Posted on 11:46 AM
Boleh ke Coke dan sundae bercampur? Apa rasanya ye? Sedap ke? Boleh telan ke? Itulah yang terjadi apabila Azyan bertemu dengan Syakir.
Mereka berdua tak ubah seperti anjing dan kucing. Pantang bersua, pasti mereka akan berperang mulut. Cuma tak angkat senapang aje.
Azyan mendambakan seorang kekasih yang lebih gagah daripada pujaan hatinya, The Rock. Sementelah dia merupakan juara tae kwan do peringkat sekolah dan daerah. Tambahan pula, dengan didikan ala-ala tentera daripada ayahnya, Mejar Idris, Azyan merupakan seorang gadis yang tough dan maskulin. Tentulah dia mahukan seorang pria yang gagah perkasa, laksana pahlawan zaman dahulukala. Azyan dalam diam-diam menaruh hati terhadap Haziq, sepupu musuhnya, Syakir. Dia pernah melayangkan surat cinta buat Haziq tetapi tersalah ‘landing’ kepada Syakir pula. Dan itulah modal utama yang Syakir gunakan untuk memaksa Azyan menyertai kelab teaternya.
Syakir telah lama jatuh hati pada Azyan. Malangnya dia bukanlah mat jiwang karat. Dia sendiri geli untuk mengucapkan perkataan ‘I love you’ mahupun ‘sayang’ kepada Azyan. Satu sahaja caranya menarik perhatian Azyan: melalui kata-katanya yang pedas lagi berbisa.
Yang Azyan pula, slow nauzubillah! Dah banyak kali Syakir bagi hint, dia langsung tak perasan. Sedangkan semua orang tahu yang Syakir ada hati pada Azyan.
Bila agaknya Azyan yang gemarkan air Coke boleh ngam dengan Syakir yang sukakan aiskrim sundae?
Sebuah kisah cinta kelakar yang rugi jika tidak dimiliki!
Posted on 11:44 AM
BAB 1
RAMBUTNYA bertocang tinggi, bak ekor kuda. Bercermin mata berbingkai tebal hitam. Bila buka mulut jelas kelihatan pendakap gigi yang dipakai.
Dari segi berpakaian pula entah fesyen mana yang diikutnya. Berseluar jeans dengan kemeja lengan panjang yang dibutang hingga ke pangkal leher.
Tiada lelaki yang mahu dekat dengan gadis sepertinya. Namun dia langsung tidak kisah. Lagipun ayah dan dua abangnya tetap memuji dia cantik dan comel dengan gaya sedemikian. Pujian dari ayah sudah cukup buat Azyan.
Apa yang penting dalam hidupnya adalah belajar. Belajar! Belajar! Dan belajar! Itu moto hidupnya. Azyan tidak kisah soal cinta-cinta ini. Menyusahkan sahaja!
Itu belum tengok lagi ayah Azyan, Encik Idris yang misainya melentik macam misai Laksamana Pa So La dalam cerita Do Re Mi. Tetapi ada juga yang menyatakan misai Encik Idris lebih mirip kepada watak Sharif Dol dalam cerita Musang Berjanggut.
Entahlah… tidak tahu yang mana lebih tepat. Azyan sendiri tidak dapat memberikan kepastian perihal misai lentik ayahnya itu.
Tengok muka Encik Idris dari jauh sahaja, budak-budak sudah lari menyorokkan diri. Memang sah! Encik Idris memang ada aura yang menakutkan....
Sejak isterinya meninggal dunia, Encik Idris yang mengasuh ketiga-tiga anaknya dari kecil. Mengasuh anak-anak dengan disiplin cara tentera. Tegas dan padat dengan peraturan.
Azyan tidak kisah dengan didikan ketat ayahnya. Itu sebab Azyan juga ada aura yang menakutkan persis si ayah. Aura itu menyebabkan Azyan menjadi juara dalam tae kwan do di peringkat sekolah dan di peringkat daerah. Siapa boleh lawan dia. Lelaki pun tertewas. Betapa gagahnya anak perempuan tunggal Encik Idris ini!
Itu cerita Azyan sepuluh tahun yang lepas. Kini kita buka cerita Azyan sepuluh tahun ke depan.
Sepanjang hidup dua puluh tahun ini, Azyan tidak pernah merasai kegembiraan seperti gadis-gadis lain. Kerana itulah Azyan bertekad ingin mengubah dirinya menjadi seorang gadis ayu yang penuh kesopanan dan kesusilaan setelah umurnya genap dua puluh tahun meskipun diketawakan oleh dua orang abangnya.
Azuan dan Anuar memang suka Azyan sama seperti mereka. Kasar dan ganas, persis pahlawan zaman dahulu.
Azyan tidak mahu orang mengatakan dia adalah gadis yang lebih gagah dan maskulin daripada lelaki dengan gelaran ‘She’s The Man’.
