menduakan Haziq ke? Azyan cepat-cepat membuang anasir yang ingin meracuni fikirannya. Haziq tetap yang terbaik. Hanya Haziq yang bertakhta di hati.

"Apa yang sahnya, Syakir?" soal Azuan.

Ooo… mamat ni namanya Syakir. Aik! Macam pernah kudengar namanya ini. Tapi di mana ya? Azyan garu kepalanya. Seketika… dia bulatkan biji matanya. Alamak! Syakir yang tu ke?

Mereka saling bertentangan mata.

Azuan kerutkan dahi, begitu jugak dengan budak-budak yang lain. Apa hal pulak ni? Syakir dan Azyan saling mengenalikah?

"Cicak kobeng!" Azyan bersuara lantang.

Azuan dan yang lain-lain tersentak.

Syakir genggam penumbuk. Dunia ini memang kecil. Patutlah muka awek cun ni familiar semacam. Hampir dia tidak kenali kerana imej awek ni dah banyak berubah.

"Gorilla, tak sangka kau dah banyak berubah ye. Patutlah aku tak berapa cam masa mula-mula jumpa kau tadi." Syakir tersengih.

Senyuman yang paling menyampah untuk dijadikan tatapan.

"Apa kau peduli cicak kobeng? Itu aku punya pasallah!"

"Elok kita dah berjumpa ni maka aku akan menuntut balik barang yang kau dah curi dari aku dulu. Setahun aku menunggu untuk bertentang dua mata dengan kau, tau! Kita memang ada jodoh," kata Syakir. Terangkat-angkat keningnya.

Azyan cebikkan bibir. Ada jodoh? Sorrylah Encik Muhammad Syakir bin Ilyas oiii! Hatiku sudah berpunya. Lagi satu, aku tidak pernah mencuri barang milik kau. Sedap-sedap hati aje tuduh aku curi barang dia.

Dasar cicak kobeng! Hidup lagi rupa-rupanya. Ingatkan dan melingkup (hilang) entah ke mana lepas STPM. Tak pun dah meninggal dunia!

Cik Nur Azyan… tak baik cakap begitu. Ya Allah! Jahatnya mulut aku ni.

"Hey! Aku tak pernah curi apa-apa dari kau, tau! Kau ingat aku kebulur nak ambik barang berharga kau tu! Ayah aku berduit, tau! Dia tak ajar aku mencuri! Porahhhh!"

Dengan cicak kobeng ni, Azyan memang tak pernah cakap elok-elok. Hentam sama menghentam! Pastinya cicak kobeng ini satu kolej dengan abang-abang aku termasuklah dengan aku sekali. Parah!

"Kau kenal dengan adik aku ni ke, Syakir?" Azuan mencelah.

Agaknya Syakirlah yang selalu Azyan cerita masa Azyan sekolah menengah dulu. Kalau bercerita tak pernah yang baik-baik. Asyik mengutuk aje kerjanya.

Itu sudah pasti. Kalau dah benci, mana ada main puji-puji, kan?

"Lebih dari kenal. Musuh tradisi masa aku form six dulu," balas Syakir.

"La… kau ke Syakir? Makin handsome kau ye. Dulu kat sekolah kau selekeh aje. Selalu buat hal dengan Azyan. Budak paling nakal katakan." Salwa menyampuk pula.

Banyak perubahan dilihat pada Syakir. Dulu kurus melidi sekarang dah agak tough. Handsomenya….

"Excuse me. Aku ni budak nakal terhormat, tau. Nakal-nakal aku tetap number one dalam carta sekolah. Mana gorilla tu boleh challenge," balas Syakir. Dia menjeling Azyan dengan ekor matanya.

Seram sejuk Azyan. Jelingan yang boleh menegakkan bulu roma Azyan.