"Saya, Nur Azyan binti Idris. Berusia dua puluh tahun. Jantina... mestilah perempuan, takkan lelaki kut. Sebelum ini berperwatakan maskulin dan gagah. Bakat yang dimiliki tentulah ilmu mempertahankan diri! Hobi… menonton wrestling atau singkatannya WWE. Tentulah pujaan hatiku adalah The Rock is cooking! He he he... The Rock gagah dan handsome apa. Tapi selepas ini saya akan menjadi gadis yang lebih feminin dan disukai ramai. Kekuatan dan kegagahan tiada lagi dalam kamus hidup saya. Heh heh heh…."
Azyan berbicara sendiri. Dia membelek-belek wajahnya di depan cermin. Dia tersenyum, bangga sekali dengan perubahan pada dirinya itu. Barulah nampak feminin.
Azuan sudah ketawa mengekek melihat gelagat adik perempuannya itu. Ketawa sampai bergolek-golek, gitu.
"Ada yang kena belasah nanti," desis Azyan perlahan.
"Aik! Tadi kata nak jadi lebih feminin. Apa pulak nak belasah orang ni?"
Azuan bingkas bangun dari birai katil. Dia meletakkan telapak tangan atas kepala Azyan. Diusap-usap kepala adiknya itu. "Tak sangka bila Yan berubah begini nampak lebih cun dari Yan yang asal. Lebih feminin gitu, ya…."
Perkataan feminin itu ditekan sedikit.
Azyan mencebik. Dikepal-kepal buku limanya. "Berapa kali Yan dah pesan jangan panggil Yan lagi. Panggil Azyan. Azyan…. A-Z-Y-A-N!"
Hah, siap mengeja lagi. Bengap betul abang aku yang seorang ini. Masih tak reti-reti bahasa.
Azuan ketawa. Tawanya semakin kuat apabila melihat wajah cemberut Azyan.
Apa lagi… dush!
Azyan menumbuk bahu Azuan.
Mengaduh kesakitan kawan tu. Azyan tetap gagah macam lelaki! hati Azuan mendesis.
"Apa kecoh-kecoh ni?"
Muka Anuar tertonjol di hadapan pintu bilik Azyan. Mulutnya sedang mengunyah keropok Double Decker yang dulu-dulu iklannya famous di televisyen.
Azyan jegilkan biji matanya melihat plastik keropok yang dipegang oleh Anuar. Alamak! Keropok Double Decker aku! Meluru Azyan ke arah Anuar yang masik dok sedap mengunyah keropoknya. Dia merampas keropok Double Deckernya. "Apa ni, makan orang punya keropok!"
Azyan mula merungut. Mukanya sudah berkerut-kerut macam nenek kebayan.
Anuar sengaja menggigit jari. Bukannya dia tidak tahu tuan yang empunya keropok Double Decker tu! Saja mahu mencari nahas.
Nak kena smack down abang aku yang seorang ni! Azyan menggerutu di dalam hati.
"Lain kali bubuh nama Yan kat keropok ni. Dah takde nama so, faham-faham ajelah."
"Abang memang sengaja, kan? Eee… geramnya!"
"Ala, makan sikit pun dah marah. Kau ni cepat naik baranlah, Yan."
Anuar memuncung. Dapat adik yang comel tapi lasak dan berkira sangat. Mata Anuar terpaku seketika. Tidak berkelip dia pandang Azyan atas bawah. Anuar menekup mulutnya. Hanya sekejap. Kemudian terburai ketawanya. Sampai berterabur keropok di dalam mulut.
Dua kali lima! Azuan dan Anuar memang satu kepala. Kalau bab ketawakan orang, serahkan pada mereka. Itu belum sampai bab mengenakan adik mereka yang cantik ni. Alahai, perasan cantik lagi. Apa pun aku ada jugak rupa yang comel. Cuma bila masuk bab dressing... hancur!
"Hai… sejak bila si gorilla dalam hutan nak jadi gorilla dalam zoo pulak ni? Hancus… hancus…." Anuar menahan senak di perut.
"Dia nak jadi lebih feminin, gitu… kau tak tahu lagi ke Nuar? Adik kita ni nak jadi gadis pujaan ramai. Nakkan lelaki lebih gagah dari dia. Gagah macam The Rock tu la."
Azuan mengangkat sebelah keningnya. Saja menyindir Azyan.
Makin kuatlah ketawa Anuar dibuatnya.
Kalau Azuan ketawa bergolek-golek, Anuar pula siap ketawa berguling-guling. Fuh! Hebat betul!
Tapi Azuan… lawak abang tu tak kelakar langsunglah pada adikmu ini. Azyan sudah hangin satu badan. Ini sudah mendatangkan marah, macam kata Sadiq Segaraga dalam cerita Tiga Abdul.