"Yan… tak perlulah kau susah-susah nak cari jejaka tampan lagi gagah. Depan mata kau dah ada ni, ha. Syakir ni ada ciri-ciri yang kau inginkan. Budak pintar ni." Azuan menepuk-nepuk bahu Syakir.

Uwek! Nak muntah aku. Geli geleman bila difikirkan aku dipadankan dengan Si Syakir ini. Dulu aku ada jugak menaruh hati pada Syakir, tapi bila dah tahu siapa Syakir tu, minta maaflah! Syakir lelaki yang berbahaya. Kalau boleh aku mahu menjauhkan diri dari Syakir. Argh! Mengapakah aku harus dipertemukan dengan Syakir semula?! Azyan menjerit-jerit di dalam hati.

Lelaki inilah yang paling aku nak elakkan!

Coke And Sundae 3

BAB 3

AZYAN ketap bibir melihatkan skuter kesayangan dihimpit oleh sebuah motosikal berkuasa tinggi. Cagiva pulak tu. Tahu sangat dia milik siapakah motosikal besar yang megah sangat menghimpit skuternya. Milik Muhammad Syakir bin Ilyas. Pelajar senior terhangat di pasaran. Hangat sangatlah tu konon!

Amboi mamat ni! Siap ada sticker Chelsea FC pada motosikal dia.

Kalau korang nak tahu, aku ni peminat sejati Chelsea FC. Kelab kegemaran aku tu! Aku paling anti dengan kelab Manchester United. Berlagak bagus, konon. Entah apa yang menarik sangat dengan Christiano Ronaldo tu? Rambut macam burung belatuk! Sekarang dah masuk kelab Real Madrid pulak. Konon-konon dia pemain yang bagus sangatlah tu. Apa taknya, dia pemain termahal yang dijual oleh Manchester United.

Tapi kalau kelab liga Sepanyol... aku sokong Barcelona, beb. Lionel Messi terror tackle bola kat padang.

Si cicak kobeng ni… apa yang aku minat, itulah juga yang dia minat. Hairan benor (benar) aku dibuatnya.

Tapi ada ura-ura yang aku dengar dulu dia penyokong kelab Manchester United. Patutlah aku tak boleh ngam dengan dia sebab awal-awal lagi memang dia tu ‘musuh’ aku. Beralih anginlah tu.

Azyan mengenakan helmetnya. Bukan helmet yang bentuk kura-kura tu, tau. Dia ni jenis yang ikut peraturan kerajaan. Bukannya apa, Tuan Mejar Idris siap bagi ‘pesanan penaja’ setiap kali dia keluar rumah dengan menaiki skuter.

"Yan… bawa skuter tu elok-elok. Ikut peraturan jalan raya. Kau kalau jadi minah rempit ayah rempit kau sekali. Jangan sesekali kau cuba merempit, Yan. Nahas Yan ayah kerjakan nanti. Ingat, Yan. Pandu cermat jiwa pun selamat."

Itu ‘pesanan penaja’ daripada Tuan Mejar Idris buat anak dara tersayang setiap hari.

Naik boring telinga Azyan mendengarnya. Kalau tak dengar nasihat pulak, berbalau merah satu badan. Tak pun kena tekan tubi dua ratus kali. Boleh pengsan dibuatnya!

Apa tidaknya, Tuan Mejar Idris hampir pitam bila anak daranya ini pernah ditahan polis kerana turut serta dalam kumpulan mat rempit.

Ala… bukan sengaja nak merempit dengan budak-budak motor tu. Kebetulan saja terjoin group dia orang masa itu. Apa lagi, rempitlah sekali.

Alih-alih kantoi dengan Tok Janggut. Nasib baik kenal dengan Tok Janggut. Takdelah kena tahan kat lokap. Itu pun setelah dikasi sedikit ceramah dan bebelan daripada Tuan Mejar Idris.

Balik rumah memang dah sah-sah kena rotan. Sapu minyak gamat kat belakang badan. Kalau diingatkan balik insiden ni, mesti Azyan ketawa sendiri.

"Mana pulak melaun (malaun) ni? Aku tengah kelaparan ni," desis Azyan.

Ala… bukan Azyan tak larat nak tolak motosikal besar Si Syakir ni. Dia cuma malas nak menghabiskan tenaga. Perut tengah lapar. Malas nak isi perut kat Kak Min CafĂ©. Menu tak best! Bazir duit aje. Ayah pun dah masak kat rumah. Lagi sedap.

Dua jam kemudian, muka Azyan dah berasap. Muka mamat tu masih tidak muncul-muncul lagi. Azyan dengan selamba menendang motosikal besar Syakir. Berkali-kali dia tendang motosikal Syakir, melepaskan geram. Tak dapat tuan, motosikal pun jadilah!

"Kemik sikit kau ganti!"

Kedengaran suara Syakir dari jauh.

Azyan bercekak pinggang. "Aku tak nak ganti!"

"Motosikal ni mahal, tau. Hadiah birthday dari abah aku. Aku sayang dia macam isteri aku sendiri. Macam aku sayang kat aku jugaklah!" kata Syakir sambil mengusap-usap motosikalnya.

"Uwek! Gelinya aku!"

"Aik! Belum nikah dah berisi (mengandung). Cepatnya kau, Yan."

"Cakap baik-baik sikit cicak kobeng. Aku bagi sebijik nanti!" Azyan kepal penumbuknya.

Syakir ketawa. "Kau bagi, aku ambik aje."

Azyan tidak banyak berubahnya. Kasar! Dia saja yang berani menyakat dan bergurau dengan anak gadis itu.

"Loyar buruk kau ye. Ei, kenapalah aku dipertemukan dengan kau lagi? Macam takde muka lain kat dunia ni."

"Apa salahnya? Aku ni lagi handsome dari buah hati pengarang jantung kau tu. Macamlah aku tak tahu kau tengah nak mengurat Haziq, budak dari fakulti kejuruteraan tu. Dari kau mengurat dia, baik kau mengurat aku."

Makin giat Syakir mengusik Azyan.

"Jangan menyibuk hal luar dan dalam kain orang! Itu aku punya sukalah. Kau patut jaga aje luar dan dalam kain kau tu!"

"Aku tak pakai kainlah, Yan. Aku pakai seluar."

Syakir ketawa besar.

Azyan mencebik. Kurang asam punya lelaki. "Lawak kau tak kelakarlah!"

"Aku tak cakap lawak aku kelakar. Yan… tak boleh ke kita berdamai sekejap? Aku belanja kau sundae. Kau nak tak?"

Syakir sudah mengalihkan motosikalnya. Saja dia menghimpit skuter Azyan. Bukan ada apa-apa niat pun. Dia cuma ingin melengahkan Azyan daripada terus pulang ke rumah.

"Aiyer… aku tak suka sundae la. Manis. Kau memang sengaja nak kenakan aku ke?"

"Sundae lebih sedap dari Coke, apa. Coke tu tak elok minum selalu, Yan. Bahaya untuk kesihatan."

"Lantak akulah! Dah Coke tu minuman kegemaran aku. Dahlah! Bertekak dengan kau ni buang masa aku aje. Aku nak blah. Lapar ni. Nak balik rumah makan nasi."

Azyan sudah bertenggek di atas skuternya. Masa untuk beredar setelah berjam-jam memanaskan punggung dalam dewan kuliah.

"Aku join sekali, boleh?"

"Kau nampak ni?" Azyan tunjukkan penumbuknya.

"Eee... takutnya…." Syakir mengacah.

Bertambah-tambah kerut muka Azyan. Aku debik jugak mamat ni nanti. Makin dilayan, makin dia loyar buruk!

"Syakir! Syakir! Tunggu kejap!"

Terkocoh-kocoh Haziq berlari mendapatkan Syakir yang masih berada di tempat parkir motosikal.