Azyan mengepal-ngepalkan penumbuknya sambil menjeling tajam ke arah abang-abangnya.
Jelingan yang menakutkan itu dirasai oleh kedua-dua abang itu. Azuan dan Anuar memeluk tubuh.
"Nuar… kau rasa tak apa yang aku rasa?"
"Sudah semestinya. Aura gorilla… menggigilnya aku, Zuan…." Makin giat Anuar mengusik.
Mereka ketawa lagi.
"Warghhhh!"
Azyan menjerit lantang. Dia paut leher kedua-dua abang kesayangannya itu. Paut ala The Rock dalam WWE itu. Inilah hasilnya bila menonton WWE. Pelbagai gaya dan aksi ganas dapat dipraktikkan. Adik-adik, jangan meniru aksi ini di rumah.
"Ayah! Gorilla mengamuk lagi!" laung Azuan dan Anuar serentak.
Laungan si anak membuatkan Encik Idris bergegas ke bilik Azyan. Dia bercekak pinggang di hadapan ketiga-tiga anak terunanya.
Ops! Kesilapan teknikal sedikit.
Aku bukan anak terunanya. Aku satu-satunya anak dara dalam keluarga ini. Anak dara yang sudah mula kemaruk nak bercinta, gitu. Bukan apa, saja nak ubah haluan angin macam angin barat daya, angin timur laut dan segala anginlah.
"Apa hal ni, Yan? Siap bergusti dengan abang-abang kau ni. Ayah tahulah Yan minat pada gusti tapi jangan la sampai praktikkan kat abang-abang Yan pulak."
"Mereka yang mulakan dulu, sape (siapa) suruh." Azyan menuding jari ke muka Azuan dan Anuar.
Encik Idris menjeling tajam kedua-dua anak lelakinya itu.
"Huh! Kalau asyik mengamuk jadi gorilla, macam mana nak jadi feminin, kan Nuar?" sahut Azuan.
"Betul, betul. Malang sungguh lelaki yang akan memperisterikan adik kita yang macam gorilla ni. Hari-hari kena smack down... lunyai laki kau, Yan." Anuar menahan tawanya dari terburai. Tak baik ketawa terbahak-bahak depan ayah.
Azyan mengetap bibir. Depan ayah pun mereka boleh buat lawak tak kelakar tu lagi. Cinabeng punya abang!
"Feminin?"
Encik Idris mengerutkan dahinya. Lain pula reaksi wajahnya apabila dia mendengar Azuan menyebut perkataan feminin itu.
Alahai ayahku sayang, janganlah kau pun buat muka macam dua anak terunamu itu. Anak gadismu ini hanya ingin berubah menjadi lebih keperempuanan dari maskulin.
Tangan ayah mula meraba dahi Azyan.
Azyan mengeluh kecil.
Ayah pun macam Azuan dan Anuar jugak. Terkejut beruk kerana anak gadis dia yang macam lelaki ini ingin jadi lebih feminin.
"Yan tak demamlah, ayah." Azyan mencebik.
"Yan, Yan… siapa yang dah pengaruh anak dara ayah ni?"
Ayah tepuk dahi. Nampak sangat dia tak mau anak dara dia seorang ini jadi lebih feminin.
Ayah, bukalah matamu besar-besar sikit. Anakmu ini tidak mahu jadi anak dara sampai ke tua. Si Bedah yang gemuk gedempol tu pun dah ada boyfriend, tau. Tapi… anak gadismu ini tiada seorang lelaki pun yang berani dekat. Dia nak hulurkan salam perkenalan, seorang lelaki pun tak ingin nak sambut. Malah, lari lintang pukang!
"Ayah… Yan cuma nak berubah sikit aje. Yan nak jadi lebih feminin," kata Azyan sambil memandang tepat ke wajah ayahnya.
Ayah yang serius bukan mudah nak memberikan senyuman, tau. Macamlah berharga sangat senyuman dia tu. Mahal sangat!
"Biarlah ayah, dia nak jadi feminin. Diakan pompuan." Anuar menyampuk. Dia kerdipkan mata kanannya pada Azyan.
Azyan tersenyum. Thanks bro!
"Yelah ayah. Zuan pun teringin nak tengok adik Zuan yang cantik ni nampak lebih feminin."
Perkataan feminin itu tetap ditekankan oleh Azuan.
Apa lagi, tarik nafas panjanglah si ayah. Tidak lama lepas itu baru ayah nak tersenyum.
Azuan dan Anuar bingkas bangun. Dah tengah hari macam ni perut mulalah berkeroncong lagu dangdut. Masa untuk buka tudung saji di dapur.
Azyan pun nak tumpang sekaki. Dia ikut langkah dua abang itu.
"Nak ke mana tu?" tanya ayah dengan wajah yang sudah kembali serius.