Kehadiran Haziq disambut dengan senyuman manis di bibir Azyan.

Senyuman berbalas senyuman.

Syakir jadi pemerhati. Bila masa pulak Azyan jadi perempuan yang menggeletis? Tidak seperti Azyan yang dikenalinya sebelum ini. Azyan yang serius ke hulur ke hilir dengan buku.

"Baru balik, Yan?" soal Haziq lembut.

"Haah. Awak kenal dia ni ke?" tanya Azyan sambil menudingkan jarinya pada Syakir.

"Kenal sangat! Aku abang sepupu dialah." Syakir menjawab bagi pihak Haziq.

Berubah air muka Azyan. Biar betul! Ah, sudah! Habis aku kalau gini.

"Ya… Syakir ni abang sepupu saya. Awak kenal dia ye?"

Perlahan-lahan Azyan anggukkan kepala.

Syakir tersengih. Dia memang dah tahu Azyan minat pada Haziq, sepupunya itu.

Haziq ada bercerita tentang seorang pelajar junior yang menjadi sebutan di kolej. Seorang gadis comel yang sering menjadi perhatian pelajar-pelajar lelaki sebab kecomelannya.

Bila Syakir selidik, gadis itu adalah Azyan. Gadis yang begitu memusuhinya ketika di sekolah menengah dulu. Gadis yang selalu buat Syakir menjadi bengang. Naif sangat dan slow dalam menggunakan otak walaupun dia seorang gadis pintar.

"Agaknya dia gadis yang abang sukakan dulu, tak?" tukas Haziq.

Tajam dia meneliti wajah Azyan. Rasa-rasanya bukan kut. Gadis dalam gambar yang Syakir tunjukkan pada dia nampak berbeza sekali. Gadis dalam gambar itu tampak garang dan tegas.

"Kau merepek apa, Ziq? Bukan dia nilah! Gadis yang abang minat tu lagi cantik dari dia," gerutu Syakir.

Azyan mencebik. Macam aku tak tahu siapa yang kau maksudkan tu, Syakir. Aku tahulah Emelda tu lebih cun dari aku. Si gedik tu memang jadi pujaan hati kau dari sekolah dulu. Kau selalu bezakan aku dengan dia, kan? Bila aku dah cantik gini kau mulalah jealous pulak!

"Ya… kau memang salah orang, Ziq. Kami kenal gitu-gitu aje masa sekolah dulu."

Azyan mengiakan. Dia pura-pura ketawa. Control Azyan… control… jangan sampai terkantoi dengan Haziq. Mati kau kalau Haziq tahu siapakah diri kau dulu. Dari data yang diperolehi oleh Salwa, Haziq tidak suka perempuan yang ganas-ganas.

"Ya… kenal gitu-gitu aje." Syakir sudah buat senyuman berbahayanya.

Azyan benci sangat dengan senyuman itu. Ni mesti ada agenda tersembunyi yang dirancang dek cicak kobeng bermulut cabul tu. Ini tidak boleh jadi! Syakir pasti akan menggunakan peluang yang ada untuk mengugutnya. Azyan perlu buat persediaan.

"Saya balik dululah ye. Bye, bye."

Azyan start skuter kesayangannya cepat-cepat. Lama melayan nanti susah pulak kalau tersilap cakap.

"Bye, bye."

Haziq melambaikan tangan pada Azyan. Siap dengan senyuman yang memukau hati Azyan lagi tu.

Timbul lagi simbol love pada mata Azyan. Tak boleh tahan dengan senyuman Haziq tu. Lenalah malam ini tidur Azyan yang sedang dipanah beribu-ribu panahan cinta.

"Kau minat pada dia ke Ziq?" tanya Syakir.

Dia mencuit bahu Haziq.

"Emmm…. sukalah jugak. Tapi takut nak dekat dengan dia. Aku dengan dia macam langit dengan bumi aje. Abang pun tahu Haziq gemuruh sikit dengan perempuan ni. Lebih-lebih lagi dengan gadis comel macam dia."

"Ooo…." Syakir mengusap-usap dagunya yang licin. "Kau lapang tak?"

"Kenapa?"

"Temankan aku ke kedai CD kejap. Nanti aku belanja kau sundae."

"Sundae lagi…."

Macamlah aku ni kanak-kanak Ribena, keluh hati Haziq.



TERMENGAH-MENGAH Syakir berlari menuju ke pintu pagar. Sesak nafas dia dibuatnya. Boleh pulak motornya buat hal di pertengahan jalan. Sudahlah dia bangun lambat pada hari pertama persekolahan. Tali kasut pun tak sempat nak ikat dah.

Hari ini dia berlari mengalahkan orang yang bertanding di balapan. Apa tidaknya, anjing Mr. Chan mengejar dia dari belakang. Entah apa halnya pulak anjing sewel tu naik angin hari ini? Entah-entah anjing Mr. Chan tu tak dapat mengurat anjing betina cun di sebelah rumahnya tu. Ala… anjing betina tu pun perasan lawa sebenarnya. Setakat bulu ciput gitu dah nak berlagak.

Alamak, pintu pagar dah tutup! Syakir melihat jam di tangan. Dia sudah terlewat sepuluh minit. Mata pelajaran pertama pastinya sudah pun bermula. Apa lagi, Syakir brek mengejut.

"Kenapa awak lambat?!"

Tengkingan seorang pengawas depan matanya itu buat Syakir terkejut beruk. Amboi! Garang nak mampus! Cubalah tanya elok-elok. Ini main tengking-tengking orang aje! Woi! Aku budak baru la dan awak tu pulak seorang perempuan. Tak manis berbahasa kasar. Muka saja nampak lemah lembut. Dahlah tocang tinggi macam ekor kuda!

"Kenapa tak jawab soalan saya tadi?"

Syakir tersentak. Kemain (bukan main) garang pengawas di depannya ini. Muka pun serius habis.

Pengawas lelaki di sebelahnya relaks saja.

"Siapa nama awak?"

"Muhammad Syakir."

"Nama penuh! Takkan tak ada nama bapak di belakang. Habis tu, siapa pulak yang kasi nama awak tu kalau bukan mak bapak awak!" leter gadis itu dengan suara yang tetap meninggi.

Syakir sempat menjeling pada tag nama yang tersemat di baju gadis itu. Nur Azyan… sedap nama dia tu. Tapi… orangnya garang mengalahkan singa jantan time mengawan!

"Awak pekak ke? Saya tanya siapa nama penuh awak?!"

"Dekat tag nama awak tu takde pun nama bapak awak?" Syakir menjawab.

"Berani awak menjawab ye. Saya ulang sekali lagi! Siapa nama penuh awak? Itu pun kalau awak tak nak jalan itik round satu kawasan sekolah ni!"

Main ugut nampak....

"Nama saya Muhammad Syakir bin Ilyas. Puas hati?"

Gadis itu mencatatkan sesuatu pada buku notanya. "Kelas awak?"

"Saya tak tahu lagi."

Gadis itu mengangkat kepalanya yang asyik menunduk tadi.

Nyaris terburai ketawa Syakir apabila melihat wajah gadis di depan matanya itu. Ingatkan cun tadi. Rupa-rupanya tidak. Patutlah asyik menunduk saja.

"Macam mana awak boleh tak tahu kelas awak pulak?"

Kelihatan berbaris pendakap gigi di dalam mulut pengawas perempuan yang garang itu.

Cepat-cepat Syakir menekup mulut. Gadis ini lebih dahsyat daripada Ugly Betty.

"Saya budak baru. Hari ini hari pertama saya di sini. So, manalah saya tahu kelas saya lagi," balas Syakir selamba.