Ini yang tak best bila ayah buat wajah begitu.
"Lunch hourlah ayah. Masa untuk mencekik (makan)," jawab mereka serentak.
"Amboi! Kalau pasal makan, laju aje korang ye. Berbaris tiga-tiga ke sini balik."
Ah, sudah! Ayah dah mula mengarah macam tentera. Cuma tiada tabik hormatnya aja.
"Apa lagi ni tuan mejar… perut Yan dah lapar ni..." rengek Azyan. Dia yang paling suka melawan cakap dengan ayah. Paling berani berdepan dengan ayah!
"Semalam siapa yang hambat (kejar) anak Mak Timah Radio dengan penyapu? Berbalau badan kawan tu dibuatnya. Bukan itu aje, lebam sebelah mata anak teruna orang tu sampai seminggu dia kena cuti kuliah."
Bulat mata ayah merenung satu per satu muka anak-anak yang ‘terlalu baik’ ini.
Azyan tersengih.
Azuan dan Anuar menuding jari telunjuk mereka ke arah Azyan. Memang tiada orang lain yang akan disyaki jika bukan Cik Nur Azyan binti Idris ini atau lebih mesra dengan panggilan Yan.
"Kalau bab membelasah orang ni... kami serahkan pada Yan, ayah. Dia lebih terror, kan Nuar?" kata Azuan.
Anuar anggukkan kepala, mengiakan kata-kata Azuan itu.
"Yannn!"
Azyan mengetap bibir. Alahai… tak sangka pulak mamat sewel tu mengadu. Dia sudah memberi amaran pada Fadhil agar jangan sesekali membuka mulut. Nahas jawabnya. Mamat tak guna! Berani ya kau report pada mak kau yang mulutnya mengalahkan radio tu! Huh! Dasar mulut tempayan!
Imbasan semula apa yang telah berlaku. Begini ceritanya….
Aku tengah sibuk menyapu di halaman rumah dengan penyapu lidi. Sedang best-best aku menyapu, si mamat sewel tu sergah aku dari belakang. Terperanjat beruklah aku. Dia boleh bantai ketawa pulak. Faham-faham ajelah anak gadis Encik Idris yang bernama Nur Azyan ni panas baran orangnya. Aku hambat la dia dengan penyapu lidi ni. Puas hati!
Mamat sewel tu tak mengalah rupa-rupanya. Dia bengang. Dia boleh pergi hempas pasu bunga kesayangan ayah aku tu. Berkecai pasu bunga tu, beb. Macam mana bunga dalam pasu tu nak hidup? Makin mendidihlah darah panas yang dah sedia panas dalam badan aku ni.
So, lekat buku lima aku kat mata dia. Lebam biji mata dia!
Aku siap bagi warning pada mamat sewel tu supaya dia tidak mengadu pada sesiapa. Kalau tidak, lagilah teruk aku kerjakan dia. Dengan aku jangan main-main. Silap hari bulan mamat sewel tu boleh masuk ICU!
Begitulah ceritanya….
Azyan dengan lagak selamba menceritakan kisah sebenar kepada si ayah. Dah tak boleh tutup lubang dah. Dah kantoi.
Nanti kau, Fadhil! Kau akan terima pembalasannya!
Ayah tepuk dahi lagi. Mesti dia pening dengan perangai anak gadis tunggalnya ini.
Azuan dan Anuar buat muka poyo masing-masing.
Menyampah sungguh! Bukan nak membantu adik mereka yang dalam kesusahan ini.
"Kawallah sikit baran Yan tu. Macam mana nak jadi feminin gini kalau kena sergah sikit pun buku lima naik ke muka orang."
Dalam nada slow tapi tegas si ayah berkata-kata.
Azuan dan Anuar bantai ketawa lagi. Tapi bila ayah dah menjeling, mereka cepat-cepat tutup mulut.
"Yan minta maaf ayah…."
Azyan dengan muka kesian memohon maaf. Malas nak panjangkan cerita. Nanti perut yang tengah berkeroncong ni masuk angin.
"Maaf saja tak cukup, Yan. Ayah kena denda Yan."
"Denda? Denda pun dendalah, ayah. Janji Yan dapat makan. Lapar ni."
"Bagus! Ayah dah siapkan denda untuk Yan. Jadi Yan bacalah apa yang tertulis dalam kertas ni, ye. Lepas itu Yan pergi makan."
Sehelai kertas bersaiz A4 diserahkan pada Azyan. Terlopong mulut Azyan apabila membaca isi kandungan dalam kertas berkenaan.
"Ayah!!!!"
Azyan meraung macam anak kecil yang tidak dapat gula-gula.
Sampai hati ayah mendera anak gadismu ini sebegini teruk. Azyan bukan kuli untuk kerja-kerja amal ni!