"Hmmm…." Gadis itu mendengus kecil. "Zam… kau bawa budak baru nak belajar ni jumpa pengetua."

"Okey."

Barulah pengawas seorang tu nak bersuara. Ingatkan bisu tadi.

"First day dah lewat. Ingat, jangan lewat lagi selepas ini. Pagar sekolah tutup tepat pukul tujuh setengah pagi. Seminit pun tidak boleh terlewat." Dia berleter lagi.

Syakir angkat kening. Bengang betul dengan minah ni. Berlagak!

"Dia ketua pengawas sekolah. Dia tu memang tegas. Lebih baik jangan lawan kata-kata dia, kalau nak selamat la." Pengawas bernama Zam itu memberitahu.

"Patutlah…."

Ketua pengawas rupa-rupanya. Tengok mamat ni pun macam okey aje dengan minah tu tadi. Dah biasa agaknya.

Usai melaporkan diri kepada pengetua, seorang guru perempuan menunjukkan kelasnya. Dalam perjalanan ke kelasnya, Syakir terserempak lagi dengan gadis yang menahan dia di pintu pagar tadi. Gadis itu kelihatan sedang mendenda dua orang pelajar di luar kelas.

Nampak kecut wajah kedua-dua pelajar terbabit.

Guru perempuan itu merapati Azyan. Nak tak nak Syakir pun terpaksa mengekori langkah guru perempuan itu.

"Selamat pagi, cikgu," tegur Azyan apabila menyedari guru perempuan itu menghampirinya.

"Selamat pagi, Azyan. Awak lapang tak lepas waktu sekolah nanti?"

"Lapang. Kenapa cikgu?"

"Cikgu nak adakan mesyuarat untuk pasukan bola tampar kita petang ini. Awak maklumkan pada ahli yang lain nanti ya."

"Baik, cikgu."

Syakir menundukkan kepala sambil terus membuntuti cikgu tersebut. Buat masa ini dia tidak mahu bertentangan muka dengan gadis itu. Hilang terus mood!

Itulah cerita perkenalan pertama Syakir dengan Azyan. Pertemuan seterusnya menghangatkan lagi perkelahian di antara mereka.

Syakir tersenyum sendiri bila teringat cerita semasa dia sekolah menengah dulu.

Coke dan sundae tak boleh bercampur ke? soalnya sendiri di dalam hati.

"Along, kalau adik ngurat Kak Yan… macam mana? Adik dah kamceng dengan dia, tau!"

Adiknya Syamil muncul mengejut di depan pintu bilik.

Kus semangat! Nasib baik tak ada lemah jantung. Kalau tidak, mahu kojol dia kena sergah. Budak seorang ni kalau muncul bukan nak bagi salam dulu.

"Ngurat la. Macam mana tuisyen adik dengan dia?"

Syakir bingkas bangun dari katil. Dia menanggalkan t-shirt yang dipakai lalu dilontarkan ke dalam bakul pakaian.

"Buat permulaan ini, okey. Dia tak tahu siapa adik lagi. Kenapa along nak adik masuk kelas tuisyen Kak Yan? Adik kan dah pandai macam along. Along nak adik intip dia ye." Syamil menggoyang-goyangkan jari telunjuknya.

"Buat ajelah apa yang along suruh. Itu pun kalau adik nak along belikan adik PS3."

Syakir kenal sangat dengan perangai Syamil. Buat kerja mesti ada upahnya.

"Nak, nak!"

Mata Syamil sudah terbayang-bayangkan permainan kesukaannya itu. Setakat ini Syakir sudah membelikan dia PS2 dan PSP. Dapat PS3 nanti boleh dia menunjuk pada kawan-kawannya nanti. Ha ha ha!

"So, apa perkembangan intipan adik setakat ni?"

Syamil laju melangkah masuk ke dalam bilik Syakir. Dia terus duduk di sisi abangnya itu. "Kak Yan yang along panggil gorilla tu sekarang nak jadi lebih feminin. Nak jadi lemah lembut dan penuh kesusilaan. Betul ke dia dulu lebih maskulin dari lelaki, along? Macam tak percaya aje…."

Syamil menongkat dagu. Dia tengok Azyan itu memang comel. Masa mengajar pun lemah lembut aje. Tak pernah garang pun. Saja aje kut Syakir mahu kelentong dia. Siapa yang tak mahu mengurat orang comel macam Azyan. Dia pun boleh jatuh hati. Nasib baik dia budak sekolah baru belajar.

"Feminin…."

Syakir terdiam seketika. Kemudian dia pecah ketawa. "Patutlah pun dia nampak lain sangat sekarang ni."

Syakir tepuk dahi. Tak terfikir pulak dia.

"Amboi! Meriahnya ketawa."

"Adik mesti tak percaya kalau along cakap. Sekejap ye."

Syakir bingkas menyelongkar laci almari bajunya. Sekeping gambar dikeluarkan lalu dihulurkan kepada Syamil.

"Gambar siapa ni?"

"Tengoklah betul-betul."

"Biar betul."

"Betullah, apa yang tak betulnya?"

"Impossible."

"Possible…."

"I don’t believe it. Betul ke ni gambar Kak Yan? Mana along cilok (ambil) ni?"

Terkebil-kebil mata Syamil melihat gambar tersebut. "Biar betul ni…."

"Betullah!" Syakir mengiakan.



KITA lihat pulak cerita yang di sebelah sini. Muncung sedepa Azyan di meja makan. Mulutnya terkumat-kamit membebel.

Encik Idris hanya diam sambil menyuap nasi di pinggan. Matanya tetap tajam merenung ketiga-tiga orang anaknya. Ada saja yang buat pasal. Sudah tahu Azyan jenis degil dan panas baran, masih juga mahu diusik.

"Depan rezeki tak baik masam muka, Yan," tegur Encik Idris. Dia jeling Anuar yang buat muka tak bersalah.

Anuar yang paling kuat menyakat Azyan. Tetapi, Anuar jugak yang banyak mengajar adiknya itu jadi lebih gagah daripada lelaki.

Segala-galanya bermula bila suatu hari Azyan balik dalam keadaan yang comot dan kusut-masai ketika di tadika dulu. Bila ditanya, Azyan hanya diam.

Azuan dan Anuar pergilah mengintip. Rupa-rupanya ada sekumpulan budak lelaki membuli Azyan. Peliknya Azyan sedikit pun tidak menangis atau melawan balik. Diam saja menurut kehendak budak-budak tersebut.

Bila Azyan balik rumah, Azuan dan Anuar paksa Azyan bercakap. Si adik pun ceritalah dari A hingga Z.

Anuar naik berang. Dia turunkan ilmu yang konon-kononnya tersimpan di dada. Tak sedar yang awak tu pun budak kecik jugak masa tu. Ajar si adik agar tahu mempertahankan diri dari dibuli.

Daripada seorang budak perempuan yang hanya duduk diam dan tidak bersuara banyak, Azyan telah bertukar menjadi budak perempuan yang terlebih aktif. Habis dikerjakan budak-budak lelaki yang membulinya. Malah ada yang bawa mak bapak jumpa ayah mereka.

Tiga-tiga kena balun (pukul) dengan rotan Tuan Mejar. Sejak itu Azyan nak jadi gagah macam abang-abangnya.

Ayah pula tidak menghalang si anak perempuan jadi kuat. Lagi lasak, lagi bagus! Kena denda pun setara dengan dua abangnya. Tak perlu susah sangat lagi nak menjaga si anak gadis seorang itu. Sebab orang kata jaga anak gadis ni macam jaga sekandang lembu.

Itu kisah asal usul Azyan menjadi lebih kuat dan gagah macam lelaki.

"Macam mana boleh salah target, Yan?" soal si ayah bila si anak gadis masih dok senyap. Nasi dalam pinggan tak terkuis sedikit pun.

"Siapa suruh mamat sengal tu lalu depan rumah kita? Lagipun bukan Yan sengaja nak baling pasu bunga tu kat kepala dia. Abang Nuar yang mengelak." Azyan buka mulut menjawab.

"Kalau abang tak elak, kena kepala abanglah. Kesian anak Mak Timah Radio. Satu kepala berbalut. Macam kepala mumia dah," sampuk Anuar.

"Padan muka dengan dia jugak! Yan memang nak belasah dia pun sebab suka sangat report kat mak dia yang mulut mengalahkan radio tu. Ada hati nak Yan jadi awek dia konon…."

"Yan!"

Encik Idris jegilkan biji mata. Tak sudah-sudah marahnya pada Si Fadhil tu. Dah tahu budak tu sewel sikit, dilayan jugak. Salah siapa? "Esok pergi tengok anak teruna Mak Timah Radio tu kat hospital. Minta maaf kat dia."

"Buat apa? Mengabiskan minyak skuter Yan aje. Bukannya koma kat ICU pun. Mengada-adalah mamat sewel tu!" Azyan membantah.

"Yan…."

Encik Idris keraskan suaranya sedikit. Azyan ni, ada saja jawapan yang diberikan.

"Ala… pergilah. Bukan luak pun. Mamat tu bila tengok muka kau kuranglah sakit dia tu. Bukan kau tak tahu Mak Timah Radio pun berkenan sangat nak jadikan kau tu menantu dia." Menyampuk lagi abang yang seorang ni.

"Yan debik abang nanti!" Azyan sudah lipat lengan kemejanya hingga ke paras siku.

"Yan…."

Si ayah menjeling lagi.

Azyan turunkan balik lengan kemejanya.

"Nuar pun pergi sekali dengan Yan. Dua-dua pergi minta maaf dengan Fadhil. Jangan lupa bawa buah tangan sekali. Ini arahan. Sebarang bantahan atau surat-menyurat tidak akan dilayan. Muktamad!!!!"

Ayah bangkit membawa pinggan ke singki.

"Hmmm...."

Makin panjang muncung mulut Azyan. Dia memang menyampah kalau menghadap muka Fadhil yang selalu tersengih macam kerang busuk. Dah la masa kecil dulu hingus selalu meleleh kat hidung. Eee… gelilah!

"Buruk betul mulut muncung-muncung gitu. Tak cun dah. Kalau mamat tu tengok, mesti dia reject Yan jadi awek dia."

Azuan yang baru menghabiskan dua kali tambahan nasi dalam pinggan memberikan komen. Kelaparan sangatlah tu. Tak padan dengan badan yang kurus melidi.

"Eh! Kau tahu ke siapa mamat malang yang bakal jadi adik ipar kita tu?"

Anuar segera merapati Azuan. Cerita panas ni! Tak patut dilepaskan.

"Tahu sesangat."

"Abang jangan nak cari pasal dengan Yan pulak!"

Lengan kemeja yang dilurutkan tadi naik semula ke pangkal siku. Melotot mata Azyan memandang kedua-dua abangnya itu. Auranya sudah makin menghampiri Azuan dan Anuar.

"Ayah! Yan jadi gorilla lagi!" jerit Azuan dan Anuar sebelum mereka dikerjakan oleh adik tersayang.

Leher Azuan dan Anuar sudah dipaut oleh Azyan.

Si ayah bercekak pinggang di depan mereka.

Azuan dan Anuar sudah berpeluh satu badan. Tahu dah, mesti kena denda lagi.

"Tiga-tiga tekan tubi seratus kali!" Perintah Tuan Mejar Idris.

Dan ketiga-tiganya menganggukkan kepala, menurut perintah.